suria

Tertarik tengok majikan solat, ‘jentik’ hati wanita Filipina peluk Islam... kini lebih tenang, mualaf rasai nikmat sebenar rai Aidilfitri

Elisa (dua, kiri) dan Aiza (tengah) secara rasmi melafaz dua kalimah syahadah pada 9 April lalu.

HIDAYAH datang dalam pelbagai cara.

Bagi wanita bernama Elisa Purqued, dia mula tertarik dengan Islam sejak lapan tahun lalu, selepas bekerja dengan satu keluarga Melayu.

"Saya datang ke Malaysia lapan tahun lalu dan bekerja di pusat jagaan warga emas. Majikan saya beragama Islam.

"Apa yang membuatkan saya tertarik dengan agama ini adalah kerana melihat ia berbeza dengan agama saya sebelum ini iaitu Katholik. Saya banyak perhatikan majikan saya.

"Dia tak merokok dan tak minum alkohol, malah saya selalu melihatnya solat menandakan dia sangat patuh kepada agamanya. Daripada situ, saya perlahan-lahan tertarik dengan Islam," ujar wanita berusia 44 tahun dari Filipina ini kepada mStar.

Dia berkata demikian ketika ditemui semasa program Iftar Ramadan Santuni Mualaf yang dianjurkan Masjid Tengku Kelana Jaya Petra, Petaling Jaya, pada 9 April lalu.

elisa

Elisa Purqued mengenali Islam sejak datang ke Malaysia lapan tahun lalu.

Dalam majlis tersebut, wanita ini secara rasmi melafaz dua kalimah syahadah yang dipimpin oleh seorang pendakwah bebas, Ustaz Dr Mohammad Nidzam Abdul Kadir.

Tambah Elisa, sejak lapan tahun lalu selepas mengenali Islam, dia sudah mula cuba untuk berpuasa di bulan Ramadan, malah meninggalkan tabiat lamanya walaupun masih belum memeluk Islam ketika itu.

"Sebelum ini, saya mengambil minuman keras, berpakaian seksi dan merokok. Kini semua perkara itu sudah saya tinggalkan.

"Perubahan yang saya rasakan? Sudah tentu terasa lebih tenang dan aman. Itulah keindahan Islam," ujarnya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Pertama kali sambut Aidilfitri, mualaf beraya seorang diri selepas niat ditentang keluarga... minat Islam sejak sekolah menengah

Elisa bersyukur kerana hasratnya untuk memeluk Islam tidak mendapat bantahan daripada keluarga serta empat anaknya yang kini menetap di Filipina bersama bekas suaminya.

Sambutan Aidilfitri pada tahun ini, tambah Elisa, adalah sambutan yang sangat bermakna buat dirinya selepas secara rasmi memeluk agama Islam.

aiza

Aiza Barrion sebak menceritakan kisah penghijrahan dirinya.

"Saya hanya menyambutnya dengan rakan-rakan mualaf di sini nanti. Sudah tentu saya rasa teruja dan gembira malah tidak sabar-sabar meraikan hari kemenangan bagi seluruh umat Islam," akhirinya.

Sementara itu, bagi Aiza Barrion, dia tertarik dengan Islam selepas melihat majikannya mengerjakan solat.

"Sebelum ini saya bekerja di Kuwait selama dua tahun, dan sekarang bekerja dengan keluarga Pakistan di Malaysia... apa yang saya perhatikan daripada kedua-dua majikan, mereka sangat patuh pada ajaran Islam.

"Mereka solat lima kali sehari. Perkara itu buatkan saya tertanya-tanya, kenapa mereka selalu solat?

"Satu lagi yang membuatkan saya tertanya-tanya, dari Kuwait hingga Malaysia saya ditakdirkan bekerja dengan majikan beragama Islam. Saya rasa, mungkin Allah sudah atur yang terbaik untuk saya," ujarnya yang juga bekerja di pusat jagaan warga emas di Petaling Jaya.

convert 1

Elisa dan Aiza secara rasmi melafaz dua kalimah syahadah yang dipimpin oleh seorang pendakwah bebas, Ustaz Dr Mohammad Nidzam Abdul Kadir.

Aiza juga merupakan salah seorang saudara baharu yang secara rasmi melafaz dua kalimah syahadah dalam program Iftar Ramadan Santuni Mualaf yang dianjurkan Masjid Tengku Kelana Jaya Petra.

"Beberapa hari sebelum saya lafaz kalimah syahadah, perasaan saya sebenarnya bercampur baur. Saya gembira, sedih dan berdebar-debar dalam masa yang sama. Namun saya sempat membeli baju baru khusus untuk dipakai semasa memeluk Islam... menandakan permulaan perjalanan hidup baharu saya.

"Saya berharap keluarga saya akan menerima keputusan ini dengan lapang dada dan terbuka... saya bercadang untuk memberitahu mereka sebelum kepulangan saya ke sana nanti.

"Untuk sambutan Aidilfitri, sama seperti Elisa, saya menyambutnya dengan rakan-rakan mualaf di sini. Alhamdulillah, walaupun tidak bersama keluarga, tetapi komuniti mualaf di sini pun ibarat satu keluarga," ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain