suria

Roti canai terus diiktiraf, terkini ungguli carta roti terbaik di dunia kalahkan naan dan pastri Eropah

Roti canai dinobat sebagai roti terbaik di dunia oleh TasteAtlas. -Gambar hiasan

"BOS, roti canai dua... kuah banjir!"

Laungan sebegini pasti sudah biasa kedengaran di mana-mana restoran mamak atau warung.

Menambahkan lagi nikmat sarapan pagi, roti canai akan lebih 'terangkat' jika ada secawan teh tarik.

Disebabkan keenakannya, maka tidak hairanlah menu ini bukan hanya dekat di hati rakyat Malaysia, malah ia turut digemari pelancong asing sehingga dinobatkan sebagai 'roti terbaik di dunia' oleh laman web TasteAtlas baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu ranking nasi lemak sekadar OK, kini roti canai Malaysia dinobat makanan jalanan nombor 1 dunia!

Pengumuman tersebut disiarkan di laman Instagram dan Facebook TasteAtlas.

roti 2

Roti canai mengungguli senarai 50 roti terbaik di dunia.

Menduduki ranking pertama dalam carta tersebut, roti canai mendapat skor tertinggi iaitu 4.9 daripada 5.0 berdasarkan ulasan pengguna.

Bukan hanya mengalahkan India yang popular dengan roti naan, Eropah yang dikenali sebagai negara penghasilan pastri terbaik dunia turut 'tersungkur' dikalahkan roti canai.

'Pan de bono' dari Colombia berada di belakang roti canai, juga dengan skor 4.9, manakala roti naan dari India hanya berada di kedudukan ketiga dengan skor 4.8.

Ini bukan kali pertama roti canai menerima pengiktirafan daripada TasteAtlas.

Untuk rekod, roti canai pernah mengungguli carta 50 makanan jalanan terbaik di dunia, pada September tahun lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain