SETIAP kali tibanya Aidiladha, ramai umat Islam mengambil kesempatan untuk melakukan ibadah korban. Ia merupakan salah satu ibadah agung sebagaimana dilakukan oleh Nabi Ibrahim kepada anaknya Nabi Ismail bagi memenuhi perintah Allah SWT. Rentetan daripada peristiwa inilah disyariatkan untuk kita melaksanakan ibadah korban. Namun, ada beberapa perkara perlu kita beri perhatian ketika melaksanakan ibadah ini. Menerusi laman web Maktabah al-Bakri, seorang individu pernah bertanya satu soalan berkaitan korban. Perkara itu kemudiannya dijawab bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Ramai umat Islam mengambil kesempatan untuk melakukan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha. “Assalamulaikum ustaz, saya nak tanya soalan berkaitan korban. Contoh ada tiga ekor lembu dengan harga jual RM650 bagi satu bahagian. “Tetapi setelah disembelih, dagingnya dicampur semua sekali dan ditimbang, dengan alasan berat lembu berbeza dan bayaran yang bahagian sama, tujuannya untuk bagi sama rata, boleh ke begitu? “Setahu saya daging korban tak boleh dicampur dan bermaksud (bertukar). Mohon pencerahan ustaz,” soal individu tersebut. Jawapan: Dalam menjawab persoalan di atas, ia dimulakan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Kauthar ayat 2. Maksudnya: Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Maksud ‘berkorbanlah’ di dalam ayat tersebut mengikut pendapat yang paling sahih ialah mengorbankan atau menyembelih binatang-binatang korban. Hal ini sepertimana yang disebut di dalam tafsir Imam Ibn Kathir. Maksudnya: Yang benar bahawa yang dimaksudkan dengan al-Nahr adalah menyembelih korban, iaitu menyembelih unta dan sejenisnya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/556) Allah berfirman dalam surah al-Hajj ayat 36. Maksudnya: Makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur. Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 28. Maksudnya: Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin. Umat Islam melaksanakan ibadah korban. Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili berkata, maka sebutlah nama Allah SWT atas sembelihan-sembelihan tersebut, makanlah sebahagian darinya, dan gunakan sebahagian yang lain untuk memberi makan kepada kepada orang yang mengalami kesusahan dan kefakiran. Perintah untuk ikut makan daging haiwan sembelihan itu kerana masyarakat jahiliah menghindarkan daripada makan haiwan korban mereka. Dalam hal ini, mazhab Syafi’i menyatakan bahawa ikut memakan hukumnya sunat, sedangkan menggunakannya untuk memberi makan kepada fakir miskin adalah wajib. Jika memang orang yang bersangkutan memberikan semuanya kepada fakir miskin, maka ia dibolehkan dan memadai. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 9/186) Dalam menjawab persoalan di atas, perbuatan tersebut adalah tidak dibolehkan, kecuali apabila semua pihak telah bersetuju untuk melakukannya. Ini kerana, bahagian-bahagian tersebut adalah dengan nama secara berasing-asingan begitu juga, jumlah pembayaran tidak sama. Malah, supaya mengelak daripada menjadi satu masalah yang besar, sehingga membawa kepada pertelingkahan. Masing-masing pelaku ibadah korban berniat untuk memperoleh ganjaran pahala atas ibadah korban yang dilakukan. Daripada Salamah bin al-Akwa’, bahawa Rasulullah SAW bersabda dalam Riwayat al-Bukhari (5569) dan Muslim (1974). Maksudnya: Sesiapa yang melakukan korban janganlah kamu menyimpan sesuatu pun daripada daging tersebut di rumah. Ketika mana tibanya tahun hadapan, para sahabat bertanyakan kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah SAW, adakah perlu kami melakukan seperti mana tahun lepas. Jawab Baginda SAW: “Makanlah kalian, berikanlah makan kepada orang lain dan simpanlah kerana pada waktu itu (tahun yang lepas) manusia berada di dalam kesusahan (iaitu kelaparan) dan aku menginginkan agar kamu membantu yang lain.” Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!