suria

Sendiri buat, sendiri tanggung! Tiada istilah suami kena pikul dosa isteri selepas kahwin

Seorang isteri yang melakukan maksiat dan melanggar perintah Allah walaupun telah ditegur oleh suaminya, akan menanggung dosanya sendiri. Gambar hiasan

KAUM lelaki merupakan pemimpin dan bertanggungjawab kepada kaum wanita. Begitu juga buat suami, mereka hendaklah membimbing isteri menunaikan hak-hak kepada Allah dan menghalang mereka daripada melakukan maksiat.

Firman Allah (Maksudnya): “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.” [Surah An-Nisa’: ayat 34]

Bagi wanita yang sudah berkahwin pula, aurat wanita dikaitkan dengan suami masing-masing. Jika wanita itu tidak menutup aurat, suami mereka turut akan menanggung dosa. Kita sering mendengar bahawa selepas berkahwin, dosa isteri akan ditanggung oleh suami. Benarkah begitu? Bagaimana pandangan Islam tentang pernyataan tersebut?

Dalam Islam, tidak ada konsep seseorang menanggung dosa orang lain. Baik si ayah menanggung dosa anak ataupun suami menanggung dosa isteri. Yang ada adalah seseorang itu menanggung dosanya sendiri, atas perbuatan mereka sebagaimana firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu Dia menerangkan kepada kamu akan apa yang kamu berselisihan padanya.” [Surah Al-An’am, ayat 164]

ARTIKEL BERKAITAN: Awas! 15 perbuatan ini Allah turunkan bala termasuk suami dayus ikut telunjuk isteri

Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam tafsirnya menyebut, ayat di atas menyatakan tentang penetapan prinsip tanggungjawab peribadi. Ini adalah salah satu kemuliaan agama Islam yang agung, berbeza dari agama lain. Jika dilihat semula, terdapat firman-Nya yang menyokong pernyataan seseorang tidak menanggung dosa orang lain melainkan dirinya.

Firman Allah SWT (Maksudnya): “Tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.” [Surah Al-Thur, ayat 21]

“Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya. [Surah Al-Mudassir, ayat 38]

“(Oleh itu) katakanlah (wahyu Muhammad): "Kamu tidak akan bertanggungjawab tentang kesalahan yang kami lakukan, dan kami pula tidak akan bertanggungjawab tentang apa yang kamu kerjakan.” [Surah Saba’, ayat 25]

Prinsip yang diterangkan dalam ayat ini menafikan pengamalan konsep sebahagian masyarakat Jahiliah bahawa ayah menanggung dosa anak mereka, serta suami menanggung dosa isteri mereka secara total. Disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud;

Abi Rimsah berkata, “Aku berangkat bersama bapaku menghadap Nabi SAW. Kemudian Rasulullah SAW bertanya kepada bapaku: Adakah ini anakmu? Jawabnya: Ya, demi Tuhan Ka’bah. Baginda tanya lagi: Benarkah? Lalu dia menjawab: Aku bersaksi atasnya. Maka Rasulullah SAW tersenyum kerana kemiripanku dengan bapaku dan juga kerana sumpahnya dengan nama Allah atas diriku. Kemudian baginda SAW bersabda: Adapun dia, sungguh dosanya tidak engkau tanggung hukumannya dan dosamu tidak membuatnya menanggung hukumannya. Lalu baginda membaca ayat (yang terjemahannya): Dan seseorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain.” [Sunan Abi Daud, 4495]

suami isteri

Teguran dan didikan dari suami sangat perlu dalam membimbing dan memimpin orang yang berada di bawah tanggungannya. Gambar hiasan

Lain pula halnya jika seorang suami yang mengabaikan tanggungjawab ke atas tanggungannya. Ia dikira berdosa sekiranya membiarkan isteri dan anak-anaknya terus-menerus dalam berbuat dosa dan maksiat seperti mendedahkan aurat.

Teguran dan didikan dari suami sangat perlu dalam membimbing dan memimpin orang yang berada di bawah tanggungannya.

Sabda Rasulullah SAW: (Maksudnya): “Cukuplah seorang lelaki itu dikira berdosa apabila dia mengabaikan tanggungjawabnya ke atas sesiapa yang berada di bawah penjagaannya.” [HR Abu Dawud 1692]

Jika seorang isteri yang telah melakukan maksiat dan melanggar perintah Allah walaupun telah ditegur oleh suaminya, maka isteri itu menanggung dosanya sendiri. Dosa kepada Allah SWT kerana melanggar perintah-Nya menutup aurat dan dosa terhadap suaminya kerana mengingkari arahan dan suruhan suaminya pada ketaatan Allah.

Seseorang perlu mematuhi arahan suami selagimana arahan tersebut tidak menyuruh berbuat maksiat kepada Allah SWT. Sabda Rasulullah SWT maksudnya; “Tiada ketaatan pada perkara maksiat kepada Allah, Sesungguhnya ketaatan hanyalah kepada perkara makruf (kebaikan).” [HR. Al-Bukhari, 6830]

Menutup aurat adalah perintah daripada Allah yang wajib ditunaikan oleh setiap orang beriman. Tidak kira sama ada itu suruhan suami atau kerana arahan undang-undang atau syarikat atau sebagainya. Bahkan, perbuatan kearah perkara makruf seperti menyuruh seseorang menutup aurat adalah dikira berpahala kerana ianya disyariatkan dalam agama.

Justeru, seorang suami hendaklah menegur isteri dan menyuruh isteri menuruti perintah Allah. Tegur jika isteri silap atau mungkin dia terlupa. Walaupun kita sebagai suami berhak ke atas isteri, tetapi bab perintah dan suruhan Allah, kita tidak boleh abaikan bahkan menyokong isteri terhadap perkara yang salah di sisi agama.

Dalam masa yang sama, Islam amat menekankan adab percakapan dan pertuturan walaupun dengan sesiapa yang kita jumpa. Teguran dan cara percakapan hendaklah tidak mengguris hati seseorang. Dalam Al-Quran, diceritakan bahawa Lukmanul Hakim telah berpesan kepada anaknya supaya merendahkan suara semasa berkata-kata:

Maksud: “Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.” [Surah Luqman, ayat 19]

Firman Allah dalam Surah Al-Ahzab ayat 59: (Maksudnya): “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Semoga kita semua tidak termasuk dalam golongan yang gagal melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain