suria

Bukan sekadar bebas daripada penjajah, ada 3 cara hayati erti kemerdekaan berlandaskan Islam

Orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang pada malam ambang kemerdekaan di Anjung Floria, Putrajaya. Foto: Shaari Chemat/The Star

APABILA tiba tanggal 31 Ogos, kita akan meraikan sambutan kemerdekaan. Sejarah membuktikan bahawa negara kita tidak pernah lenyap dalam melahirkan pahlawan negara yang terbilang dan berjasa kepada negara.

Dalam mempertahankan maruah dan tanah air negara daripada musuh dan penjajah, sifat keberanian yang ada pada diri mereka itu amatlah besar kerana membantu melindungi negara.

Namun, adakah kini keberanian dan sikap itu masih wujud dalam diri kita sebagai rakyat dalam sebuah negara? Apakah makna merdeka yang sebenar pada diri kita?

Kemerdekaan yang sebenar adalah bukan sahaja bebas dari penjajah asing. Tetapi meliputi aspek tingkah laku, pemikiran dan budaya seseorang. Maksud kemerdekaan adalah sesebuah negara mendapat kebebasan daripada sebarang bentuk penjajahan samada dari segi jasmani mahupun rohani.

Bahkan, Rasulullah juga mempunyai sifat patriotik yang sangat tinggi berdasarkan satu riwayat hadis:

Maksudnya: "Alangkah baiknya dirimu wahai Makkah dan betapa cintanya diriku terhadapmu, seandainya kaumku tidak mengeluarkanku darimu, nescaya aku tidak akan tinggal selain daripadamu" (HR Tirmizi 3926)

merdeka 2

Sekitar konsert sambutan Ambang Kemerdekaan di Anjung Floria, Putrajaya.

Jika kita ikuti sejarah pada zaman pembukaan kota Makkah, kita boleh melihat banyak pengorbanan yang telah dilakukan oleh Rasululah semasa pembukaannya. Dalam masa yang sama baginda berterusan berdakwah kepada masyarakat tentang Islam walaupun mendapat tentangan hebat daripada kaumnya.

Hal yang sama juga dilihat pada pengorbanan pahlawan tanah air yang sanggup bergadai nyawa menentang penjajah asing seperti Mat Kilau, Tok Janggut, Dato' Bahaman dan lain-lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Hayati makna kemerdekaan yang hakiki agar kita menjadi rakyat dan mukmin sejati!

Mereka ini tidak mengenal erti putus asa berkorban demi mempertahankan tanah air yang tercinta. Tiadalah erti kemerdekaan tanpa merdekanya minda dan jiwa. Oleh itu, terdapat beberapa cara untuk kita menghayati erti kemerdekaan:

1.Menjaga hubungan sesama bangsa dan kaum

Dalam Surah Al-Hujurat ayat 13, Allah berfirman:

Maksudnya: "Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal".

Sebagai rakyat dan masyarakat yang hidup dalam sebuah negara yang berbilang kaum, kita mestilah berusaha mengekalkan keharmonian dan kemerdekaan yang dikecapi dengan cara bertoleransi, bermuafakat tidak berbalah antara sesama kaum dan bangsa.

Hal ini penting kerana ia akan mengekalkan kestabilan dan perpaduan antara kaum dan bangsa seterusnya menjadikan rakyat di negara ini lebih bersatu padu dan kukuh sesuai dengan anjuran agama 'Rahmatan lil Alamin'.

merdeka 1

Orang ramai menyaksikan pertunjukan bunga api pada malam ambang kemerdekaan di Anjung Floria, Putrajaya.

2. Sentiasa menjadi mukmin yang teguh dalam berakidah

Kemerdekaan sebenar di sisi seorang mukmin adalah apabila seseorang itu hanya tunduk dan patuh kepada tuhan yang maha agung. Hal yang demikian kerana Islam adalah satu-satunya agama yang membebaskan manusia dari belenggu syirik menyekutukan Allah SWT dan kufur serta amalan khurafat di zaman jahiliah.

Oleh yang demikian, mukmin yang sejati sentiasa menjaga pegangan tauhid serta berusaha memperkukuhkan akidah dengan ibadah dan amal taat kepada Allah.

3. Membersihkan diri dari sifat keji dan buruk

Kemerdekaan harus dilihat sebagai platfom mengangkat martabat kemuliaan insan. Manusia yang merdeka tidak menerima prilaku yang tidak bermaruah, kehidupan yang tidak bermoral, cemar dengan amalan keji dan jijik seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa, penipuan, bodek demi kepentingan peribadi dan sebagainya.

Prilaku dan perangai buruk seperti ini yang memberi kesan buruk kepada masyarakat secara khusus dan kepada kemajuan negara secara amnya.

Hanya dengan membebaskan jiwa dan minda daripada segala perkara buruk yang menggangu akal fikiran, ajaran agama serta akhlak yang baik sahaja akan mampu menerbitkan erti merdeka yang sebenar.

Oleh itu, sama-samalah kita memelihara, menyayangi dan mengekalkan kemerdekaan negara Malaysia tercinta ini dengan menghayati erti kemerdekaan sebenar buat diri, masyarakat serta negara.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain