suria

Mi tarik sup daging, hot pot dan dumpling menu wajib cuba... Ini senarai restoran halal kalau ke Taiwan

Hot pot dan mi tarik daging lembu merupakan menu wajib cuba di Taiwan.

BAGI pelancong Muslim, salah satu perkara penting yang dititikberatkan sewaktu melancong ke luar negara adalah kemudahan untuk mendapatkan makanan halal.

Baru-baru ini, mStar dan rakan media daripada pelbagai agensi diberi peluang untuk mengembara ke Taiwan bagi menerokai sendiri keindahan dan keunikan pulau ini dan semestinya, merasai variasi makanan halal mereka.

Kunjungan selama enam hari yang dibawakan khas oleh AirAsia dan Lembaga Pelancongan Taiwan (Taiwan Tourism Board) ini merangkumi ibu kota Taipei, Taichung dan Kaohsiung.

Kesimpulannya Taiwan memiliki banyak tawaran makanan halal atau Muslim friendly untuk pengunjung.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Berperang’ dengan angin kencang di Gaomei Wetland, panorama semulajadi di Jiufen paling tak boleh lupa... Taiwan memang pilihan berbaloi!

Untuk pengetahuan anda, menurut Indeks Pelancongan Muslim Global MasterCard-CrescentRating 2022, Taiwan mengekalkan tempat kedua di dunia daripada segi menyediakan persekitaran pelancongan mesra Muslim dalam kalangan destinasi bukan OIC (Organisasi Kerjasama Islam).

Terdapat kira-kira 342 restoran dan hotel di seluruh Taiwan yang memiliki pensijilan halal dan diiktiraf Muslim friendly.

Dalam penulisan siri pertama, penulis membuat perkongsian mengenai setiap lokasi yang dikunjungi. Kali ini penulis kongsikan pula senarai restoran makanan halal untuk kalian!

1. Kunming Islamic Restaurant, Taipei

kunming

Kunming Islamic Restaurant adalah restoran yang tidak asing lagi bagi pelancong Muslim jika berkunjung ke Taipei.

Satu daripada tarikan utama restoran ini adalah mata wang daripada pelbagai negara diletakkan di bawah kaca meja makan sebagai hiasan.

Restoran ini menawarkan pelbagai masakan antarabangsa dari Asia Tenggara, India hinggalah Timur Tengah.

Penulis dan rakan-rakan menikmati makan malam dengan memilih sajian ala Thai iaitu tomyam, ikan siakap pedas, telur dadar, kangkung belacan, kari daging dan lain-lain. Memang enak!

2. Shancheng Cafeteria, Taipei

kafeteria

Kafeteria ini menyajikan pelbagai hidangan vegetarian, termasuk tauhu, sayur-sayuran dan hidangan nasi.

Setiap hidangan yang disajikan agak unik dan mempunyai keistimewaan tersendiri.

Kami disajikan dengan hidangan vegetarian dipanggil five element yang terdiri daripada nasi dan beberapa jenis sayur-sayuran yang memberikan keenakan tersendiri apabila digaul bersama.

Bukan itu sahaja, pengunjung juga dapat menikmati pemandangan indah Lautan Pasifik dan pantai dari kafeteria ini.

3. Halal Yellow Beef Noodle House, Taipei

halal beef

Restoran ini sangat popular di Daerah Zhongzheng. Ia terkenal dengan masakan Cina Muslim yang lazat.

Restoran ini menawarkan pelbagai hidangan halal, di mana menu yang menjadi top list adalah sup daging lembu bersama mi tarik.

Aroma sup yang dimasak dengan rempah istimewa, dipadankan pula dengan daging lembu yang lembut memang membuatkan anda asyik menghirup!

Oh ya, jangan lupa pesan dumpling bersama hidangan lain. Wajib cuba!

4. Anatolia Turkish Restaurant, Taichung

anatolai

Restoran ini menawarkan pelbagai jenis masakan asli dari Turkiye.

Pelbagai variasi kebab, roti, daging panggang, salad segar, sup dan hidangan nasi boleh didapati di restoran ini.

Semuanya dimasak dengan teknik masakan tradisional Turkiye.

5. Halal Ende Yuan Dumpling House, Taichung

halal ende hotpot

Restoran ini terkenal dengan pelbagai makanan Taiwan yang enak.

Menu paling popular dan istimewa tentulah hot pot dan dumpling.

Cara hidangannya juga unik di mana sup dipanaskan menggunakan arang pada periuk khas, menambahkan lagi aroma asli apabila dihirup panas-panas.

Daging lembunya juga sangat lembut dan ia sempurna apabila dipadankan dengan dumpling.

Restoran ini menjadi menjadi tumpuan ramai sama ada pelancong ataupun warga tempatan... sentiasa full house!

6. Kaohsiung Halal Restaurant, Kaohsiung

kaohsiung

Restoran ini terkenal dengan stew daging istimewanya. Kepingan daging yang dipotong nipis dan disertai aroma daun basil, memang asyik apabila dimakan panas-panas bersama nasi.

Selain stew daging, banyak menu lain yang anda boleh cuba di sini seperti daging risotto dan aneka hidangan sayur.

Restoran ini terletak betul-betul bersebelahan dengan masjid Kaohsiung.

7. Chen Lili Indonesian Food, Kaohsiung

lily chen

Kalau dah namanya orang Melayu, pasti tekak tetap merindui masakan pedas seperti sambal.

Jangan risau, restoran ini mengetengahkan aneka cita rasa Indonesia yang enak daripada hidangan utama sehinggalah pencuci mulut.

Memang puas hati akhirnya dapat pekena sambal dan juga tempe goreng!

Oh ya, restoran ini juga lengkap dengan surau untuk kegunaan pelanggan dan menjadi pilihan ramai penggembara Muslim.

Jika merancang untuk melancong ke Taiwan kelak, bolehlah anda mencuba restoran yang penulis cadangkan ini.

Mesti tak menyesal!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain