suria

Seronok nak sambut Aidilfitri... Ini 7 cara Nabi berhari raya

Dalam pada gembira mahu menyambut Aidilfitri, jangan lupa melakukan amalan sunat untuk beroleh pahala dan keberkatan. Gambar hiasan

SELEPAS sebulan menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadan, tiba masanya umat Islam menyambut hari kemenangan.

Meskipun bulan Ramadan bakal berlalu pergi, namun kita masih boleh merebut ganjaran pahala ketika Aidilfitri.

Bagaimana caranya? Meraikan Hari Raya Aidilfitri juga merupakan satu ibadah jika ia dilaksanakan dengan betul dan mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW.

Antara amalan Aidilfitri yang boleh kita lakukan adalah seperti yang berikut:

1. Mandi sunat Aidilfitri

Mandi sunat Hari Raya biasa diamalkan oleh Rasulullah SAW sebelum keluar menunaikan solat sunat Aidilfitri.

sunat 5

Mandi sunat di pagi 1 Syawal adalah amalan Rasulullah SAW. Gambar hiasan

Berdasarkan hadis riwayat Al-Baihaqi:

Maksudnya: Ali bin Abi Thalib RA pernah ditanya mengenai mandi. 'Adakah diharuskan mandi setiap hari?' Beliau menjawab: 'Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri.' (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

Diharuskan mandi bermula dari tengah malam manakala waktu yang disunatkan pula adalah selepas terbitnya fajar hingga terbenam matahari.

ARTIKEL BERKAITAN: Mungkin ada yang terlupa... amalan sunnah makan sebelum solat sunat Aidilfitri bukti haram berpuasa 1 Syawal

2. Berpakaian cantik

Ini bukan bermaksud pakaian yang baru, mahal atau mewah. Sebaliknya pakailah sesuatu yang istimewa mengikut kemampuan diri.

3. Memakai haruman atau wangian

sunat 4

Memakai wangian adalah salah satu perkara yang disukai oleh Rasulullah. Gambar hiasan

Memakai wangian merupakan sunnah Rasulullah SAW. Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya:

"Tiga perkara yang disukai oleh ku daripada dunia adalah wanita yang halal, wangian dan rasa seronok dalam solat". (Hadis Riwayat Ahmad, Hakim dan Baihaqi)

4. Makan pagi sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri

Menjadi amalan sunah untuk makan dahulu sebelum mendirikan solat sunat Aidilfitri. Ini berdasarkan perbuatan Baginda Rasulullah.

sunat 2

Jamahlah sedikit hidangan sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri. Gambar hiasan

Pada Hari Raya Rasulullah tidak berangkat untuk melaksanakan solat sehingga baginda makan beberapa butir kurma. (HR Bukhari 900).

Perbuatan Rasulullah itu menunjukkan hari kebesaran umat Islam adalah juga diharamkan untuk berpuasa.

5. Mengerjakan solat sunat Aidilfitri

sunat 3

Hukum mendirikan solat sunat Aidilfitri adalah suant muakkad. Gambar hiasan

Solat sunat Aidilfitri terdiri daripada dua rakaat. Hukum mendirikan solat sunat Aidilfitri adalah sunat muakkad. Lafaz niat solat sunat Aidilfitri ini adalah seperti yang berikut:

"Sahaja aku sembahyang sunat Hari Raya Aidil Fitri dua rakaat makmum kerana Allah Taala".

6. Ziarah-menziarahi

Hadis dari Nabi Muhammad SAW bermaksud:

"Barangsiapa yang suka untuk memperluaskan baginya rezekinya, dan ditangguhkan (dipanjang) umurnya, maka hendaklah dia menyambung (mengukuh) hubungan persaudaraannya." – (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

sunat 6

Ziarah-menziarahi ketika hari raya dapat mengeratkan hubungan silaturrahim.

7. Puasa sunat enam hari

Puasa sunat atau lebih dikenali sebagai 'puasa 6' mempunyai banyak kelebihannya seperti mana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW.

Maksudnya: "Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun." – (Hadis Riwayat Muslim, 1164)

Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja dalam bulan Syawal kecuali 1 Syawal.

Sama-sama kita mencari keberkatan di samping meraih pahala ketika Aidilfitri. Semoga bermanfaat!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain