suria

“Rasa macam dodol orang dulu-dulu” - Lima sepupu komersialkan dodol resipi warisan nenek, ‘wajib’ kacau dalam kawah

Dodol Kampung yang dihasilkan Salihin dikacau dalam kawah untuk mengekalkan keaslian rasanya.

MESKIPUN aneka biskut raya moden dijual di bazar ataupun secara dalam talian (online) ketika ini, namun manisan yang satu ini tetap menjadi pilihan untuk disajikan ketika Aidilfitri.

Suatu masa dulu dodol yang kini menjadi manisan warisan menjadi antara pelengkap hidangan pada 1 Syawal.

Begitu juga dengan keluarga Salihin Jaffar dari Kampung Pelek, Sepang, Selangor ini.

Dodol sememangnya manisan wajib untuk disediakan oleh keluarganya setiap tahun menjelang Aidilfitri.

Resipi yang diwarisi daripada neneknya kini sudah diperturunkan kepadanya yang merupakan generasi ketiga, sehingga akhirnya ia dikomersialkan untuk jualan dengan menggunakan jenama Dodol Kampung.

"Kami keluarga besar dan setiap kali raya, mesti kami akan mengacau dodol untuk dinikmati keluarga dan dihidangkan kepada tetamu. Sebelum ini tak komersilkan pun, jual santai-santai saja kepada yang tempah.

"Pada tahun 2020 iaitu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di situlah bermula segala-galanya di mana saya serius mengkomersialkan dodol resipi turun temurun ini," ujar Salihin kepada mStar.

dodol baru

Salihin menyiapkan Dodol Kampung yang ditempah pelanggannya.

Menurut Salihin, Dodol Kampung diusahakannya bersama dengan empat sepupunya yang lain.

Bercerita mengenai keistimewaan Dodol Kampung, Salihin berkata dodol yang dihasilkannya tidak mempunyai bahan pengawet.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan lupa pekena cendol padu jika ke Perak... selain resipi asli ibu mentua, tauke sado pun jadi tarikan

"Bahan asas sama saja iaitu tepung, gula merah, gula melaka dan santan. Santan yang digunakan adalah santan proses sendiri.

"Disebabkan tiada bahan pengawet, kami menjalankan Research and Development (R&D) dari segi bahan dan packaging agar dodol tahan lama. Kami mendapat panduan daripada Mardi untuk tujuan ini.

"Alhamdulillah, maklum balas daripada pelanggan juga membuatkan kami gembira. Ada yang beritahu, dodol kami rasa macam dodol orang dulu-dulu sebab ada rasa authenthic," ujar lelaki berusia 40 tahun ini.

Menurut Salihin, proses menghasilkan Dodol Kampung adalah sepanjang masa mengikut permintaan pelanggan.

Ada yang beritahu, dodol kami rasa macam dodol orang dulu-dulu sebab ada rasa authenthic.

SALIHIN JAFFAR

Namun setiap kali menjelang Aidilfitri, permintaan meningkat sehingga mereka berlima tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan.

"Macam hari-hari biasa, kami akan buat open order dan kacau dodol dua minggu sekali sebab nak kekalkan kesegaran.

"Tapi menjelang musim raya, tempahan yang diterima begitu tinggi... macam untuk tahun ini, hampir 100 kilogram dodol. Biasanya kami akan buat lebih agar mana-mana yang tak sempat tempah, boleh walk-in di kedai," katanya lagi.

dodol 3

Dodol dikacau sehingga enam hingga tujuh jam sebelum siap dimasak.

Memandangkan sambutan pelanggan yang menggalakkan, Salihin berkata dia dan sepupunya mempunyai perancangan untuk mengembangkan lagi Dodol Kampung agar dikenali ramai.

"Beberapa aspek seperti strategi pemasaran perlu kami pelajari lagi agar Dodol Kampung dapat dikomersilkan.

"Bukan sekadar untuk tujuan menjana pendapatan semata-mata, tetapi kami mahu dodol warisan keluarga turun temurun terus dikekalkan dan dapat dinikmati orang lain," ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain