suria

Ramai ambil ringan penyakit pneumonia, punca kematian nombor satu! Ini 6 golongan berisiko tinggi

Penyakit pneumonia boleh menyebabkan komplikasi jika tidak dirawat segera. -Gambar hiasan

RAMAI pernah mendengar tentang pneumonia, namun bukan semua menyedari tahap keseriusan ancaman penyakit ini.

Menerusi perkongsian oleh Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Program Immunise4Life, Profesor Datuk Dr Zulkifli Ismail, didedahkan bahawa pneumonia merupakan punca kematian nombor satu negara sejak 2023.

"Penyakit pneumonia sudah mengatasi penyakit jantung iskemik, penyakit serebrovaskular (strok) dan kemalangan jalan raya sebagai punca kematian utama rakyat Malaysia," ujar Zulkifli.

Situasi membimbangkan ini menandakan bahawa rakyat Malaysia perlu lebih cakna untuk mengekang penularan penyakit pneumonia daripada bertambah buruk.

Apakah itu pneumonia?

Menurut Zulkifli, pneumonia merupakan jangkitan pernafasan yang disebabkan oleh influenza dan penyakit pneumokokal.

"Antara gejala pneumonia adalah rasa tidak sedap badan, kesesakan nafas, menghasilkan bunyi berdehit ketika bernafas, mengalami sakit dada dan berasa keliru (lazim berlaku pada warga emas).

"Pneumonia adalah keadaan apabila satu atau kedua-dua paru-paru meradang dan cecair terkumpul di dalam alveoli (kantung udara kecil).

"Keadaan ini sangat berbahaya kerana ia menghalang pertukaran oksigen dan boleh menyebabkan komplikasi yang teruk secara mengejut, termasuk kegagalan sistem pernafasan, sepsis, abses paru-paru dan juga kematian.

"Bagi sesiapa yang terjejas dengan pneumonia secara kronik, mereka mungkin akan diberikan rawatan perubatan intensif selama berminggu-minggu di hospital," jelas Zulkifli.

Imbasan sinar-X menunjukkan kesan pneumonia pada paru-paru. -Gambar hiasan

Golongan berisiko tinggi

Zulkifli menegaskan bahawa penyakit pneumonia boleh membawa maut kepada mereka yang berisiko tinggi, antaranya:

1) Individu berusia 60 tahun ke atas

2) Pesakit menghidap penyakit kronik

3) Perokok

4) Peminum alkohol tegar

5) Individu memiliki sistem imun yang lemah

6) Individu mengambil ubat-ubatan perencat sistem imun

Rasa kurang selesa pada bahagian dada merupakan petanda pneumonia. -Gambar hiasan

Cara pencegahan

Untuk makluman, pneumonia terbahagi kepada dua cabang iaitu jangkitan akibat bakteria atau virus.

Bagi jangkitan pneumonia bakteria atau pneumonia pneumokokal, ia kebiasaannya disebabkan oleh Streptococcus pneumoniae yang merebak melalui rembesan pernafasan seperti air liur dan hingus.

Jangkitan pneumononia ini boleh dicegah dengan mendapatkan vaksinasi pneumokokal, terdapat dua jenis iaitu Vaksin Konjugat Pneumokokal dan Vaksin Polisakarida Pneumokokal.

Satu lagi jangkitan pneumonia yang lebih lazim adalah pneumonia virus, boleh terjadi akibat jangkitan primer atau komplikasi sekunder selepas seseorang mendapat penyakit pernafasan yang lain.

"Pneumonia virus boleh disebabkan oleh virus influenza, virus sinsitium pernafasan (RSV) atau virus Covid-19.

"Vaksinasi influenza tahunan adalah disyorkan untuk semua orang bagi memastikan mereka mendapat perlindungan daripada virus ini serta mengurangkan risiko mendapat jangkitan teruk dan penyebaran komuniti.

"Bagi vaksinasi RSV, satu-satunya vaksin yang tersedia di Malaysia adalah vaksin RSV adjuvant dan ia disarankan kepada orang dewasa berumur 60 tahun ke atas.

"Manakala bagi Covid-19, warga emas dan individu dengan sistem imun lemah boleh terus menerima rawatan antivirus (Paxlovid) untuk mencegah jangkitan dan menghalangnya daripada berkembang menjadi pneumonia," jelas Zulkifli.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain