suria

Mulut ‘gatal’ nak bergosip... Baru tahu rupanya ada situasi mengumpat yang Tuhan tak marah

Ada enam jenis umpatan dibenarkan dalam Islam. -Gambar hiasan 123RF

MENGUMPAT atau bercakap tentang keburukan seseorang itu sudah menjadi amalan dalam masyarakat.

Namun adalah penting untuk menjaga kata dan lisan terutama sekali tentang seseorang yang rapat dengan kita.

Tetapi ramai tidak tahu, ada juga jenis-jenis umpatan yang dibolehkan syarak dan tidak membawa individu yang mengumpat itu ke dalam neraka.

Malah, seorang individu juga pernah mengusulkan pertanyaan itu sebagaimana yang dikongsi menerusi laman web Maktabah al Bakri kendalian bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

“Assalamualaikum ustaz. Benarkah terdapat jenis mengumpat yang dibenarkan dalam Islam? Mohon pencerahan,” soal seorang individu.

Mengumpat adalah perkara yang boleh mencalarkan dan merosakkan maruah seseorang. -Gambar hiasan iStock

Jawapan

Agama Islam mengharamkan perkara-perkara yang boleh mencalarkan atau merosakkan maruah seseorang seperti mengumpat sehingga Allah SWT membuat satu perumpaan yang dahsyat kepada golongan seperti ini.

Allah SWT memisalkan ghibah (mengumpat) dengan memakan bangkai seseorang. Ini kerana, bangkai sama sekali tidak tahu siapa yang memakan dagingnya.

Perkara itu adalah sama halnya dengan orang yang hidup juga tidak mengetahui siapa yang mengumpat dirinya.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Hujurat ayat 12.

Maksudnya: “Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.

Menceritakan perihal orang yang melakukan dosa secara terang-terangan adalah mengumpat yang dibenarkan dalam Islam.

Menjawab persoalan di atas, disebut bahawa terdapat mengumpat yang dibenarkan oleh syarak.

Menurut Imam al-Nawawi, terdapat enam jenis mengumpat yang dibenarkan dengan tujuan sahih dan syar‘i:

1. Menceritakan kepada mufti bagi tujuan fatwa.

2. Membuat aduan apabila dizalimi kepada sultan atau hakim.

3. Menceritakan perihal orang yang melakukan dosa secara terang-terangan.

4. Membantu dalam menentang perkara yang mungkar dengan tujuan mengembalikan pelaku maksiat ke jalan yang benar.

5. Mencegah umat Islam daripada sesuatu keburukan serta menasihati mereka seperti mereka mengambil ilmu daripada bukan ahlinya.

6. Menyebut sesuatu sifat yang telah makruf (diketahui) kepada diri seseorang itu seperti bisu atau buta dan sebagainya.

Akan tetapi, jika mampu memanggilnya dengan panggilan yang lain adalah lebih baik dan haram memanggil panggilan-panggilan tersebut dengan niat menghina.

Untuk itu, keenam perkara ini dinyatakan oleh para ulama dan sebahagian besarnya disepakati bersama

Kesemua ini datang daripada dalil atau hadis yang sahih lagi masyhur. (Lihat Riyadh al-Salihin, halaman 432-433; Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 16/142)

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain