suria

Melekat bau penangan kuah kari... Yang pasti ikan saiz mega jadi rebutan di D'Warees Resepi

Ahmad Tarmizi dan Akmalzulaila Mohamad menunjukkan beberapa jenis kari kepala ikan di restoran mereka. - Foto AZLINA ABDULLAH

SELEPAS sejam menikmati kari kepala ikan di restoran D'Warees Resepi baru-baru ini, bau kari masih melekat di jari walaupun telah dicuci dan menggunakan hand sanitizer. Tetapi itu adalah tanda - kari tersebut sedap hingga meninggalkan bau!

Bagi yang tidak menggemari makanan pedas, kari kepala ikan di restoran itu boleh dikategorikan sebagai tidak terlalu pedas namun masih boleh terasa kehangatannya sehingga membuatkan anda tidak sedar menghirup kuahnya terus dari pinggan.

ARTIKEL BERKAITAN: Isinya padat, kuahnya manis berlemak, Maggie Ketam Power memang padu...Tun M pun dah cuba tau!

Itulah keenakan kari kepala ikan resepi pasangan suami-isteri, Ahmad Tarmizi Khalid dan Akmalzulaila Mohamad yang menjadi kegilaan pelanggan sejak tiga tahun lalu.

Kari kepala ikan pula memang cukup popular dalam kalangan masyarakat kita sehingga boleh buat 'gaduh' sebab nak berebut bahagian terbaik!



Kari kepala ikan merah antra kegemaran pelanggan.

Tapi jarang ada kedai masakan Melayu yang menghidangkan menu kari kepala ikan dan kebiasaannya masakan istimewa itu popular di kedai mamak.

Disebabkan itulah, Ahmad Tarmizi dan Akmalzulaila terpanggil untuk menjual kari kepala ikan mengikut resepi turun temurun kedua-dua belah keluarga mereka.

Percubaan berniaga di Batu 3, Shah Alam, Selangor sejak tiga tahun lalu mencetuskan fenomena dalam kalangan pelanggan sehingga menjadi kegilaan ramai sejak awal penubuhannya.

Berkat sokongan pelanggan, D'Warees Resepi kini mengorak langkah dengan berpindah ke lokasi baharu di Taman TTDI Jaya, Shah Alam.

Di restoran baharu itu, Ahmad Tarmizi memberitahu dia menambah masakan kari kepala ikan seperti ikan merah, jenahak, kerapu, mayong dan sebagainya yang sentiasa mendapat permintaan tinggi pelanggan.



Kuahnya yang likat memang sedap.

"Alhamdulillah saya dan isteri ada pengalaman dan kemahiran memasak yang diwarisi daripada ibu masing-masing, maka terhasil menu kari kepala ikan mengikut resepi olahan kami sendiri.

"Ia juga mengikut kesesuaian citarasa masyarakat Melayu khususnya dan rakyat Malaysia yang begitu menyukai rasa kari yang enak," katanya kepada mStar.

Paling penting, kari kepala ikan di restoran itu menggunakan ikan segar dan Ahmad Tarmizi memberitahu dia mendapatkan bekalan di pasar borong berhampiran seawal 4 pagi setiap hari.

Jadi tidak hairan, rasanya ikannya segar dan manis ditambah kombinasi rempah ratus digunakan membangkitkan nafsu pada suapan pertama!

Malah Ahmad Tarmizi memberitahu, setiap hari sehingga 70 ketul kepala ikan pelbagai jenis ikan habis terjual dalam tempoh singkat.



Antara menu lain yang terdapat di D'Warees Resepi.

"Kalau ikut rekod, saiz kepala ikan terbesar pernah kami hidangkan kepada pelanggan adalah seberat tujuh kilogram! Memang puas makan," katanya.

Selain daripada menu kari kepala ikan yang sentiasa menjadi pilihan di restoran mereka, terdapat menu-menu lain yang turut memikat selera.

Antaranya seperti Kari Kambing, Kari Daging Masak Lemak Nangka, Asam Pedas, Kurma Daging, Pajeri Nenas, Ulam-Ulaman serta Sambal Belacan dan banyak lagi.

Melengkapkan lagi kunjungan, D’warees Resipi turut menyediakan sajian kuih-muih melayu seperti onde-onde, lepat dan sebagainya.

Nama restoran: D’WAREES RESIPI

Alamat: NO 26, JALAN OPERA A U2/A, TAMAN TTDI JAYA, SEKSYEN U2,40150 SHAH ALAM, SELANGOR

Laman sosial: D’WAREES RESEPI (Facebook) & @dwareesresipi (Instagram)

Waktu perniagaan: 6.30 pagi – 5.00 petang (TUTUP SETIAP JUMAAT)

Artikel Lain