suria

Nak jual atau beli haiwan peliharaan perlu tahu hukumnya... Silap pasang niat boleh jatuh haram

Tangkap layar video menunjukkan haiwan peliharaan yang dijual oleh penternak tular di media sosial.

AMBIL (bela), jangan beli haiwan peliharaan sebagai tanda ihsan.

Begitulah yang cuba diketengahkan oleh orang ramai susulan isu jual beli haiwan melibatkan pembeli dan penternak (backyard breeders) baru-baru ini.

Menerusi hantaran dibuat Mardiah di Twitter, dia meminta supaya orang ramai berhenti membeli haiwan seperti kucing, landak (hedgehog) dan anjing.

Perkara itu pernah ditanya oleh seorang individu yang kemudiannya dijawab bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam laman web Maktabah al Bakri.

"Adakah dibenarkan menjual beli haiwan seperti kucing peliharaan?" soalnya.

Tangkap layar menujukkan haiwan yang dibiakkan untuk dijual.

Jawapan:

Pada asasnya, jual beli haiwan ini bergantung pada jenis binatang, haiwan atau serangga tersebut.

Jika ia bermanfaat kepada manusia, seperti haiwan ternakan daripada ayam, lembu dan seumpamanya, maka sah jual beli binatang yang bermanfaat seumpama ini.

Manakala, jika binatang itu tidak bawa manfaat atau faedah kepada manusia, seperti kucing hutan kerana sifatnya yang liar, kumbang, kala jengking, ular, cacing, tikus, semut, anjing, khinzir dan lain-lain yang tidak berfaedah di sisi manusia (malah menimbulkan kerosakan seperti tikus dan khinzir), maka tidak sah jual beli binatang atau serangga seperti ini.

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji berkata: “Tidak sah menjual serangga berbisa atau haiwan yang tidak boleh dimanfaatkan. Tetapi, menjual harimau untuk tujuan memburu, gajah untuk tujuan peperangan, monyet untuk tujuan mengawal harta, lebah bertujuan mendapatkan madu dan seumpamanya, ia dibenarkan. Ia dibenarkan atas alasan semua binatang ini ada manfaatnya menurut adat dan dibenarkan oleh syarak.”

ARTIKEL BERKAITAN: Tergamak tangkap si bulus semata-mata nak bagi ular peliharaan makan... Sedarlah, haram bela haiwan perosak!

Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’ berkata: ”Haiwan yang tidak bermanfaat (atau tidak berfaedah kepada manusia) tidak sah menjualnya, seperti kumbang, kala jengking, ular, cacing, tikus, semut dan serangga lain seumpamanya. Ashab telah berkata kami (ulama Syafi’iyyah): Tidak dilihat ia (haiwan-haiwan ini) sebagai bermanfaat, melainkan (jika ada pun) manfaatnya terlalu kecil.”

Berdasarkan persoalan di atas, para ulama khilaf dalam masalah ini.

Menurut Abu Zubair RA berdasarkan hadisnya, kucing haram dijual beli secara mutlak.

Maksudnya: Aku (Abu Zubair) bertanya kepada Jabir (seorang sahabat Nabi SAW) berkenaan jual beli anjing dan al-Sinnur (kucing). Dia menjawab bahawa Rasulullah SAW melarang perkara itu.

Kucing sering menjadi haiwan yang dijual oleh penternak.

Dalam hadis lain riwayat Jabir bin Abdullah R.Anhuma juga dijelaskan.

Maksudnya: Rasulullah SAW melarang makan duit hasil penjualan anjing dan kucing.

Pendapat jumhur termasuk Mazhab syafie membenarkan jual beli kucing jika haiwan itu memiliki manfaat seperti menangkap tikus maka hukumnya ialah halal untuk dijual beli.

Begitu juga jika ia merupakan haiwan liar, maka tidak dibenarkan.

Ada juga yang mengatakan bahawa kucing ini diharamkan jual beli kerana pada awal Islam ia dianggap najis, kemudian setelah sabit daripada Rasulullah SAW bahawa kucing itu suci maka dibenarkan jual beli kucing.

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa Nabi SAW melarang (sumber duit) dari hasil penjualan kucing.

Beliau menukilkan kata-kata al-Qaffal: Yang dimaksudkan (larangan menjual kucing di dalam hadis ini) adalah merujuk kepada kucing liar, kerana (kucing liar) tidak bermanfaat sama ada memberikan hiburan (pada manusia) atau manfaat lainnya.

Landak bersaiz kecil ini turut dibiakkan untuk dijual.

Saya (Imam al-Nawawi) mengatakan: Bagi mazhab kami (al-Syafie), menjual kucing perumahan (jinak) adalah sah, ini telah dinaskan sendiri oleh Imam al-Syafi’e dan selainnya.”

Imam al-Nawawi menyatakan lagi di dalam al-Majmu’: “Menjual kucing perumahan (jinak) adalah harus (dibolehkan), pandangan ini tiada khilaf dalam kalangan kami (Syafi’iyyah), kecuali apa yang dibawakan oleh al-Baghawi di dalam kitabnya Syarh Mukhtasar al-Muzani, dari Ibn al-‘As, yang mengatakan bahawa (menjual kucing jinak) tidak diharuskan, namun pandangan ini syaz (ganjil), batil dan ditolak.”

Di dalam Syarh Sahih Muslim, Imam al-Nawawi menyatakan: “Jika ia termasuk (haiwan) yang bermanfaat (atau beri faedah pada manusia), maka menjualnya adalah sah dan duit jualannya juga halal.

Inilah pandangan mazhab kami (al-Syafi’e) dan mazhab kesemua ulama, kecuali (satu pandangan) yang diriwayatkan oleh Ibnu al-Munzir.”

Sebagai kesimpulan, mereka menghormati perbezaan pandangan dalam hal ini.

Walaupun begitu, mereka lebih cenderung kepada hukum makruh perniagaan dan jual beli kucing berdasarkan larangan dalam nas dan menghormati pandangan ulama’ dalam hal ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain