PARIS Baguette merupakan rangkaian kafe bakeri Korea Selatan yang mempunyai lebih 4,000 outlet di seluruh dunia. Diasaskan sejak 1988, jenama terkenal itu akhirnya membuka outlet pertama di Malaysia, hasil kerjasama Berjaya Food Berhad dengan Paris Baguette Singapore PLC. Dibuka di Pavilion Kuala Lumpur, ia membolehkan pelanggan menikmati pastri unik termasuklah roti, kek dan makanan panas serta pencuci mulut berasaskan citarasa Eropah. Jika berkesempatan ke sana, jangan lupa untuk mencuba seleksi menu seperti signature mushroom soup in bread bowl, signature natural yis bread, macarons dan cranberry chicken pastry wrap sandwich. Paling penting, semua menu itu dihasilkan menggunakan bahan premium dan berkualiti, sekali gus menjanjikan pengalaman terbaik buat pelanggan mereka. Seleksi pastri yang menjadi kegilaan ramai. Pada Rabu, majlis perasmian outlet Paris Baguette diadakan di Pavilion Kuala Lumpur yang mana ia turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub. Antara lain yang turut hadir termasuklah Duta Besar Republik Korea ke Malaysia Yeo Seung-bae dan Pengerusi Berjaya Corporation Berhad Tan Sri Datuk Seri Vincent Tan. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Food Berhad, Datuk Sydney Quays, pihaknya merancang untuk membuka lebih banyak outlet Paris Baguette di Malaysia pada masa akan datang. "Kami sangat teruja dengan pembukaan besar outlet Paris Baguette di Malaysia dan menjadi pengendali utama jenama itu di dalam negara. "Kami juga berbesar hati diberi peluang untuk membawa tawaran terkenal dunia yang tiada tandingan daripada Paris Baguette ke pasaran Malaysia. "Dengan pembukaan outlet pertama, rakyat Malaysia boleh menjangkakan lebih banyak outlet akan dibuka di bandar-bandar lain di seluruh negara," ujarnya. Paris Baguette diasaskan di Korea Selatan pada tahun 1988. Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Paris Baguette Asia Tenggara, Hana Lee turut teruja dengan pembukaan outlet itu yang membolehkan rakyat Malaysia menikmati keenakan menu dipertaruhkan mereka. "Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Berjaya Food untuk membawa Paris Baguette kepada rakyat Malaysia. "Melalui kerjasama ini, kami menyasarkan untuk menyediakan produk berkualiti terbaik seperti kek yogurt strawberi kegemaran saya dan donat rangup jumbo Korea," ujarnya. Sejak ditubuhkan, Paris Baguette berjaya mencuri hati pelanggannya dan menjadi jenama bakeri nombor satu di Korea Selatan. Malah, Paris Baguette turut membuka lebih 440 cawangan di Amerika Syarikat (AS), China, Perancis, Kanada dan Asia Tenggara. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube