IBADAT haji (termasuk umrah) adalah suatu kewajipan ke atas setiap muslim kerana ia merupakan salah satu daripada lima rukun Islam. Setiap muslim dipertanggungjawab untuk menunaikannya sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Kewajipan ibadat yang agung ini adalah berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah Ali-Imran, ayat 97. Maksud: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Terdapat lima syarat kewajipan bagi melaksanakan ibadat haji: 1. Islam 2. Baligh 3. Berakal 4. Merdeka (jiwa dan raga kita dari pengabdian diri kepada manusia atau harta benda tetapi hanya mengabdikan diri kepada Allah). 5. Berkemampuan Setiap muslim dipertanggungjawab untuk menunaikan haji sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Namun apa yang dimaksudkan dengan kemampuan itu? Secara istilah, ia bermaksud mampu melaksanakan ibadat haji sama ada secara langsung atau tidak. Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa istito’ah (kemampuan) itu terbahagi kepada dua jenis: 1. Kemampuan secara langsung a. Kenderaan b. Bekalan c. Aman dan selamat perjalanan d. Sihat tubuh badan e. Mampu melakukan perjalanan 2. Kemampuan secara tidak langsung Ia bermaksud seseorang mukallaf yang memiliki harta yang mencukupi untuk mengupah orang lain mengerjakan haji bagi pihaknya, sama ada semasa dia masih hidup atau selepas dia meninggal dunia. Ini kerana dia sendiri tidak berupaya melakukannya disebabkan tua, berpenyakit dan seumpamanya. Dalam menjelaskan berkenaan bekalan sebagai salah satu kriteria kemampuan secara langsung, Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa hendaklah harta dan kewangannya ada untuk nafkah ahli keluarga di bawah tanggungannya. Ia hendaklah cukup selama tempoh dia menunaikan haji termasuk juga sejumlah harta untuk melangsaikan hutang sama ada segera atau bertangguh. Oleh itu, timbul isu adakah boleh seseorang yang masih mempunyai hutang dengan pihak tertentu untuk melaksanakan haji atau umrah? Penceramah bebas, Dr Hadi. Bagi menjawab persoalan ini, hendaklah difahami bahawa hutang boleh dikategorikan kepada dua iaitu: 1. Hutang yang perlu dilangsai segera a. Berkenaan hal ini, Imam al-Nawawi menjelaskan yang mana maksudnya: “Jika dia masih ada hutang yang perlu dilangsaikan dengan segera, sedangkan dia mampu melaksanakannya, maka pemberi hutang berhak menghalangnya daripada musafir. Sebaliknya jika dia termasuk daripada golongan yang sukar kerana kesempitan hidup dan tidak memiliki sesuatu yang dituntutnya. Ketika itu, harus dia bermusafir tanpa izinnya.” 2. Hutang bertangguh a. Jika hutang itu bersifat bertangguh, boleh ia bermusafir tanpa menjelaskannya terlebih dahulu. Tetapi sunat baginya tidak keluar musafir sehingga diwakilkan kepada seseorang yang boleh melangsaikan hutangnya ketika ketiadaannya. [al-Idoh, halaman 49-50] Sehubungan itu, sekiranya seseorang itu mempunyai hutang yang bertangguh dan tidak perlu dilangsaikan dengan segera, maka dia diharuskan untuk menunaikan haji atau umrah. Ia berdasarkan kaedah menyebut: “Menggabungkan perlaksanaan dua maslahah itu lebih utama daripada membatalkan salah satu daripada keduanya.” Kesimpulannya, seseorang yang mempunyai hutang yang banyak dengan pelbagai pihak hendaklah mempunyai sejumlah harta yang memadai untuk nafkah tanggungan di rumah, keperluan diri ketika di perantauan dan juga untuk membayar hutang sedia ada bagi melayakkan dia mengerjakan haji atau umrah di Mekah. ***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi) ialah penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah dan boleh diikuti di laman Instagram dan Facebook Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!