BUKAN sahaja unik tapi rasanya juga sangat menyelerakan. Begitulah gambaran paling sesuai untuk hidangan nasi lemak goreng yang popularitinya meletus di media sosial baru-baru ini. Olahan masakan yang menggabungkan nasi lemak dan nasi goreng itu dicetuskan Cef Fauzey Hassan, 46, yang pernah berkecimpung dalam dunia kulinari di hotel bertaraf lima bintang selama lebih 10 tahun. Cef Fauzey sedang rancak memasak di dapur. Bercerita kepada mStar, Cef Fauzey berkata nasi lemak goreng di warungnya dihidangkan dalam bentuk set. "Dalam nasi lemak goreng ni, saya akan letak seekor udang, ayam goreng, timun dan sambal. Itu signature saya sejak tahun 2015 sampai sekarang," ujar Cef Fauzey. Cef Fauzey seterusnya turut mendedahkan rahsia resipi air tangannya untuk nasi lemak goreng yang menjadi kegilaan ramai itu. Ayam goreng berempah sedia untuk dihidang. "Cara buat simple je sebenarnya. Dalam wok (kuali) tu, saya letak lebihan minyak dari ayam goreng, lepas tu saya ambil nasi lemak yang baru dimasak dan saya goreng dalam minyak tu. "Sambil saya goreng nasi lemak tu, saya akan masukkan serdak-serdak ayam goreng berempah. Kemudian saya masukkan pes sambal yang saya cipta sendiri untuk nasi lemak goreng ni. "Pes sambal tu bertahun-tahun saya eksperimen untuk cari rasa yang paling terbaik. Apabila saya goreng tu, saya akan pastikan nasi lemak goreng tu ada rasa hangit-hangit sikit. "Sebab itu yang akan menjadikan nasi lemak goreng ni secukup rasa. Ringkas saja masakannya, tak ada bahan-bahan ekstra seperti telur, kacang dan lain-lain," jelas Cef Fauzey. Serdak ayam goreng berempah dimasukkan ke dalam nasi lemak yang sedang digoreng. Berbicara soal reviu yang diterima tentang nasi lemak goreng kebanggaannya itu, Cef Fauzey berkata sebagai seorang tukang masak dia harus berlaku jujur. "Nasi lemak goreng ni saya katakan ada rasa special. Tapi saya tak boleh nak cakap ia sedap, sebab soal makanan ni subjektif. Orang tu boleh cakap dia suka, tapi apabila dapat dekat lidah orang lain mungkin tak kena rasa tu. "Jadi kalau nak tahu sedap ke tak, kena datang sendiri cuba. Saya juga akan sentiasa improve nasi lemak goreng ni berdasarkan feedback daripada pelanggan setia saya. "Kalau orang nak kutuk nasi lemak goreng ni, itu biarkan, saya tak ambil kisah," kata Cef Fauzey. Lebihan minyak dari ayam goreng antara ramuan utama 'nasi lemak goreng'. Mengimbas kembali bagaimana Cef Fauzey boleh mendapat ilham untuk memperkenalkan hidangan nasi lemak goreng, dia berkata semuanya bermula pada tahun 2011. "Waktu tahun 2011, ketika tu saya masih berniaga guna food truck, tiba-tiba datang seorang lelaki ni kerja bawa bas, dia minta nasi lemak biasa yang saya jual untuk digorengkan. "Setiap kali lelaki itu datang dia akan minta nasi lemak goreng. Hidangan ni memang tak pernah dibuat orang, jadi saya banyak try and error untuk sempurnakan lagi. "Ada yang saya pernah goreng buat style char kway teow, rasa memang teruk betul. Tapi saya teruskan mencuba dan mencuba. Sampai tahun 2015 baru nasi lemak goreng saya boleh dikatakan 'stabil'. Gerai Cef Fauzey di Petaling Jaya, Selangor. "Tak lama selepas tu ada food reviewer datang dan saya dijemput stesen televisyen tempatan, mula daripada situ nasi lemak goreng saya dapat sambutan hangat sampai la ke hari ini," kata Cef Fauzey. Warung Cef Fauzey yang dikenali sebagai 'Chef Fauzey Nasi Lemak Goreng' terletak di Jalan Sentosa 3/57, Old Town, Petaling Jaya, Selangor. Gerai Cef Fauzey dibuka setiap hari kecuali Ahad dari pukul 6 petang hingga 10 malam. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube