suria

Seriau tengok banyak kes kemalangan treler... Rujuk 5 panduan ini jika memandu berhampiran kenderaan berat

Saiz besar kenderaan berat membawa risiko kepada pengguna jalan raya.

SEJAK kebelakangan ini kerap dilaporkan kemalangan melibatkan kenderaan berat yang meragut nyawa pengguna jalan raya.

Melalui satu hantaran oleh syarikat logistik, THE LORRY.com, ada dikongsikan beberapa tip keselamatan yang boleh diamalkan ketika memandu berhampiran lori atau treler di atas jalan raya.

Panduan ini dapat membantu mengurangkan risiko anda terlibat kemalangan ngeri yang berpotensi menyebabkan kecederaan kekal atau maut.

Ayuh kita lihat!

1) Titik buta treler

Prinsip mudah yang boleh digunakan adalah untuk sentiasa memerhatikan cermin sisi pada treler.

Sekiranya anda tidak dapat melihat wajah pemandu treler pada cermin sisi, besar kemungkinan dia juga tidak dapat melihat kereta anda yang sedang mengikuti rapat daripada tepi.

Dalam situasi seperti ini sekiranya anda hendak memotong, disarankan untuk anda terus memandu ke depan bagi mencari ruang yang lebih selamat dan luas.

2) Sentiasa memotong treler daripada sebelah kanan

Untuk pengetahuan anda, titik buta sesebuah treler adalah lebih besar di bahagian kiri, ia berikutan tempat duduk pemandu yang terletak pada kanan kenderaan.

Demikian itu, elakkan memotong dari bahagian kiri kerana pemandu treler berkemungkinan tidak perasan akan kehadiran kereta anda.

Keselamatan di atas jalan raya perlu menjadi keutamaan setiap pengguna. -Gambar hiasan

3) Jarak selamat dengan treler

Sama ada anda berada di bahagian belakang atau depan treler, pastikan anda mempunyai jarak selamat sekitar 50 hingga 100 meter dengan kenderaan berat tersebut.

Ada kebarangkalian pada bila-bila masa untuk pemandu treler terbabit hilang kawalan ke atas kenderaannya seperti brek tidak berfungsi, berhenti mengejut atau kurang keseimbangan.

Jarak selamat ini memberikan masa kritikal kepada anda untuk keluar daripada bahaya sekiranya berlaku situasi tersebut.

4) Perhatikan lajak treler

Treler memerlukan ruang yang besar untuk membelok kerana keadaannya yang panjang, jadi sentiasa berwaspada tentang perkara ini, terutamanya ketika berada di simpang.

Adalah lebih baik untuk memberikan laluan kepada treler terlebih dahulu apabila dalam situasi sebegini, ingat, biar lambat asalkan selamat.

5) Kawasan simpang-siur atau berbukit

Jangan sesekali cuba memotong treler di kawasan sebegini kerana anda tidak mempunyai pandangan yang jelas tentang keadaan di hadapan.

Hanya memotong treler di jalan lurus, masa beberapa minit yang dijimatkan tidak berbaloi dengan risiko nyawa anda.

Semoga bermanfaat! - THE LORRY.com

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube