HIDANGAN popular 'khoa niao mamuang' atau lebih dikenali sebagai pulut mangga menduduki tempat keempat dalam senarai '10 Pencuci Mulut Terbaik Dunia' yang dikeluarkan oleh TasteAtlas.com pada 15 Okober. Hidangan asal Thailand itu menerima markah 4.4, berada di belakang menu tembleque (Puerto Rico) di tempat ketiga, fırın sutlac (Turkiye) di tempat kedua dan zard sholeh (Iran) di tempat pertama. Menu pencuci mulut popular itu boleh ditemui di hampir seluruh negara Thailand. Pencuci mulut ini mempunyai rasa manis berlemak sehingga ia menjadi kegilaan ramai. Bahkan, ia turut menjadi kegilaan penduduk negara jiran seperti Malaysia. "Hidangan ini disediakan dengan pulut yang dikukus, kemudian disiram dengan santan manis. Akhir sekali, pulut dihidangkan bersama hirisan mangga segar. "Pencuci mulut ringkas ini sangat popular, dan boleh didapati di hampir mana-mana kedai makan di Thailand," ujar TasteAtlas. ARTIKEL BERKAITAN: Dulu ranking nasi lemak sekadar OK, kini roti canai Malaysia dinobat makanan jalanan nombor 1 dunia! Laman web itu, yang memaparkan resipi dan ulasan makanan daripada pengkritik di seluruh dunia, berkata senarai itu disusun daripada 2,126 penilaian pengguna yang disahkan. TasteAtlas berkata tujuan mereka adalah untuk mempromosikan makanan tempatan yang sangat baik, menyemai kebanggaan dalam hidangan tradisional, dan menimbulkan rasa ingin tahu tentang hidangan yang masih belum dicuba oleh pembaca. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube