IBADAH haji dan korban adalah peristiwa besar yang berlaku pada bulan Zulhijjah. Dikatakan, ada satu tarikh dalam bulan ini yang menjanjikan pelbagai kelebihan untuk beramal iaitu pada 10 hari terawal Zulhijjah. Menurut Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitabnya, Fath al-Bari. Maksudnya: Sebab yang menjadikan istimewanya sepuluh hari (pertama) bulan Zulhijah adalah kerana padanya terkumpul ibadat-ibadat besar (dalam Islam) seperti solat, puasa, sedekah dan haji, yang (semua) ini tidak terdapat pada hari-hari yang lain. Maka, kita disuruh sebanyak yang boleh untuk mengumpul amalan dalam bulan Zulhijjah bagi menambahkan pahala, antaranya seperti: 1. Membaca, mempelajari dan mengamalkan Al-Quran Kitab agung bagi seluruh umat Islam ini menjadi panduan manusia menjalani kehidupan demi mendapat keredaan Allah SWT. Selain membaca, kita juga boleh mendengar alunan ayat suci al-Quran oleh para qari dan qariah terkenal. Hafal dan ulang kaji juga surah-surah dari Juz Amma (Juzuk 30). Jika selama ini kita hanya membaca teks al-Quran dalam bahasa Arab, kali ini baca juga terjemahannya dalam bahasa yang mudah kita fahami seperti bahasa Melayu. Mereka yang bersahabat dengan al-Quran di dunia akan sentiasa bermuhasabah diri dan mengambil iktibar daripada ayat-ayat al-Quran ini. 2. Mengerjakan solat fardu dan melazimi solat sunat Daripada culas melaksanakan solat, ubah kepada rajin dan cukupkan lima waktu setiap hari. Jika sebelum ini selalu mengerjakan solat di akhir waktu, ubah di awal waktu. Tingkatkan fokus dan khusyuk dalam solat. Lazimi juga solat-solat sunat lain yang membawa manfaat banyak dalam kehidupan kita seperti solat sunat Ishraq/ Dhuha, dan solat sunat Tahajud. 3. Melakukan amalan kebajikan Daripada Abu Hamzah, Anas bin Malik RA, pembantu Rasulullah SAW, dari Rasulullah SAW, beliau bersabda dalam Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim. Maksudnya: Tidak beriman salah seorang di antara kamu hingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri. Mengasihi dari konteks memberi dan menyayangi. Umat Islam boleh bersedekah, mengeluarkan zakat, atau memberikan sumbangan yang disukai kepada ibu bapa, pasangan, anak-anak, saudara-mara, rakan taulan, dan sesiapa sahaja yang memerlukan. 4. Berpuasa sunat Puasa sunat bulan Zulhijjah boleh dilakukan pada 9 Zulhijjah (Hari Arafah). Puasa Hari Arafah ditekankan sebagai puasa yang menjadi penghapus dosa setahun sebelumnya dan dosa setahun selepasnya seperti mana yang diriwayatkan dalam Sahih Muslim. Daripada Abu Qatadah bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda dalam Hadis Muslim (hadis sahih). Maksudnya: Berpuasa pada hari Arafah kerana mengharap pahala daripada Allah agar adalah sebagai penghapus dosa bagi setahun sebelum dan sesudahnya. 5. Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban Pada hari raya Aidiladha, kita boleh menghidupkannya dengan takbir. Dua jenis takbir pada hari raya yang boleh dibaca adalah takbir mursal (muthlaq) dan takbir muqayyad. Ibadah korban pula merupakan sunat muakkad yang amat digalakkan bagi orang yang berkemampuan dan menepati syarat-syarat untuk berkorban. Nabi SAW bersabda dalam Hadis Riwayat al-Tirmizi (1493). Maksudnya: Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya. Sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada reda Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban). 6. Memperbanyakkan zikir dan doa Amalan yang banyak pahalanya, ringin untuk dilakukan, tetapi amat sedikit individu melakukannya adalah berzikir dan berdoa. Zikir dan doa sememangnya boleh dilakukan pada bila-bila masa dan dalam keadaan apa jua. Nabi Muhammad SAW bersabda dalam Hadis Riwayat al-Tirmizi (hadis hasan). Maksudnya: Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku ialah, tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Hadis yang lain, Nabi Muhammad SAW juga bersabda. Maksudnya: Tidak ada hari di mana Allah membebaskan hamba dari neraka lebih banyak daripada hari Arafah, dan sungguh Dia mendekat lalu membanggakan mereka di depan para malaikat dan berkata: Apa yang mereka inginkan? 7. Mengeratkan hubungan kemasyarakatan Santuni saudara mara dengan mengeratkan tali silaturrahim daripada melakukan aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong atau ziarah-menziarahi. Di kampung contohnya, aktiviti berkorban akan melibatkan ramai penduduk dan bermacam-macam tugas diberikan. Ada yang menyembelih lembu, melapah, membahagikan daging, membungkus, membersihkan, dan memasak. Secara tidak langsung ia dapat melahirkan sebuah masyarakat majmuk yang penuh dengan nilai-nilai murni. 8. Menghadiri majlis ilmu Betapa Allah amat memuliakan orang yang menghadiri majlis ilmu sehinggakan mereka dipayungi oleh malaikat. Sebagai seorang manusia, amatlah wajar kita sentiasa mencari ilmu selagi mana hidup di dunia, walaupun kita merasakan sudah tahu. Hal ini kerana, mereka yang belajar dengan niat yang betul tidak akan sesekali merasakan ilmunya cukup. Malah semakin dia belajar, semakin banyak perkara yang dirasakan tidak tahu. 9. Bersedekah Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Hajj, ayat 28. Maksudnya: Maka makanlah sebahagian daripadanya (haiwan korban) dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara dan fakir. Jangan kedekut atau berasa berat hati untuk bersedekah kerana yakinlah setiap sedekah yang kita keluarkan itu mempunyai nilai ganjaran pahalanya yang tersendiri. 10. Beristighfar dan memperbaharui taubat Seperti yang kita tahu, bulan Zulhijjah merupakan bulan terakhir dalam bulan Islam. Ketika itu, kita sepatutnya lebih banyak bermuhasabah diri dan memperbaharui niat kerana Allah. Tahun baru ini, semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk memulakannya dengan penuh kebaikan. - Aku Muslim Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!