suria

Ada mi kolok, linut... Kini di KL pun boleh makan makanan asli Sarawak! Sedap, pengunjung dilayan macam keluarga

Sajian asli Sarawak boleh dinikmati di Kedey Kamek.

KEBIASAANNYA cef akan mengolah rasa masakan mengikut selera penduduk setempat bagi membolehkan ia diterima dan kekal bersama sasaran pelanggan.

Namun berbeza dengan pemilik Kedey Kamek yang menjanjikan rasa asli dari Sarawak dalam setiap hidangannya.

Malah, setiap hidangan disediakan menggunakan resipi turun temurun yang dipelajari daripada beberapa ‘orang lama’ di Kuching sekali gus membuatkan anda seolah-olah berada di Bumi Kenyalang.

Ia juga sejajar dengan hasrat pengasasnya Amin Aznizan yang mahu memperkenalkan budaya dan makanan asli Sarawak kepada umum.

Linut antara hidangan yang wajib dicuba di Kedey Kamek

Linut antara hidangan yang wajib dicuba di Kedey Kamek

“Orang Malaysia memang sinonim dengan makanan, jadi inilah cara terbaik untuk saya perkenalkan makanan Sarawak, tradisi di sana dan cara kami melayan tetamu.

“Di Sarawak, kami sentiasa berikan khidmat terbaik kepada tetamu malah memberikan lebih daripada apa yang kami ada. Jadi bagaimana kita layan keluarga, begitulah layanan yang sepatutnya di Kedey Kamek,” katanya yang berusia 34 tahun.

Menyajikan hidangan warisan keluarga, terdapat lima resipi rahsia turun temurun yang diperkenalkan antaranya laksa Sarawak, mi kolok, mi Jawa, sambal penyet dan linut.

Anda yang pertama kali ingin mencuba laksa Sarawak, bolehlah datang ke Kedey Kamek yang terletak di Tingkat 1, Sunway Putra Mall.

Kedey Kamek menjanjikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Kedey Kamek menjanjikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Selain menggunakan rempah ratus yang dibawa khas dari Borneo, laksa Sarawak dihidangkan bersama bihun dan udang galah sekali gus membuatkan anda rasa ‘terlagi-lagi’.

Tidak kurang juga hidangan linut bersama ikan terubuk atau sambal yang wajib anda cuba apabila singgah di sini.

Selain menikmati pelbagai hidangan Sarawak, anda juga boleh OOTD (outfit of the day) di kedai ini kerana konsep hiasan dalaman jenis moden minimalis yang diketengahkan sangat menarik.

Setiap sudutnya adalah Instagramable di samping lukisan dinding yang berwarna-warni.

Harga yang ditawarkan juga murah serta berbaloi dengan saiz hidangan yang disediakan.

Kedey Kamek mempunyai tiga cawangan di Lembah Klang antaranya Taman Tun Dr Ismail, Sunway Putra Mall dan Lalaport.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain