suria

10 jenama paling ‘surr’ di bawah satu bumbung! Peminat nasi kandar boleh serbu Nasi Kandaq Fest 2023

Joki dari Nasi Kandar Line Clear sedang menuang kuah campur nasi kandar.

NASI kandar merupakan salah satu menu yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia.

Kuah kari yang dicampur bersama kuah masakan lain dengan aneka lauknya sudah cukup membuatkan para penggemarnya 'ketagih'.

Maka tidak hairanlah jika ada yang sanggup memandu jauh semata-mata mahu melepaskan rasa mengidam nasi kandar.

Meraikan peminat tegar nasi kandar, FriedChillies dengan kolaborasi Sunway Putra Mall menganjurkan Nasi Kandaq Fest 2023 yang menghimpunkan 10 jenama nasi kandar terbaik di Malaysia di bawah satu bumbung.

ARTIKEL BERKAITAN: Roti canai terus diiktiraf, terkini ungguli carta roti terbaik di dunia kalahkan naan dan pastri Eropah

Jenama nasi kandar paling 'surr' yang mengambil bahagian adalah Nasi Kandar LC (Line Clear) Kampung Baru, Restoran Hameediyah, Sadam Nasi Kandar, Restoran Kudul Abdul dan Nasi Kandar Bawah Pokok (Nasi Kandar Jamal Mohamed).

nasi kandar 2

Peminat nasi kandar membanjiri pekarangan Sunway Putra Mall sempena Nasi Kandaq Fest 2023, pada Sabtu.

Turut serta ialah Sithique Nasi Kandar, Restoran Yusuf, Nasi Kandaq Talam Johor Bahru, Restoran Liga Maju Nasi Dalca Ayam Negro dan Pelita Nasi Kandar Taman Chai Leng.

Berlangsung pada 23 dan 24 September di pusat beli belah tersebut, festival ini dijangka menarik kira-kira 10,000 pengunjung sepanjang tempoh ia berlangsung.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FriedChillies, Mohd Adly Rizal, jenama 10 nasi kandar tersebut dipilih oleh pihaknya dan pakar-pakar dalam selok belok nasi kandar iaitu Nasi Kandaq Hunters dan Nasik Kandaq Transporters, bagi menghidangkan hanya yang terbaik buat para penggemarnya.

nasi kandar 4

Keluarga ini tidak melepaskan peluang memeriahkan Nasi Kandaq Fest 2023.

"Seorang peminat kandar tegar akan tahu yang sepinggan nasi kandar yang sempurna bukan hanya tertakluk pada kombinasi kari tetapi juga kemahiran seorang joki kari (tukang ceduk kuah).

"Seorang joki nasi kandar ibarat barista di kafe, inilah yang membezakan kedai nasi kandar daripada kedai mamak, kemahiran joki itu yang membawa kelainan," katanya.

Bagi mereka yang mungkin kurang tahu mengenai 10 jenama nasi kandar 'lejen' ini, berikut adalah serba sedikit fakta mengenai mereka:

1) Nasi Kandar Bawah Pokok (Nasi Kandar Jamal Mohamed)

Jika anda ke Seberang Perai, inilah lokasi yang dituju oleh kebanyakan orang untuk 'pekena' nasi kandar. Untuk makluman, sebelum ini ia lebih dikenali sebagai nasi kandar bawah pokok ketapang. Joki di sini memang mantap dan lauk-lauk yang disajikan sememangnya sukar untuk dibuat pilihan. Oh ya, restoran mereka hanya beroperasi waktu malam sahaja.

2) Restoran Yusuf

Terletak di Relau, Pulau Pinang, restoran ini sangat sesak terutamanya ketika cuti sekolah. Sampai terpaksa letak notis minta pelanggan untuk bersabar! Menu special nasi kandar yang menjadi pilihan ramai adalah daging rendang dipadankan dengan telur masin. Selain itu, ayam ros dengan taburan bawang goreng dipadankan dengan sambal kelapa juga bisa membuatkan pelanggannya 'terangkat'.

3) Pelita Nasi Kandar Taman Chai Leng

Sebelum francais-francais timbul seperti cendawan lepas hujan di sekitar Kuala Lumpur, inilah lokasi asal Pelita. Sangat terkenal dengan menu ayam goreng crispy, sotong istimwa dan dipadankan dengan kuah kari campur.

nasi kandar 3

Aneka lauk nasi kandar yang bisa membuatkan penggemarnya rambang mata.

4) Restoran Liga Maju Nasi Dalca Ayam Negro

Terkenal dengan menu 'Ayam Negro'. Ayam ini sangat juicy dalam sos hitam yang pasti membuatkan pelanggan ketagih. Jangan lupa padankan dengan acar timun, telur rebus dan sambal kelapa yang pedas.

5) Restoran Hameediyah

Siapa yang tak kenal Hameediyah? Ini adalah antara jenama nasi kandar yang tertua di Malaysia. Dari tahun 1907 lagi mereka sudah menghidangkan pelbagai juadah nasi kandar di lokasi original mereka di Pulau Pinang. Kari-kari yang menusuk kalbu, ayam bawang dan rendang daging mereka memang lejen.

6) Nasi Kandar LC (Line Clear) Kampung Baru

Ini lagi satu jenama dari Pulau Pinang yang pasti semua orang tahu. Cawangan mereka di Kampung Baru tak pernah 'sepi' dengan pengunjung. Menu kegemaran ramai sudah tentunya kari kepala ikan, ayam goreng yang dipadankan dengan kuah kari banjir. Kalau datang hari Jumaat, dah macam konsert rock!

7) Restoran Kudu bin Abdul

Ditubuhkan pada 1969 oleh En Kudu bin Abdul, pada mulanya kedai ini hanya kopitiam santai saja. Peminat kedai ini tidak jemu menikmati lauk seperti ayam sambal bawang, ayam hitam, daging hitam, hati goreng dan paling dicari, telur ikan gemuk-gemuk. Bayangkan telur yang lemak masin digaul dengan nasi panas-panas bersama kombinasi power kuah kari dan bendi, inilah dikatakan nasi kandar level kayangan! Kedai ini dikendalikan oleh geneasi ketiga Kudu.

8) Sithique Nasi Kandar

Tidak hanya dikenali kerana nasi kandar semata-mata, malah jokinya juga menjadi perhatian kerana dikatakan mirip Richard Gere (versi mamak). Datanglah untuk merasa 'feel' Hollywood apabila jokinya menghidangkan nasi kandar kepada anda. Jangan lupa cuba kari kambing, ayam hitam dan sotong goreng 'mengandung'.

nasi kandar 1

Seorang joki sedang melayani pengunjung Nasi Kandaq Fest 2023.

9) Sadam Nasi Kandar

Tengok gambar ayam hitam kuah banjir mereka pun perut sudah berkeroncong. Tidak sah jika tidak makan ayam Sadam, resepi yang terhasil antara ayam goreng, ayam madu... sedap teruk! Cuba juga sotong yang penuh dengan rempah, try sekali, mesti nak lagi.

10) Nasi Kandaq Talam Johor Bahru

Terkenal dengan tagline Padu, Syahdu, Merindu, rasa karinya lebih kepada taste orang Johor tapi sedap beb! Sotong mereka besar gedabak, ayam bawang pun sedap dan di sini mereka guna pinggan besi. Paling best, mereka tak kedekut bawang goreng, satu pinggan nanti akan diselimuti bawang crispy... memang krupkrap bila makan.

Jadi untuk peminat tegar nasi kandar sekalian, jangan lepaskan peluang untuk memeriahkan lagi Nasi Kandaq Fest 2023.

Festival akan bermula pukul 10 pagi sehingga 10 malam.... masih sempat lagi ni!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain