suria

‘Raya kan sebulan’, boleh ke sambut sepanjang Syawal? Ini jawab mufti... dan jangan lupa puasa sunat ketika sibuk beraya

Tradisi kunjung mengunjung sepanjang Syawal sudah sebati dengan masyarakat di negara kita. Gambar hiasan

"RAYA kan sebulan...."

Semestinya kita biasa mendengar ungkapan tersebut dalam perbualan bersama sanak saudara mahupun rakan-rakan ketika ini.

Tradisi masyarakat Melayu di negara kita juga mengamalkan ziarah sepanjang bulan Syawal kerana majoritinya akan menganjurkan rumah terbuka untuk memeriahkan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Namun, timbul persoalan mengenai hukum meraikan hari raya selama sebulan memandangkan Aidilfitri yang disyariatkan hanya pada 1 Syawal.

Persoalan tersebut dihuraikan dengan penuh tuntas di laman web Mufti Wilayah Persekutuan untuk meleraikan kekeliruan ramai.

Berikut adalah ringkasan petikan jawapan daripada laman web berkenaan:

Dalam sebuah hadis diriwayatkan bahawa ketika mana Nabi Muhammad SAW sampai ke Madinah, baginda mendapati penduduk Madinah memiliki dua hari yang mereka bergembira padanya, lalu Nabi SAW bertanya:

"Apakah dua hari ini?" lalu jawab mereka, "Ia adalah hari untuk kami bergembira".

raya

Sudah menjadi tradisi masyarakat di negara kita untuk menziarahi sanak saudara sepanjang Syawal. Gambar hiasan

Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah telah mengantikan dua hari tersebut dengan yang lebih baik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha". (Riwayat Abu daud)

Pada hari raya, umat Islam juga digalakkan untuk saling menziarahi dan menyambung silaturahim.

ARTIKEL BERKAITAN: Seronok pergi rumah terbuka, beradablah sebagai tetamu... Jaga solat, jangan selamba tapau makanan antara perkara perlu diingat

Suasana di Malaysia, orang ramai akan meneruskan aktiviti menziarah saudara-mara dan rakan taulan sehingga akhir Syawal dengan mengadakan rumah terbuka dan sebagainya.

Terdapat banyak hadis yang menyebut berkenaan anjuran Islam untuk menyambung hubungan silaturahim, ukhuwah dan memuliakan tetamu. Dalam sebuah hadis, Nabi SAW bersabda:

Maksudnya: "Siapa yang suka untuk diluaskan rezkinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia menyambung silaturahim". (Riwayat al-Bukhari)

Manakala berkenaan kelebihan memuliakan tetamu pula Nabi SAW bersabda:

"Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka berkatalah benar atau diam, siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat janganlah menyakiti jiran, siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka muliakanlah tetamu". (Riwayat al-Bukhari)

Tidak dinafikan bahawa hari raya yang disyariatkan hanyalah pada 1 Syawal.

makanan

Elakkan pembaziran makanan ketika menganjurkan rumah terbuka. Gambar hiasan

Walau bagaimanapun, ia tidak menafikan kebaikan untuk saling ziarah-menziarahi dan menyambung silaturahim sama ada pada bulan Syawal mahupun pada bulan-bulan lain.

Adat kebiasaan di Malaysia pada bulan Syawal, orang ramai akan melakukan ziarah dan ini merupakan kebiasaan yang baik.

Mana-mana adat yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak maka hukum asalnya adalah harus.

Kesimpulannya, Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanya pada 1 Syawal.

Menyambut hari raya dengan melakukan ziarah sepanjang Syawal merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Menziarah dan memuliakan tetamu adalah suatu yang dianjurkan oleh Nabi SAW.

Namun, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melupakan puasa sunat 6 Syawal di samping melakukan amalan ziarah sepanjang bulan Syawal.

Selain itu, orang ramai dinasihatkan juga supaya tidak membazir atau melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak sepanjang aktiviti atau majlis ziarah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain