TAHUN lalu, kedatangan bulan Ramadan agak suram ekoran seluruh negara menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha melandaikan penularan jangkitan Covid-19. Disebabkan itu juga umat Islam perlu berbuka puasa di rumah dan tidak dapat membeli makanan di bazar Ramadan selain berbuka puasa di restoran serta hotel terkemuka bersama keluarga mahupun rakan-rakan. Oleh itu tahun ini, meskipun negara masih dalam suasana pandemik, namun kebanyakan restoran dan hotel kembali dengan pelbagai promosi bufet Ramadan yang pasti membuatkan kita terliur. Memandangkan ramai yang tidak dapat pulang ke kampung halaman menyambut Ramadan, mStar menyenaraikan 10 lokasi menarik untuk berbuka puasa sebagai ganjaran kepada diri sendiri. 1. 'Bazaar Abang Jaguh' Hilton Kuala Lumpur Hilton Kuala Lumpur sekali lagi menjemput pelanggan untuk berbuka puasa di Vasco dengan pelbagai makanan yang diketuai pasukan cef terbaik yang menggelar diri mereka seagai Abang Jaguh! Menariknya, setiap cef akan menunjukkan kepakaran mereka di setiap stesen makanan disediakan termasuklah - Hirup-hirup Sup Berapi Abang Adan, Cedok-cedok Abang Jham, Salai-salai Abang Karim, Celup-celup Abang Syam, Golek-golek Abang Sharil dan Manis-manis Rasa Abang Din. Hidangan yang patut dicuba jika ke Hilton Kuala Lumpur sudah tentu tulang rusuk, rendang tok daging rusa, itik salai, kambing bakar kukus berempah dan baklava. Tidak hanya itu, Hilton Kuala Lumpur turut menyediakan pelbagai makanan Cina, India, Thailand dan barat bagi yang inginkan kelainan ketika berbuka puasa. Paling best, kena kunjungi gerai Pok Din Rambai yang menyediakan cucur jawa gula Melaka secara terus kepada pengunjung. Bufet Ramadan Abang Jaguh bermula 13 April hingga 11 Mei 2021 dari pukul 6.30 petang hingga 10.30 malam dengan harga RM188nett (dewasa) dan RM100nett (kanak-kanak berumur 6-11 tahun). 2. Air tangan Cef Ismail di Restoran Rebung Bagi yang menggemari air tangan Datuk Ismail Ahmad atau Chef Ismail, rebut peluang Ramadan kali ini untuk menikmati hidangan berbuka puasa di Restoran Rebung. Lebih 90 jenis makanan disediakan termasuk masakan signature Chef Ismail iaitu daging salai masak lemak cili api, ikan patin masak tempoyak, pari masak asam pedas dan sebagainya. Demi memastikan keselamatan pelanggan terjamin dalam suasana pandemik yang belum berakhir, Restoran Rebung boleh memuatkan 300 tetamu pada satu-satu masa selain menyediakan ruang khas. Harga dikenakan juga cukup berpatutan iaitu RM84.80nett (dewasa), RM53nett (kanak-kanak) dan promosi bufet berlangsung dari 13 April 2021 hingga 11 Mei 2021. 3. 'Selera Ibunda' Thyme Out Café by Equatorial Buat pertama kalinya, Thyme Out Cafe by Equatorial mengadakan bufet Ramadan yang mengetengahkan konsep 'Selera Ibunda' menerusi 100 hidangan berbuka puasa yang menggamit memori di kampung halaman. Paling mengiurkan sudah tentu menu sup gear box yang direneh selama 12 jam bersama rempah istimewa selain daging tetel gulai kawah yang biasanya boleh ditemui ketika kenduri kahwin. Selain itu, antara juadah yang menjadi perhatian termasuk kambing masak hitam, daging salai masak lemak, udang galah asam lemak dan kari kepala ikan menanti pengunjung sepanjang Ramadan ini. Sebagai hiburan ketika menjamu selera, pengunjung akan dihidangkan dengan persembahan ghazal selain suasana elegan di Bangunan AICB tempat terletaknya Thyme Out Café by Equatorial. Bufet Ramadan bermula 14 April hingga 9 Mei 2021 dan harga bufet adalah RM155 nett (dewasa) dan RM57 nett (kanak-kanak berumur 6-12 tahun). 4. Citarasa mewah di Pullman KLCC Bagi yang inginkan kelainan dan citarasa mewah, boleh cuba berbuka puasa di Pullman KLCC yang menghidangkan pelbagai seleksi makanan tempatan dan antarabangsa. Antara tarikan yang tak patut dilepaskan adalah keenakan nasi mandy kambing dan Japanese maki rolls selain terdapat pelbagai stesen bakar, goreng-goreng mengikut citarasa anda. Menariknya, bagi yang ingin membeli hidangan bersahur, Pullman KLCC turut menyediakan Sahur in Bento yang hanya berharga RM22nett. Bufet Ramadan di Sedap Restaurant dibuka sepanjang Ramadan dengan harga RM168nett (dewasa) dan RM84 (kanak-kanak 6 - 12 tahun). 5. Semarak Rasa Ramadan WTCKL Seperti tahun sebelumnya, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) masih lagi mengekalkan konsep masakan tradisi Melayu bertemakan “Semarak Rasa Ramadan”. Sebanyak 200 jenis juadah akan disajikan kepada para pengunjung sepanjang bufet berlangsung di Aras 2, Ruang Legar Putra bermula 15 April 2021 ini. Istimewanya Ramadan kali ini, WTCKL akan berkolaborasi bersama chef terkenal, Chef Anis Nabilah yang akan tampil berkongsi resipi air tangannya. Antara resipi yang bakal dikongsikan ialah murtabak lasagna, biryani kambing/ ayam, kambing ala Maghribi dengan kurma dan kuskus dan rendang tulang rusuk lembu sebagai tarikan utama bufet Semarak Rasa Ramadan tahun ini. Antara menu yang bakal memikat selera pengunjung pada tahun ini ialah ikan kerisi goreng sambal hijau, kambing rendang minang, daging gulai kawah, ikan patin tempoyak daun kesom, sotong masak kari dengan nanas dan ayam masak kicap pedas dengan suhun. Selain itu, bubur lambuk, asam pedas dan kambing goreng berempah turut dihidangkan. Bufet Ramadan boleh didapati dengan harga serendah RM80.00 seorang untuk dewasa dan RM45.00 seorang untuk kanak-kanak yang berumur dari 7 hingga 12 tahun dan warga emas yang berumur 60 tahun ke atas. 6. Pavilion Hotel Kuala Lumpur Pavilion Hotel Kuala Lumpur menampilkan konsep Muhibbah Malaysia dalam meraikan bulan mulia ini dengan bufet Ramadan yang bertempat di The Courtyard. Menu yang dihidangkan juga turut berkonsepkan muhibbah yang boleh dinikmati oleh semua kaum termasuk ayam golek, bubur lambuk, rendang tok, char kway teow Penang termasuk pelbagai kuih muih seperti apam balik, ais kacang, cendol dan tidak ketinggalan raja buah, durian! Tidak hanya pelbagai menu, terdapat pelbagai stesen yang membolehkan pelanggan melihat sendiri cef berpengalaman menyediakan hidangan secara langsung. Bufet Ramadan di Pavilion Hotel Kuala Lumpur akan bermula pada 16 April sehingga 12 Mei 2021 dengan harga RM148 (dewasa) dan RM74 (kanak-kanak dan warga emas). 7. Pelbagai menu di Cinnamon Coffee House, One World Hotel PJ Sekiranya anda makanan yang enak dan sedap untuk berbuka puasa, Cinnamon Coffee House di One World Hotel Petaling Jaya adalah tempatnya. Jangan hampa kerana di Cinnamon Coffee terdapat pelbagai menu disediakan sepanjang Ramadan seperti sup gear box, bubur lambuk, ayam balado, udang sambal petai, daging gulai lemak, paru goreng bercili, patin gulai tempoyak, sayur lodeh suhun, nasi biryani dan dalca tulang kambing dan sebagainya. Tidak hanya menu tempatan, mereka juga menghidangkan seleksi antarabangsa seperti sashimi, tempura, pasta, seafood lasagne, chicken roulade, minute steak, shepherd pie, lamb sausage dan sebagainya. Bagi mengakhiri menu utama, rasakan keenakan bubur pengat pisang, pulut serawa durian, cendol jagung, kek batik, panna cotta, apple pie dan sebagianya. Promosi berbuka di Cinnamon Coffee bermula pada 13 April hingga 12 Mei 2021 dengan harga RM158nett (dewasa) dan RM79nett (kanak-kanak). 8. 'Lagenda P. Ramlee' Hilton Petaling Jaya Berlainan daripada Hilton Kuala Lumpur, Hilton Petaling Jaya menawarkan pengalaman berbuka puasa di Paya Serai dengan hidangan bufet Ramadan bagi mengenang seniman terulung, Tan Sri P. Ramlee. Lebih 300 jenis hidangan termasuk menu kegemaran bintang lagenda itu selain berinspirasikan daripada kariernya selain menamakan gerai berdasarkan nama filem dan lagu popular Allahyarham. Jangan lupa singgah ke Mamak Corner Simpang Enam Komtar untuk mee goreng stail Pulau Pinang selain Ali Baba Bujang Lapok untuk makanan berkonsepkan arab! Tidak ketinggalan stesen ais krim potong Ayu 20 Sen dan segelas teh tarik daripada gerai Ohh Manisku. Lebih menarik, suasana di Paya Serai turut dihias dengan pelbagai barangan ikonik Tan Sri P. Ramlee seperti mesin taip, pakaian, beca dan sebagainya. Tidak ketinggalan, ketika menjamu selera pelanggan akan dihidangkan dengan filem dan lagu popular seniman itu. Bufet itu dibuka kepada pelanggan bermula 13 April hingga 12 Mei 2o21 dari pukul 6.30 petang hingga 10 malam dengan harga tiga harga promosi iaitu RM180nett (dewasa) dan RM94nett (kanak-kanak) dari 16 April-8 Mei 2021; RM141nett (dewasa) dan RM70.50nett (kanak-kanak) dari 13 April-15 April 2021 dan 9 Mei dan 12 Mei 2021. 9. Sajian Merentasi Zaman, Four Seasons Hotel BAGI yang ingin merasai pengalaman berbuka puasa yang mewah dan eksklusif, Four Seasons Hotel Kuala Lumpur mungkin boleh dipertimbangkan kerana ia menampilkan hidangan dan resepi istimewa daripada cef selebriti dan penyanyi, Datuk Fazley Yaakob. Fazley mengetengahkan sajian makanan tradisional ala kampung dalam memberikan pelanggan mengimbau kenangan berbuka puasa bersama keluarga di kampung halaman. Sajian Merentasi Zaman menampilkan pelbagai hidangan tradisional dari seluruh Malaysia dan masakan istimewa disediakan termasuklah puyuh salai kulit mangga muda bakar dan nasi tumpang ayam bakar pasu. Memang harus dicuba! Bufet Ramadan di hotel itu dibuka kepada orang ramai bermula 13 April hingga 12 Mei 2021 dengan harga RM189-RM228 (dewasa) dan RM94.50-RM109 (kanak-kanak). 10. De.Wan 1958 by Chef Wan Siapa tak kenal dengan cef Wan yang cukup terkenal dengan celotehnya ketika memasak. Bersempena dengan Ramadan tahun ini, restoran miliknya, De.Wan 1985 by Chef Wan menampilkan bufet Ramadan dengan pelbagai sajian sentuhannya. Daripada rojak betik Terengganu, udang galah rendang Perak, laksa Johor dan rendang Selangor De Wan - hidangan istimewa ini pastinya membuatkan air liur meleleh membayangkan keenakkannya. Tidak cukup itu, bufet Ramadan itu menyediakan pelbagai stesen makanan bagi memenuhi citarasa pelanggan termasuklah Kampung Corner, Barbecue Carving Station, Warung Satay, Warung Ayam Gesek dan pelbagai anek bubur lambuk, gulai clypot, aneka cucur goreng dan sebagainya! Tunggu apa lagi, buat tempahan ke bufet Ramadan De.Wan 1958 by Chef Wan yang bemula 13 April sehingga 11 Mei 2021 dengan harga RM158 (dewasa), RM100 (warga emas) dan RM73 (kanak-kanak 6-11 tahun). Untung-untung boleh berjumpa dengan cef Wan di restorannya! Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!