suria

Tak salah kalau orang perempuan nak melawa, tapi jangan melebih-lebih sampai tarik perhatian ramai

Setiap wanita Muslimah perlu tahu hukum dan batas dalam berfesyen. Gambar hiasan

FESYEN adalah sinonim dengan golongan wanita dan untuk mengenakan sesuatu gaya sama ada dalam bentuk pakaian ataupun aksesori, ia diharuskan dalam Islam.

Ia berubah mengikut keadaan semasa dan zaman kini, keperluan kepada berfesyen semakin berkembang dan memberi kesan kepada penampilan si pemakai lebih-lebih bagi wanita yang berhijab.

Namun, fesyen perlu ada batasnya agar tujuan utama berpakaian dapat dipelihara seiring penjagaan maruah yang terkandung dalam Maqasid Syariah terutamanya bab memelihara aurat.

Malah, manusia juga dituntut untuk berpakaian kemas dan rapi namun biarlah mengikut syarat-syarat yang dianjurkan Islam iaitu menutup aurat dengan sempurna.

Firman Allah SWT dalam Surah al-A’raf ayat 31; “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”

Berdasarkan ayat di atas, sebagai Muslim kita hendaklah bersikap sederhana dalam melakukan apa sahaja perkara supaya tidak melampaui batas.

ARTIKEL BERKAITAN: Malu nak mohon ampun kerana kerap buat dosa? Jangan risau kasih sayang Allah tidak terbatas

ARTIKEL BERKAITAN: Seronok bergelumang maksiat, rupa-rupanya ‘nikmat’ buat dosa adalah azab Allah... Pendosa tak sedar sedang dihukum!

Justeru, ajaran Islam meletakkan garis panduan bagi fesyen wanita meliputi sudut pakaian, jenis pakaian dan aksesori.

1. Bentuk pakaian

Pakaian tersebut mestilah menutupi seluruh badan wanita kecuali anggota yang terdapat pengecualian seperti muka dan tangan.

Selain itu, pakaian mestilah tidak terlalu nipis, longgar, tidak ketat sehingga menampakkan bentuk fizikal badan dan selesa untuk dipakai supaya ia tidak menimbulkan fitnah di samping dapat menjaga kehormatan wanita Muslimah.

FESYEN 1

Wanita Muslimah diwajibkan memakai pakaian yang longgar dan menepati syariah. Gambar hiasan

2. Jenis pakaian

Pakaian dan berpakaian yang menyerupai agama lain adalah dilarang kerana terdapat hadis menegah perbuatan berkenaan. Sabda Rasulullah SAW; “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.” [HR Abu Daud, 4031]

Ibn Kathir menyatakan, hadis ini menunjukkan larangan dan amaran keras bagi sesiapa yang menyerupai orang kafir pada ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan, ibadah dan lain-lain. Selain itu, pakaian yang dikhususkan kepada jantina tertentu juga dilarang bagi jantina lain untuk memakainya.

Disebutkan dalam hadis Ibn Abbas bahawa; Rasulullah telah melaknati lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki. [HR Bukhari, 5886]

Penyerupaan yang dimaksudkan dalam hadis termasuklah cara berpakaian. Kata alim ulama, perkataan laknat seperti dalam hadis ini bererti jauh daripada kerahmatan, kemuliaan dan keampunan Allah SWT.

3. Aksesori pakaian

Aksesori pada pakaian adalah perhiasan dalam setiap penampilan wanita secara keseluruhannya seperti cincin, gelang tangan, anting-anting dan lain-lain. Kebanyakan reka bentuk fesyen wanita terkini dihiasi dengan pelbagai bentuk manik dan batu permata.

Ini akan mempamerkan kecantikan dalam setiap penampilan untuk ditatap di khalayak ramai. Penampilan dan perhiasan yang melampau adalah dilarang dalam agama. Ia disebut sebagai tabarruj.

Tabarruj ialah perbuatan berhias atau berpakaian secara berlebih-lebihan bagi seseorang wanita sehingga menarik perhatian ramai, tetapi tanpa membuka bahagianbahagian aurat.

FESYEN 3

Pakaian dan penampilan yang melampau adalah dilarang dalam agama Islam. Gambar hiasan

Allah berfirman dalam Al-Quran: Maksudnya: “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliah zaman dahulu...” [Surah al-Ahzab: ayat 33]

Mujahid mengatakan bahawa di zaman Jahiliah wanita akan berjalan di hadapan kaum lelaki dengan keadaan menarik perhatian, melenggang-lenggok dengan langkah yang manja.

Maka perbuatan tersebut dilarang setelah kedatangan Islam. Islam meraikan fitrah manusia yang sukakan kecantikan dan perhiasan tetapi perlu diingat ianya perlu mengikut lunas-lunas yang ditetapkan oleh syarak.

Allah SWT berfirman dalam Al-Quran; “Wahai anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu iaitu bahan-bahan untuk pakaian menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah daripada tanda-tanda limpah kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada hamba-hambaNya supaya mereka mengenangnya dan bersyukur." [Surah al-A’araf, ayat 26]

Justeru, panduan yang digariskan dalam Islam untuk berhias bukanlah suatu sekatan tetapi lebih kepada memelihara diri dan maruah si pemakai dari fitnah, sifat riak serta mengelakkan diri dari tersasar dari syariat Islam.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain