suria

Ini 5 barang kesayangan ramai punca rumah nampak serabut, belajarlah untuk ‘melepaskan’!

Rumah nampak bersepah kerana kewujudan barangan ini. -Gambar hiasan

RUMAH yang bersih dan sentiasa kemas pastinya lebih menenangkan fikiran dan sedap mata memandang.

Namun ada kalanya sesebuah kediaman itu masih kelihatan berserabut walaupun sudah dibersihkan berulang kali, jadi di manakah silapnya?

Melalui satu hantaran di laman TikTok, ada dikongsikan beberapa barangan yang tanpa disedari boleh menyebabkan rumah menjadi semak sekiranya terus disimpan.

Mulai hari ini, ayuh tabahkan hati untuk melepaskan barang-barang berkenaan, mungkin kediaman menjadi lebih lapang dan tidak lagi nampak berserabut.

1) Pakaian

Nasihat ini sangat sesuai untuk golongan wanita! Baju, seluar, tudung dan kasut yang sudah tidak dipakai sepatutnya disimpan di dalam kotak untuk dijual sebagai barangan 'preloved'.

Alternatif lain adalah untuk mendermakannya kepada pihak berkeperluan seperti rumah anak yatim dan sebagainya.

Ingat, rumah adalah tempat tinggal, bukannya gedung tekstil.

2) Alat solek dan penjagaan diri

Seterusnya tumpukan perhatian anda kepada meja di dalam rumah, kebanyakannya dipenuhi dengan produk penjagaan diri yang sudah mencapai tarikh luput, tetapi masih disimpan sebagai 'artifak'.

Pada awalnya ia mungkin boleh dilihat sebagai koleksi, tetapi lama-kelamaan ia bakal menjadi sampah. Rasa sayang terhadap barangan peribadi perlulah berpada-pada.

Rumah yang tersusun kemas boleh memberikan ketenangan minda. -Gambar hiasan

3) Barangan elektrik

Sama juga situasi di dapur, kebanyakan pemilik rumah liat untuk melepaskan barangan elektrik yang sudah tidak lagi digunakan kerana merasakan ada nilai sentimental.

Tabiat sebegini hanya akan menyebabkan kabinet menjadi sempit, hilang seri di dapur.

Antara barangan elektrik yang kerap disimpan adalah mesin pengisar jus, pemanas kopi, pembakar roti serta mesin wafel.

Sekiranya barangan ini masih berfungsi, adalah lebih baik diberikan kepada mereka yang boleh memanfaatkannya.

4) Bekas makanan

Ramai yang suka menyimpan bekas makanan dan plastik pasar raya untuk menjadikannya stok kerana berfikir ia mungkin diperlukan di kemudian hari.

Namun tabiat ini perlulah dikawal daripada menjadi keterlaluan, kelak rumah anda akan bertukar stor.

5) Prop hiasan

Jangan terkejut, ada sesetengah rumah yang masih menyimpan barangan beraneka seperti bunga manggar dari majlis kahwin atau perhiasan dari majlis lain.

Alasannya, mungkin boleh digunakan lagi nanti, hapuskanlah pemikiran sebegini kerana hanya akan menyesakkan rumah anda.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain