suria

Dah 25 tahun berlalu harga apam balik kekal 50 sen, ramai suka sebab tetap rangup walau sejuk

Harga apam balik gerai ini kekal 50 sen walaupun setelah hampir dua dekad berlalu.

DALAM perniagaan pastinya keuntungan berganda yang dikejar ramai, tetapi lain ceritanya untuk penjual apam balik ini.

Mohammad Puzee Mat Ajid berniaga kuih tradisional kegemaran ramai itu dengan harga yang tidak masuk akal iaitu 50 sen sekeping sejak 25 tahun lalu.

Puzee berkata pulangan yang diraih mungkin tidak seberapa tetapi apa yang lebih penting kepadanya adalah dia dapat menderma sambil berniaga.

"Niat utama saya untuk membantu mereka yang kurang bermampuan dalam keadaan ekonomi mendesak hari ini.

"Rezeki ni Allah dah tetapkan, jadi tak perlu risau yang kita akan jatuh miskin kalau kita bersedekah," ujar Puzee yang berniaga di Pantai Remis, Perak.

Peniaga berusia 63 tahun itu berkata walaupun dia bermurah hati dalam memberi, kewangannya dirasakan sentiasa mencukupi dan berkat daripada itu dia mampu membesarkan enam anaknya.

Perniagaan apam balik itu diambil alih daripada abangnya dan Puzee menyediakan apam balik itu setiap hari.

Puzee ikhlas dalam perniagaan apam baliknya dan mahu membantu mereka yang memerlukan.

Anak watan Kampung Sungai Batu, Perak itu berkata proses penyediaan melibatkan pengulian 10 kilogram (kg) tepung dengan campuran beberapa bahan lain untuk menghasilkan kira-kira 1,000 keping apam balik.

"Pada awalnya, saya meletakkan harga tiga keping apam balik RM1, kemudian menjadi lima keping RM2 dan terakhir sekeping 50 sen agar pelanggan mampu beli.

"Saya cuma mahu membantu pelanggan yang sempit kewangan, untung belakang cerita kerana saya percaya pada kekuatan rezeki dan sudah ada bahagian yang tersedia untuk saya," katanya.

Puzee membuka gerainya setiap hari kecuali Jumaat, dari pukul 9 pagi hingga 3 petang.

Sementara itu, Meredayu Naim, 40, yang merupakan pelanggan tetap di gerai Puzee berkata kerangupan tekstur apam balik itu adalah apa yang menjadikannya ia unik.

"Jika balik ke Pantai Remis saya pasti singgah ke gerai Pakcik Puzee sebab anak saya amat gemarkan apam balik beliau, rasa sedapnya lain dari yang lain, masih rangup walaupun sudah sejuk,” ujarnya.

Manakala bagi Maisarah Zainul Abidin, 33, dia memuji usaha yang dilakukan Puzee untuk mengekalkan harga apam balik 50 sen sekeping dan wajar menjadi contoh kepada peniaga lain.

"Harganya memang murah sebab rata-rata yang saya tengok peniaga jual pada harga RM1 atau 70 sen sekeping. Saya rasa memang berbaloi kalau beli banyak.

"Selain dari harganya yang murah, saya juga memilih untuk membeli apam balik dari Puzee kerana dia sangat peramah dan pandai menjaga hati pelanggan," katanya. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain