suria

Tak larat masak sambal hitam, rupanya belimbing buluh boleh dibuat manisan... Sedap rasa masam manis!

Manisan belimbing buluh mempunyai rasa yang sedap. -Foto FB Berkebun Dari Rumah

POKOK belimbing buluh merupakan tumbuhan yang mudah hidup dan berbuah lebat.

Bagi masyarakat Pahang, belimbing buluh sering dijadikan sambal hitam yang boleh dimakan dengan apa sahaja hidangan.

Sesetengah individu pula gemar menikmatinya begitu sahaja dengan mencicahnya bersama garam belacan atau dijadikan ulam-ulaman.

Namun kadang kala, ada yang membiarkannya jatuh buruk kerana terlampau banyak.

Daripada anda biarkan sahaja menjadi santapan ayam, apa kata anda mencuba resipi manisan yang dikongsikan Facebook Berkebun Di Rumah.

Rasanya seperti anda menikmati kismis.

Bahan-bahan

1. 2kg belimbing buluh yang tua tetapi tidak terlalu masak

2. 1/2kg gula (boleh tambah jika ingin lebih manis)

3. 1 sdt kapur sirih

4. Air secukupnya

Cara penyediaan

1. Bersihkan hujung pangkal belimbing buluh, cuci dan rendam di dalam air kapur sirih selama dua jam.

2. Bilas sehingga bersih dan toskan.

3. Rebus sebahagian gula dengan satu liter air sampai mendidih, kemudian masukkan belimbing buluh dan rebus sehingga mendidih sekali lagi.

4. Biarkan sejuk selama sehari semalam.

5. Saring belimbing buluh tersebut sekali lagi dan ulang proses nombor 3 dan 4 menggunakan baki gula.

6. Kemudian, jemur selama tiga hingga empat hari. Siap!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain