suria

Jangan angkuh ketika menegur, guna bahasa lembut... Hadam 5 cara beri nasihat dalam Islam

Gunakan bahasa yang sopan ketika menegur seseorang. -Gambar hiasan

KETIKA ini rata-rata warga maya berbahas mengenai tindakan seorang penyanyi senior yang dikatakan agak kurang beradab dan tidak profesional ketika ditemubual media secara langsung.

Video temubual tersebut tular di media sosial dengan majoriti netizen mengkritik artis berkenaan dan menggesanya membuat permohonan maaf ekoran tindakannya melontarkan teguran berbaur hinaan.

Tidak salah memberi teguran untuk membetulkan sesuatu, namun ada adab dan caranya.

ARTIKEL BERKAITAN: Datuk Hattan terus digesa mohon maaf... GKMM kesal sikap tidak profesional sebagai artis senior

Malah, Islam sendiri menganjurkan garis panduan untuk menegur atau menasihati orang lain agar individu yang ditegur tidak rasa malu, sekali gus matlamat 'memperbetulkan' menjadi realiti dan terlaksana.

Beberapa Firman Allah SWT ada menyentuh mengenai perbuatan menyarakan teguran:

"....dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." (AI-'Asr 103:3)

"Ajaklah (wahai Muhammad) mereka ke arah jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang elok dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang paling baik.

(An-Nahl 16:125)

Kata-kata Imam Syafie:

"Jika seseorang menegur kesalahanmu secara sembunyi, itu bermakna dia ikhlas dan inginkan kamu menjadi baik.

"Jika seseorang menegur kesilapanmu di khalayak ramai, itu bukannya kerana inginkan kamu menjadi baik tetapi dia memalukanmu."

teguran

Salah satu adab menegur adalah memberi teguran ketika sedang bersendirian atau berada di tempat tertutup.

Menurut cara Islam, ada 5 langkah bagaimana hendak menegur kesalahan orang lain iaitu:

1. Berilah nasihat dan teguran dengan bahasa dan suara yang lembut, janganlah sesekali kita menasihati dan menegur dengan suara yang tinggi dan menggunakan bahasa yang angkuh dan seumpamanya kerana kita menasihati dan menegur bukan untuk mendedahkan aib orang.

2. Elakkanlah daripada menasihati dan menegur kesilapan atau kesalahan di depan orang ramai. Nasihati dan tegurlah ketika dia sedang bersendirian atau ketika berada di tempat yang tertutup.

Berilah nasihat dan teguran dengan adab dan cermat bukannya dengan cara yang boleh menimbulkan perasaan malu kepada orang yang ditegur.

3. Berilah nasihat dan teguran dengan menggunakan perkataan-perkataan yang baik dan bermanfaat agar tidak menyinggung perasaan orang yang ditegur.

Berhati-hati dalam memilih perkataan yang sesuai agar orang itu tidak merasa terhina dan rendah diri. Berilah nasihat dengan akal fikiran dan hati bukannya dengan emosi.

4. Orang yang menasihati dan menegur hendaklah meminta maaf selepas membuat teguran kerana tujuan meminta maaf itu adalah untuk memujuk perasaan orang yang ditegur supaya jangan terasa hati di atas nasihat dan teguran yang diberikan.

Apabila kita ingin menasihati dan menegur seseorang, nasihati dan tegurlah sebagaimana kita inginkan diri kita ditegur atau dinasihati dan tegurlah sebagaimana kita inginkan anak dan ahli keluarga kita ditegur.

5. Sentiasa bersangka baik terhadap orang yang kita nasihati dan tegur kerana mungkin mereka tidak mengetahui apa yang mereka lakukan itu adalah satu kesalahan. Selamat beramal!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain