BERITA baik! Menu Rahmah kini boleh didapati di McDonald’s (McD). Nampaknya orang ramai mempunyai lebih banyak pilihan untuk menikmati hidangan yang mengenyangkan pada harga serendah RM5 untuk satu hidangan. Mulai sekarang McD menawarkan tiga pilihan Menu Rahmah iaitu: 1. Burger Ayam dan Teh Ais Limau (cawan kecil) 2. Bubur Ayam McD (saiz kecil) dan Teh Ais Limau (cawan kecil) 3. McEgg dan Teh Ais Limau (cawan kecil) Pelancaran Menu Rahmah d McDonald's yang disempurnakan oleh Datuk Seri Salahuddin Ayub. -Foto Irfan Ruzaidi Menu Rahmah di McD boleh didapati sepanjang hari di semua restoran McDonald’s di seluruh negara. Pengenalan Menu Rahmah di francais makanan popular itu merupakan sokongan terhadap usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk membantu dan meringankan beban masyarakat tatkala peningkatan kos sara hidup yang sedang melanda negara. Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub ketika merasmikan Menu Rahmah di McD berkata pihaknya berharap lebih ramai pemain industri dapat turut serta melaksanakan inisiatif ini. Tiga hidangan Menu Rahmah yang berharga RM5 setiap satu. -Foto Irfan Ruzaidi "Dengan penyertaan McDonald’s ke dalam Menu Rahmah, ia membuktikan makanan yang disediakan dalam inisiatif ini adalah berkualiti dan bukannya berkelas rendah. "Kami tidak berkompromi walaupun harganya murah. "Kami sangat berbesar hati melihat McDonald's dapat bersama kami melaksanakan Menu Rahmah ini sebagai usaha untuk menyediakan hidangan yang berpatutan kepada mereka yang memerlukan," katanya pada Rabu. Sementara itu Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran, McDonald's Malaysia, Melati Abdul Hai berkata pihaknya mahu memastikan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang dapat sama-sama menikmati hidangan di cawangan mereka. Datuk Seri Salahuddin Ayub menyantuni anak-anak yatim yang turut hadir. -Foto Irfan Ruzaidi “Sebagai jenama yang cukup dekat di hati rakyat Malaysia, McDonald's Malaysia dengan sukacitanya menyokong inisiatif yang bermakna ini. “Dengan pelancaran Menu Rahmah McDonald's Malaysia, ia membolehkan kami menyediakan hidangan kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja,” ujarnya. Bersempena pelancaran Menu Rahmah, McDonald's juga mengumumkan kemunculan semula menu yang sangat dinantikan ramai sempena bulan Ramadan, iaitu Foldover Ayam dan Foldover Daging. Selain itu, McDonald's juga akan melaksanakan kempen Promosi 30 Hari Ramadan yang mana para pelanggan boleh menikmati pelbagai promosi dan ganjaran menarik melalui aplikasi McDonald's sepanjang bulan Ramadan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube