MANUSIA hanya mampu merancang tetapi Tuhan yang menentukan segalaNya. Begitu juga dalam soal jodoh kerana setiap pertemuan tidak semestinya membawa ke jenjang pelamin sekiranya ditakdirkan berpisah kerana ajal. Oleh yang demikian, atas nama 'cinta sejati' ramai pasangan yang melalui pengalaman seperti itu berharap agar mereka dijodohkan semula di syurga kelak. Perkara itu menarik minat bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri untuk menerangkan secara terperinci menerusi laman web Maktabah al Bakri. "Assalamualaikum ustaz. Saya ingin bertanya tentang seorang lelaki yang melamar untuk menikah dengan seorang wanita ketika masih hidup. "Tidak lama selepas itu, dia terus meninggal dunia dan tidak sempat untuk menikah. "Oleh kerana terlalu sayang kepadanya, wanita tersebut memperbanyakkan amalan kepada Tuhan dengan harapan dapat bernikah dengan dia di syurga kelak," soalnya. Jika seorang wanita tidak berkahwin sehingga dia meninggal dunia, Allah SWT akan mengahwinkannya dengan seseorang daripada penduduk syurga. Jawapan: Pada asasnya, wanita yang menjadi ahli syurga dan tidak pernah berkahwin di dunia, atau dia berkahwin tetapi suaminya bukan daripada penduduk syurga, atau dia menikah tetapi bercerai dengan talak bain dan kemudian meninggal dunia, maka hukum bagi mereka adalah sama. Allah SWT akan mengahwinkan mereka di syurga dengan penduduk syurga itu. Sesungguhnya di dalam syurga nanti, setiap penghuninya akan memperolehi apa yang dia kehendaki maka begitu juga dengan pasangan. Setiap orang tidak berkahwin sehingga dia meninggal dunia, kemudian dia masuk syurga, dia akan berkahwin dengan pasangannya yang dia suka di dalam syurga. Allah SWT berfirman dalam surah al-Nisa ayat 124. Maksudnya: “Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun.” Allah berfirman dalam kitab Jami' al-Bayan 14/212: “Demikianlah Allah memberi balasan kepada orang-orang yang bertakwa.” Dalam ayat ini, Allah memberitahu bahawa apa sahaja yang disukai oleh penghuni syurga akan mereka dapat termasuklah isteri atau suami. Setiap lelaki atau perempuan yang mati dalam keadaan bujang akan berkahwin di dalam syurga. Diriwayatkan (Riwayat Muslim (2834)) daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang awal masuk ke dalam syurga ialah atas rupa bulan purnama dan yang mengiringinya pula atas rupa seperti bintang yang sangat terang sinarnya di langit. Bagi setiap ahli syurga daripada mereka itu dua isteri yang mana dapat dilihat daripada belakang daging akan sumsum dua betisnya dan tiadalah di dalam syurga itu orang yang bujang.” Hasan Abu al-Asybal dalam Syarh Sahih Muslim berkata: “Dan tidak ada seorang pun di syurga yang akan membujang. Semua mereka akan bernikah, dan setiap orang yang memasuki syurga dalam kalangan lelaki akan memiliki dua bidadari daripada al-Hur al-’Ain, selain isteri-isteri yang dicintainya di dunia. "Jika dia menikah dengan satu isteri, maka isteri tersebut akan menjadi pasangannya di syurga.” (Lihat Syarh Sahih Muslim, oleh Hasan Abu al-Asybal, 6/10) Menjawab soalan di atas, jika seorang wanita tidak berkahwin sehingga dia meninggal dunia, Allah SWT akan mengahwinkannya dengan seseorang daripada penduduk syurga. Boleh jadi orang itu adalah seseorang yang bertunang dengannya di dunia dan meninggal dunia sebelum sempat dia berkahwin. Namun begitu, seorang wanita seharusnya tidak meninggalkan perkahwinan disebabkan hal ini. Rasulullah SAW pernah memerintahkan berdasarkan riwayat daripada Abu Hatim al-Muzani R.A, bahawa Nabi SAW telah bersabda: Maksudnya: "Jika datang kepada kalian seorang lelaki yang kamu redha akan agama dan akhlaknya, maka kahwinkanlah dia. Jika tidak, maka akan timbullah fitnah di atas muka bumi dan juga kerosakan." Oleh itu, janganlah disebabkan oleh hal ini menyebabkan seseorang itu tidak berkahwin kerana masih ramai lagi orang soleh yang boleh dia kahwini. Allah pasti akan memberikan kepadanya seorang suami yang lebih baik daripada lelaki tersebut, yang akan menjadi suaminya di dunia dan akhirat kelak. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube