suria

Tak boleh ‘survive’ jual Menu Rahmah, restoran di Muar perkenal konsep tambah sampai puas... “Belum kenyang, jangan balik”

Restoran Ayam Cabe Cobek ini terletak di Muar, Johor.

JANGAN dikejar keuntungan dalam berniaga kerana kelak ditakuti hilang keberkatannya.

Begitulah prinsip yang dipegang pemuda ini apabila membuka restoran nasi ayam penyet di Muar, Johor.

Mengakui mempunyai banyak persaingan di kawasan sekitar, Naufal Antyezem, 29, cuba mencari kelainan untuk ditawarkan kepada pelanggannya.

penyet 1

Nasi talapia penyet.

Restoran yang diberi nama 'Ayam Cabe Cobek' itu sudah genap setahun beroperasi dan antara menu istimewa yang disajikan adalah nasi goreng Jakarta.

"Menu di kedai saya ada empat sahaja iaitu ayam penyet, keli penyet, talapia penyet dan nasi goreng Jakarta. Mengapa ayam penyet? Sebab saya memang suka ayam penyet sejak dulu.

"Dekat restoran saya ni, saya gunakan konsep 'belum kenyang, jangan balik'. Maksudnya kalau mereka nak tambah nasi, sambal, sup dan air semua free flow. Boleh datang ke kaunter dan kami akan tambahkan.

"Saya buat pemerhatian sendiri ke atas pelanggan di kawasan restoran saya, sini banyak orang pejabat dan mereka mahukan value serta portion dalam makanan mereka.

"Mereka mahukan sesuatu yang berpatutan pada harga dan dalam masa sama mengenyangkan. Setiap kali pelanggan datang saya akan beritahu yang makanan dan minuman boleh tambah," kata Naufal.

Sambal ayam penyet di restoran Ayam Cabe Cobek adalah pedas membara dan luar biasa.

Teknik yang dipraktikkannya itu ternyata berkesan apabila terdapat peningkatan jumlah pelanggan di restorannya saban hari.

"Konsep ini adalah satu gimik yang memberikan nilai tambah kepada restoran saya, orang tertarik untuk datang ke kedai saya sebab makanan unlimited.

"Kuasa mulut ke mulut. Mula-mula seorang pekerja pejabat datang, esok-esoknya satu office turun ke kedai saya.

"Saya tak boleh nak harapkan sangat kepada media sosial macam TikTok dan Twitter sebab followers saya dekat situ ramai yang dari Lembah Klang dan Kuala Lumpur.

"Mereka mungkin boleh datang kalau waktu cuti hujung minggu atau musim perayaan, tapi kalau nak tackle orang tempatan di Muar, saya kena guna marketing word of mouth," terang Naufal

penyet 3

Sambal hijau air tangan Naufal menjadi dambaan setiap pengunjung restoran Ayam Cabe Cobek

Walaupun gimik yang diketengahkan Naufal itu mungkin tidak menjanjikan pulangan yang lumayan tetapi apa yang penting kepadanya adalah pelanggannya kenyang.

"Ada pelanggan yang datang tanya saya, macam mana saya untung sebab tak berkira makanan semua, saya cakap dalam bisnes saya, profit itu yang terakhir saya pandang.

"Kalau kita kejarkan sangat keuntungan, nanti banyak benda lain yang kita akan tertinggal. Sebagai contoh kepuasan pelanggan, servis dan kualiti makanan kita.

"Pelanggan pun bukannya tambah nasi sampai boleh habis satu flask tu, perut manusia juga terhad. Kalau yang tambah nasi sampai berpinggan-pinggan tu kadang-kadang mungkin dah lapar sangat.

"Tapi approach saya ni menjadi, orang Muar kalau nak kenyang dan nak makanan yang berbaloi, mereka akan ingat 'Ayam Cabe Cobek'," kata Naufal yang juga merupakan seorang peguam bela.

Restoran Ayam Cabe Cobek 'full house' ketika waktu puncak.

Bercakap mengenai konsep bermurah hati dalam berniaga, Naufal sempat memberikan perspektifnya mengenai Menu Rahmah daripada sudut pandang komuniti peniaga.

"Menu Rahmah ini adalah anjuran kerajaan untuk menyediakan hidangan lengkap yang terdiri daripada nasi, lauk, sayur dan air bagi golongan berpendapatan rendah.

"Saya ada juga nak buat Menu Rahmah tapi tak teruskan sebab dengan portion yang sebanyak tu, agak susah la kami peniaga nak survive. Kalau peniaga gerai mungkin boleh lagi, tapi kalau yang ada premis sedikit sukar.

"Macam saya berniaga ada premis, saya kena fikir nak bayar sewa kedai, bil air dan elektrik, gas dan minyak memasak, bayar staf. Semua itu kos.

"RM5 Menu Rahmah nampak murni tapi setelah saya buat kiraan terperinci, untung yang paling besar saya boleh dapat pun RM1. Agak payah la nak sustain kalau berniaga restoran macam saya," jelas Naufal.

Nasi keli penyet.

Naufal menekankan keuntungan RM1 untuk setiap hidangan hanya boleh menampung ekonomi peniaga itu jika ia dijual dalam kuantiti yang banyak pada satu masa.

Walaupun begitu, Naufal berkata Menu Rahmah masih boleh diteruskan bergantung kepada pemilihan hidangan yang bersesuaian.

"Nasi lemak berlauk saya rasa sesuai dijadikan hidangan Menu Rahmah. Nasi lemak kita dah biasa buat RM1 dan RM2, tambah ketulan ayam goreng, boleh dijadikan Menu Rahmah RM5.

Naufal menggunakan teknik 'free flow' untuk memastikan pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan restorannya.

"Kalau nak buat Menu Rahmah, peniaga tak boleh terikut-ikut dengan jenama besar, tak sustainable dan akan jadi merugikan.

"Kita kena ada strategi dalam menawarkan Menu Rahmah. Pembahagian makanan itu kena beri perhatian. Ayam goreng seekor mungkin kena kerat 10 atau 12.

"Menu Rahmah akan lebih bermanfaat kalau kita kecilkan portion. Perlu kita ingat, Menu Rahmah ini bukannya paksaan, kalau rasa mampu buat, teruskan, kalau tak, jangan," kata Naufal menoktahkan bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain