suria

Tekanan akibat pandemik dapat diatasi dengan amalan 3 kaedah psikospiritual secara Islam

Masalah tekanan banyak dilaporkan disebabkan oleh pandemik Covid-19 yang semakin mengganas.

SEJAK dunia dilanda wabak Covid-19 yang belum berakhir sehingga hari ini, ramai dalam kalangan manusia telah mengalami tekanan mental dan perasaan yang rata-rata tidak dapat lagi meneruskan kehidupan seperti sedia kala.

Dalam berdepan dengan norma baharu, masih ramai insan yang terkesan dengan situasi ini. Malah ada yang sanggup membunuh diri dek kerana tidak mampu lagi meneruskan hidup dan merasakan mati adalah penamat segala masalah dan tekanan yang dihadapi.

ARTIKEL BERKAITAN: Orang yang baik akhlaknya berada dekat dengan Rasulullah di akhirat kelak... Maka janganlah sakiti hati orang ketika berdakwah

Bagi mengatasi situasi ini, penulis mengemukakan elemen psikospiritual Islam yang merupakan suatu kaedah yang boleh diaplikasikan oleh setiap individu dalam mengharungi era pandemik yang penuh cabaran ini.

Psikospiritual Islam merupakan sebuah disiplin ilmu yang menggabungkan elemen psikologi dan kerohanian berasaskan kepada prinsip Islam. Ia memusatkan elemen tauhid sebagai landasan dalam pembinaan dan perawatan penyakit berkaitan rohani manusia.

Makna lainnya, psikospiritual Islam merupakan suatu method atau kaedah yang digunakan bagi menangani masalah sosial atau dalaman yang berlaku dalam kalangan masyarakat dengan menerapkan nilai-nilai kerohanian agar jiwa manusia sentiasa tenang dan cekal menghadapi ujian dengan sentiasa mengingati Allah SWT.

Nilai kerohanian membolehkan manusia mempunyai akhlak dan tingkah laku yang baik serta memelihara nilai-nilai itu walau apa juga perubahan yang berlaku di persekitarannya.

Solat

Menunaikan solat sunat taubat dan tahajjud dapat membantu.

Antara Sunnah yang Rasulullah SAW laksanakan bagi memantapkan rohani dan membentuk kekuatan peribadi seperti yang dinyatakan dalam Surah al-Muzzammil ayat 1 hingga 8.

Solat malam (qiyamullail) walaupun hanya sedikit di samping membaca al-Quran dengan tertib dan berzikir. Kerohanian ibarat raja dalam diri manusia yang akan menentukan baik atau buruknya individu.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Ingatlah dan bahawasanya dalam jasad manusia itu ada seketul daging yang apabila baik daging itu, maka baiklah jasad keseluruhannya dan jika rosak daging itu akan rosaklah jasad keseluruhannya, ingatlah, itulah dia hati.” - (Al-Bukhari, Abi ‘Abd Allah Muhammad Ibn Ismail al Bukhari, Sahih al Bukhari,12, no hadis: 52).

Maka dengan itu dalam mengawal keadaan supaya tidak berlarutan, psikologi manusia perlu dipulihkan dan dipandu dengan amalan kerohanian yang merupakan benteng pertahanan yang kuat dalam diri manusia. Di samping akidah mestilah sentiasa diperteguhkan, ilmu ditingkatkan dan akhlak yang baik pastinya akan menghiasi diri seseorang individu.

Antara kaedah atau rawatan psikospiritual Islam yang boleh diamalkan menurut al-Ghazali dalam membentuk insan yang ‘kamil’ atau sempurna.

Pertama adalah tazkiyyah al-nafs yang merupakan proses penyucian jiwa daripada perkara yang keji dan kotor hasil daripada perbuatan yang jahat.

Kedua, mujahadah al-nafs iaitu kesungguhan melawan nafsu dan menghapuskannya. Kaedahnya adalah dengan usaha untuk melawan nafsu dan syahwat.

Membaca al Quran

Amalkan membaca al-Quran dalam waktu sukar ketika ini.

Terdapat dua mujahadah iaitu mujahadah al-akbar adalah yang paling besar dan mulia kerana menentang nafsu sendiri dari berbuat maksiat.

Mujahadah al-asghar pula adalah melawan manusia yang kafir dan syirik kepada Allah SWT. Nilai-nilai negatif dalam diri manusia seperti dengki, cinta dunia, riyak, bangga diri dan sebagainya mampu dihapuskan menerusi mujahadah al-nafs ini.

Ketiga, riyadah al-nafs iaitu selepas proses menyucikan diri, manusia hendaklah bermujahadah daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh-Nya menerusi latihan jiwa seperti mempraktikkan amalan-amalan kerohanian yang telah disyariatkan dalam Islam.

Al-Ghazali membahagikan tingkatan riyadah kepada enam bahagian iaitu Musyaratah (penetapan syarat-syarat), Muraqabah (pengawasan diri), Muhasabah (menilai diri), Muaqabat (menghukum diri), Mujahadah (berusaha bersungguh-sungguh), Muatabat (menyesali dan mencela diri).

Setiap daripadanya mempunyai fungsi yang tersendiri dalam melatih jiwa manusia ke arah kesempurnaan. Riyadah al nafs sememangnya satu usaha yang sukar namun apabila ia menjadi kebiasaan, manusia akan berpegang kepada satu kebiasaan tersebut.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Kaedah ini dilaksanakan dengan sentiasa mengutamakan ibadah wajib diikuti dengan sunat kemudian mengekalkannya atau berterusan melakukannya.

Bersedekah

Sentiasa melazimi diri dengan bersedekah.

Antara amalan-amalan yang boleh dipraktikkan ialah:

1. Menunaikan solat sunat taubat dan tahajjud

2. Memperbanyakkan zikrullah (mengingati Allah)

3. Mendirikan Qiamullai

4. Membaca al Quran

5. Meningkatkan ilmu menerusi ceramah atau tazkirah di media massa

6. Mendampingi orang-orang soleh

7. Sentiasa melazimi diri dengan bersedekah

Maka marilah kita bersama-sama memantapkan jiwa dan memenuhinya dengan elemen kerohanian yang akan menguatkan spiritual dan kekuatan fizikal dalam meneruskan kehidupan yang penuh cabaran hari ini. Di samping menjadikan diri sebagai insan yang gembira setiap hari. Bertepatan dengan kalamullah yang membawa maksud: "Orang yang bertaubat, beribadat, memuji Allah, mengembara, rukuk, sujud, menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada kejahatan, dan menjaga hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang yang beriman itu.” - (Surah at-Taubah:112)

***Dr. Norhashimah Yahya adalah pensyarah, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain