suria

Arab Saudi sambut Aidiladha Rabu, bila puasa Hari Arafah di Malaysia? Ini penjelasannya bagi yang keliru

Umat Islam lain yang tidak melakukan ibadah haji digalakkan untuk berpuasa Hari Arafah pada 9 Zulhijjah. -Gambar hiasan AFP

UMUM mengetahui Hari Raya Aidiladha disambut oleh umat Islam pada setiap 10 Zulhijjah mengikut kalendar hijrah.

Sehari sebelum perayaan ini diraikan, mereka yang mengerjakan haji di Makkah akan berwukuf di Padang Arafah pada 9 Zulhijjah.

Justeru, Islam melarang umatnya yang mengerjakan haji untuk berpuasa pada hari tersebut untuk mengerjakan wukuf.

Sebaliknya bagi umat Islam lain yang tidak melakukan ibadah berkenaan, sangat digalakkan untuk berpuasa pada Hari Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah.

Namun, untuk Aidiladha tahun ini terdapat kelompok masyarakat kita yang keliru sama ada puasa sunat ini perlu dilakukan mengikut tarikh Hari Arafah di Makkah atau di Malaysia.

Persoalan ini timbul apabila terjadinya perbezaan tarikh sambutan Aidiladha di Arab Saudi dengan di Malaysia dan beberapa negara lain.

Kemusykilan itu dijawab oleh Pegawai Agama Daerah Kota Setar, Datuk Syeikh Ahmad Faisol Omar menerusi satu video dimuat naik di akaun TikTok.

Mereka yang mengerjakan haji di Makkah akan berwukuf di Padang Arafah pada 9 Zulhijjah. -Gambar hiasan

Jawapan

Berdasarkan hukum feqah, disebabkan perbezaan matla’ (tempat terbit anak bulan), keputusan tarikh sambutan yang diperolehi mungkin sama dan adakalanya berbeza di antara negara-negara dunia.

Ini disebabkan berlaku perbezaan apabila ada beberapa kawasan boleh melihat terbitnya anak bulan, manakala ada beberapa tempat tidak dapat melihat anak bulan.

Sebagaimana berlaku pada tahun ini, terdapat perbezaan keputusan matla' di Arab Saudi dan Malaysia.

Pada tahun ini, tarikh 1 Zulhijjah di Malaysia telah ditetapkan pada hari Selasa (20 Jun 2023).

Terdapat perbezaan keputusan tarikh sambutan Aidiladha di mana matla' di Arab Saudi dan Malaysia dan negara lain tidak sama. -Gambar hiasan

Manakala di Arab Saudi dan beberapa negara lain yang sama dengannya, tarikh Zulhijjah telah ditetapkan pada hari Isnin (19 Jun).

Disebabkan tarikh 1 Zulhijjah jatuh pada hari berbeza, akan berlaku perbezaan tarikh Hari Raya Aidiladha yang mana bagi negara Arab Saudi ia jatuh pada Rabu (28 Jun)

Tarikh 10 Zulhijjah di Malaysia pula ditetapkan pada 29 Jun pada tahun ini iaitu bersamaan hari Khamis.

Berdasarkan perkiraan takwim ini, Hari Arafah di Arab Saudi akan berlaku pada Selasa (27 Jun) manakala di Malaysia pada Rabu (28 Jun) dan di sinilah timbulnya kemusykilan untuk berpuasa Hari Arafah.

Menurut para ulama, untuk berpuasa pada hari 9 Zulhijjah kita perlu berpuasa mengikut tempat matla' negara.

Syeikh Ahmad Faisol Omar

Justeru bagi tahun 2023, negara kita akan berpuasa Hari Arafah pada Rabu sedangkan pada hari tersebut di Arab Saudi sudah pun menyambut Aidiladha.

Dalam pada itu, Ustaz Faisol menegaskan bahawa kita perlu yakin dengan penjelasan diberikan oleh ulama-ulama.

Ini disebabkan yang membezakan tarikh itu adalah ikhtilaf matholiq iaitu perbezaan tempat terbitnya anak bulan.

Hari Wukuf merupakan kemuncak ibadah haji dan pada tahun ini dianggarkan tiga juta jemaah haji dari seluruh dunia akan berhimpun di Arafah bermula terbit fajar 9 Zulhijjah sehingga terbit fajar hari berikutnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain