MUZIK merupakan salah satu cabang seni yang sebati dalam kehidupan manusia sejak zaman dahulu sehingga ke hari ini. Menurut lama web Mufti Wilayah Persekutuan, jumhur ulama dan fuqaha’ mengharamkan alat muzik. Namun ada sebahagian mereka yang mengharuskan alat muzik dalam keadaan tertentu. Fatwa dan pandangan ulama kontemporari 1. Fatwa Dar al-Iftaa’ Misriyyah Nyanyian dan muzik secara amnya terbahagi kepada dua, iaitu yang diharuskan dan yang diharamkan. Ini kerana nyanyian itu satu bentuk komunikasi dan susunan perkataan. Perkataan yang baik maka ianya baik, perkataan yang buruk maka ianya menjadi buruk. Adapun pandangan para ulama yang mengharamkan sebahagian alat muzik adalah kerana alat muzik itu dimainkan untuk menggalakkan aktiviti maksiat, dan bukan kerana sifatnya sebagai alat muzik semata-mata. Mendengar muzik dan nyanyian serta menghadiri konsert adalah harus jika lagu-lagu yang dimainkan berunsur keagamaan dan menyeru kepada patriotisme dan semangat kenegaraan. Ataupun bagi menzahirkan kegembiraan sempena perayaan dalam keadaan mengelakkan percampuran bebas lelaki dan perempuan. Muzik dan nyanyian juga telah menjadi satu perkara yang diterima dan diamalkan secara meluas di seluruh pelusuk dunia. (Gambar Hiasan) Selain itu, nyanyian berkenaan juga haruslah bebas daripada unsur jelek, dosa dan perkara yang diharamkan seperti arak dan kelucahan, tidak menimbulkan nasfu syahwat serta tidak melalaikan daripada perkara-perkara yang wajib. Nyanyian dan muzik yang haram pula ialah tidak memenuhi syarat-syarat di atas, serta menimbulkan fitnah, menghilangkan sifat malu dan meruntuhkan akhlak. 2. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-2 yang bersidang pada 12 hingga 13 Mei 1981 membuat keputusan seperti berikut: - Nyanyian yang senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat, tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah adalah harus; - Jika nyanyian senikatanya tidak baik, lucah, biadap, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul lelaki dengan perempuan dan membawa kepada fitnah maka nyanyian itu adalah haram; - Pancaragam yang melalaikan hukumnya haram; - Mendengar nyanyian dan pancaragam adalah harus dengan syarat senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap, tidak bercampur lelaki dan perempuan dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah; dan - Menyanyi untuk menimbulkan semangat jihad adalah harus. 3. Fatwa Syeikh Dr. Yusof al-Qaradhawi Menurut Syeikh al-Qaradhawi, isu ini menjadi khilaf yang hangat diperdebatkan dalam kalangan ulama. Nyanyian yang disepakati haram ialah yang melibatkan maksiat atau mempunyai unsur mengajak ke arah maksiat. Adapun yang disepakati harus pula ialah nyanyian yang menjurus ke arah naluri fitrah yang dialunkan untuk dirinya, nyanyian sesama suami isteri atau sesama kanak-kanak. Selain daripada jenis-jenis ini termasuk di bawah ruang perselisihan para ulama. Beliau mentarjihkan pandangan yang mengharuskan muzik dan nyanyian dan ia merupakan hukum asal bagi perkara-perkara baik dan dan indah. Namun, terdapat beberapa unsur luaran yang terpalit padanya yang menyebabkan hukum boleh berubah kepada haram atau makruh tahrim. Konsert yang dianjurkan sering mendapat sambutan menggalakkan. (Gambar Hiasan) Beliau turut meletakkan beberapa peringatan dan garis panduan bagi sesiapa yang mendengar nyanyian dan mempraktikkannya: - Sesiapa yang berniat mendorong diri untuk melakukan maksiat melalui nyanyian, maka dia seorang fasik. Jika bertujuan merehatkan jiwa, membantu untuk taat kepada Allah SWT dan menyegarkan diri, maka ia dikira perbuatan yang baik. Jika tidak berniat baik atau buruk, maka ia dikira perbuatan al-lahwu/ al-bathil (sia-sia) yang tidak berpahala mahupun dosa. - Lirik mestilah tidak mengandungi unsur menyalahi akidah, hukum-hakam dan kewajipan Islam. - Gaya penyampaian penyanyi mestilah menjaga batas-batas syarak. - Agama Islam menolak sebarang unsur keterlaluan dalam setiap perkara, meskipun dalam isu ibadah. Keterlaluan dalam perkara harus akan menghabiskan masa yang sepatutnya digunakan untuk melakukan kewajipan. - Setiap pendengar mestilah menilai dan menentukan sendiri nyanyian yang boleh didengar. Mereka lebih mengetahui bentuk-bentuk nyanyian yang mampu merangsang nalurinya, menggodanya kepada fitnah dan melupakan unsur rohani dalam dirinya. (Rujuk Halal dan Haram dalam Islam) Kesimpulan Tuntasnya, muzik bukanlah satu perkara yang boleh dihukumkan sebagai harus secara mutlak, atau diharamkan secara mutlak. Yang mengharamkan muzik dan nyanyian telah menyatakan alasan dan hujah mereka secara terperinci, manakala yang mengharuskan pula menetapkan syarat-syarat dan garis panduan yang mesti dipatuhi. Para ulama dahulu mahupun kontemporari bersepakat akan pengharaman setiap lagu mahupun muzik yang mengandungi unsur-unsur yang jelas haram seperti menggalakkan zina, dorongan meminum arak, tarian-tarian mengghairahkan dan lirik yang mendorong kepada keganasan. Mereka hanya berbeza pandangan pada muzik dan nyanyian yang bebas daripada unsur-unsur tersebut. Nyanyian dan muzik secara amnya terbahagi kepada dua, iaitu yang diharuskan dan yang diharamkan. (Gambar Hiasan) Tuntasnya, kami cenderung kepada pandangan yang mengharuskan nyanyian dan muzik, selagi mana ia tidak mempunyai unsur-unsur yang diharamkan seperti arak, pergaulan bebas tanpa batas, lirik yang menyanggahi syariat dan aqidah Islam serta melalaikan pendengar dan pengamal muzik daripada tanggungjawab dan kewajipan agama. Menurut Ibn ‘Abd Rabbihi al-Andalusi sewaktu menyimpulkan khilaf dalam ulama menyatakan bahawa hukum muzik dan nyanyian sama seperti syair; jika baik kandungannya maka baiklah ia, dan jika buruk kandungannya maka buruklah ia. (Rujuk al-‘Aqd al-Farid, 7/10) Inilah juga kalam Imam al-Syafi’e sewaktu bercakap tentang sya’ir yang diriwayatkan oleh Imam al-Juwainiy. Maksudnya: Syair itu merupakan himpunan kata-kata, apabila baik lafaz dan kandungannya maka baiklah ia, jika buruk maka buruklah ia. (Rujuk Nihayah al-Matlab) Meskipun banyak hadis yang secara zahirnya melarang muzik dan nyanyian, namun ia sering disebut bersama dengan arak. Ini menunjukkan bahawa pengharaman muzik oleh sebahagian ulama, bukan kerana zat muzik dan nyanyian itu sendiri. Maka kerana itulah fatwa para ulama kontemporari mengharuskan muzik dan nyanyian sekiranya ia bebas daripada unsur-unsur maksiat dan kejelekan. Selain itu, muzik dan nyanyian juga menjadi satu perkara yang diterima dan diamalkan secara meluas di seluruh pelusuk dunia dan dalam pelbagai aspek kehidupan. Mengharamkan muzik dan nyanyian secara mutlak akan menyebabkan berlakunya kesusahan dan kesukaran kepada umat Islam, sedangkan Allah SWT telah berfirman. Maksudnya: Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Trend semasa industri muzik juga menunjukkan bahawa kebanyakan lagu yang menjadi kegilaan masyarakat sekarang ialah lagu-lagu cinta yang tidak membentuk jiwa dan memberikan ketenangan. Maka adalah menjadi tanggungjawab ahli muzik, produser dan penulis skrip Muslim untuk mengubah situasi ini dengan memperbanyakkan lagu-lagu berunsur dakwah, ketuhanan, kemanusiaan, kemasyarakatan dan lain-lain tema yang perlu ditonjolkan bagi menjadikan industri muzik tanah air lebih patuh Syariah. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube