SANA sini orang ramai merungut tentang kenaikan harga makanan dek kerana peningkatan kos bahan mentah. Namun pasti anda terkejut jika menemui peniaga yang menjual sate pada harga serendah 40 sen secucuk. Kedengaran seperti tidak masuk akal, namun itulah harga yang ditawarkan Fikri Ismail yang berniaga sate di sebuah gerai di Jitra, Kedah, sejak enam bulan lalu. Menurut Fikri, sate ayam yang siap dibakar dijual pada harga 40 sen secucuk, bersamaan RM4 untuk 10 cucuk. Bagi sate daging pula, ia dijual pada harga 70 sen secucuk atau boleh dibeli dengan harga RM7 untuk 10 cucuk. Gerai tepi jalan ini menawarkan sate ayam dan daging pada harga mampu milik. Setakat ini, dia hanya menawarkan sate ayam dan daging, namun merancang untuk memperkenalkan menu sate kambing pada masa akan datang. Bercerita lanjut kepada mStar, Fikri berkata dia mengamalkan konsep beramal sambil berniaga agar golongan berpendapatan rendah juga dapat menikmati sate yang menjadi kegemaran seluruh rakyat Malaysia. "Harga sate standard sekarang dah mencecah RM1 atau lebih secucuk. Jadi saya cuba tampilkan kelainan, saya buat saiz kecil dengan harga yang mampu milik. Tapi sate di gerai saya tidaklah terlalu kecil. "Kalau pelanggan nak makan sate yang bersaiz besar, kena beli di tempat lain yang harganya lebih mahal sikit. Ikut pilihan masing-masing. Lagipun di gerai saya hanya untuk dibungkus bawa balik sahaja, saya tak sediakan tempat untuk makan. Gerai ini mendapat sambutan menggalakkan kerana harganya yang murah. "Alhamdulillah, setakat ni orang yang pernah beli mesti repeat. Saya niat nak tolong orang, biar orang ramai dapat makan sate. Saya pun faham keadaan ekonomi sekarang, ditambah lagi kalau keluarga yang ada anak ramai," ujar pemuda itu lagi. Fikri yang dibantu tiga pekerja turut menzahirkan rasa syukur apabila gerainya sentiasa mendapat sambutan sehingga kadang-kala berjaya menjual sekitar 700 ke 800 cucuk sate sehari. Sebelum berniaga di Jitra, Fikri pernah berniaga sate di lokasi lain selama lima tahun. Alamat: Sate Kampung Padang, Jalan Kampung Padang, Jitra, Kedah. Nombor telefon peniaga: 010-8482263 Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube