suria

Pertama kali sambut Aidilfitri, mualaf beraya seorang diri selepas niat ditentang keluarga... minat Islam sejak sekolah menengah

Dinesh berkongsi kisah pengislaman dirinya ketika program Iftar Ramadan Santuni Mualaf yang dianjurkan Masjid Tengku Kelana Jaya Petra.

"SAYA hanya sambut Aidilfitri seorang diri tahun ini..."

Demikian kata-kata penuh sayu seorang pemuda yang baru bergelar mualaf ketika ditanya mengenai sambutan lebaran pertama dirinya sebagai seorang Muslim.

Hanya mahu dikenali sebagai Dinesh, pemuda berusia 25 tahun dan berketurunan India ini berkata, dia akan beraya di masjid bersama-sama dengan mualaf lain.

"Pagi raya, saya akan datang masjid dan menunaikan solat sunat Aidilfitri berjemaah. Itu saja. Saya tiada kawan rapat dalam kalangan orang Islam. Jadi hanya bersama komuniti mualaf saja. Kiranya raya sebagai 'lone ranger'," ujarnya kepada mStar.

Dinesh berkata demikian ketika ditemui semasa program Iftar Ramadan Santuni Mualaf yang dianjurkan Masjid Tengku Kelana Jaya Petra, Petaling Jaya, pada 9 April lalu.

Dalam majlis tersebut, pemuda ini secara rasmi melafaz dua kalimah syahadah yang dipimpin oleh seorang pendakwah bebas, Ustaz Dr Mohammad Nidzam Abdul Kadir.

Berkongsi pula perjalanan kisah pengislaman dirinya, Dinesh berkata dia sudah mula tertarik dengan Islam sejak belasan tahun lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: 200 mualaf iftar di masjid macam keluarga besar, paling sebak momen lafaz syahadah oleh 3 saudara baharu

"Kalau anda nak tahu jawapannya dari mana saya berminat dengan Islam, sejujurnya saya tiada jawapan. Dah bertahun (berminat tentang Islam), ketika di sekolah menengah.

"Saya rasa ia datang secara semula jadi... sedikit sebanyak saya fikir sebab bergaul dengan ramai rakan Muslim.

MUALAF

Sebahagian daripada 200 mualaf yang diraikan dalam program Iftar Ramadan Santuni Mualaf di Masjid Tengku Kelana Jaya Petra pada 9 April lalu.

"Tapi sebenarnya saya banyak membuat research sendiri. Saya buat research tentang Islam kerana didorong oleh perasaan ingin tahu yang menebal. Mungkin disebabkan curiousity itu buatkan saya buat research," ujarnya yang berasal dari Negeri Sembilan.

Tambah pemuda yang bekerja dengan sebuah syarikat di Petaling Jaya ini, tidak mudah sebenarnya perjalanan yang dilalui sebelum akhirnya dia berjaya memeluk Islam.

"Sebenarnya, keluarga sudah boleh hidu sejak saya berminat dengan Islam. Mereka terutama ibu secara jelas menentang niat saya jika saya nak peluk Islam.

"Ini kerana masyarakat atau komuniti India di kampung saya takkan terima dan layanan mereka kepada ibu serta keluarga saya pastinya berbeza bila tahu ada yang peluk Islam.

"Disebabkan membuak-buak minat kepada Islam, saya pernah mengucap syahadah dengan seorang imam di kampung secara sembunyi ketika berusia 18 tahun.

"Saya cuba untuk ikuti cara hidup seperti seorang Islam selepas syahadah itu. Waktu itu tak ada yang bimbing saya. Saya tak register langsung selepas lafaz syahadah itu, sehinggalah akhirnya hari ini (9 April), saya nekad untuk melafaz dua kalimah syahadah secara rasmi," ujarnya.

Ditanya mengenai harapan dan perancangannya, Dinesh berkata tiada apa yang dia mahukan melainkan berdoa agar ibu dan keluarganya akan dapat menerima pengislaman dirinya dengan hati yang terbuka.

"Harapan... saya harap mereka (keluarga) akan dapat terima diri saya selepas ini. Saya tak pasti bila nak beritahu berita ini kepada mereka, mungkin selepas raya.

"Tapi harapan terbesar saya adalah agar saya punyai karakter yang baik dan dapat mencontohi karakter Rasulullah agar orang lain juga tertarik kepada Islam," akhirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain