suria

Ambil tahu ganjaran, kedahsyatan doa Hari Arafah! Rugi jika waktu wukuf dibiar berlalu tanpa beribadat, mohon keampunan

Waktu wukuf di Arafah merupakan waktu paling mustajab untuk umat Islam berdoa dan memohon keampunan. -Gambar hiasan AFP

MENJELANG Hari Raya Aidiladha, waktu yang paling ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam adalah waktu wukuf di Arafah.

Mana tidaknya, waktu wukuf merupakan waktu terbaik dan paling mustajab untuk umat Islam berdoa.

Ini berpandukan kepada hadis daripada Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah. (Hadis diriwayatkan oleh Malik).

Menurut halaman Facebook Tabung Haji, tarikh umat Islam yang mengerjakan ibadat haji berwukuf di Padang Arafah bagi tahun 2023 adalah pada 27 Jun.

Tarikh tersebut jatuh pada hari Selasa dan seharusnya umat Islam khususnya di Malaysia mengambil peluang ini untuk berdoa pada waktu tersebut serta melakukan sebanyak mungkin ibadat.

Waktu wukuf bermula kira-kira jam 12.30 tengah hari (waktu Arab Saudi) iaitu sekitar jam 5.30 petang waktu Malaysia.

Sebagaimana kita ketahui bulan Zulhijjah merupakan antara bulan paling istimewa bagi umat Islam.

Umat Islam lain yang tidak melakukan ibadah haji digalakkan untuk berpuasa Hari Arafah pada 9 Zulhijjah. -Gambar hiasan AFP

Menerusi halaman Facebook Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat banyak kelebihan boleh diperoleh pada bulan ini yang tidak dijumpai pada bulan-bulan lain.

Berikut adalah keistimewaan Hari Arafah yang pada setiap 9 Zulhijjah dan sama-samalah kita manfaatkan peluang ini untuk meraih ganjaran yang telah dijanjikan Allah.

1. Sebahagian daripada rukun haji

Hari Arafah adalah penting kerana ia merupakan sebahagian daripada rukun haji.

Ibadah ini juga sangat signifikan dan adalah puncak haji di mana berkumpulnya jutaan jemaah dari segenap pelosok dunia.

Daripada Abdulrahman bin Ya’mur, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: Maksudnya: Haji adalah Arafah. (Riwayat al-Tirmizi (814))

2. Hari kesempurnaan agama

Di Arafah, Rasulullah telah menyampaikan khutbah wada’ atau khutbah perpisahan.

Ia digelar ‘perpisahan’ kerana tidak lama setelah menyampaikan khutbah tersebut, baginda pun wafat.

Pada ketika itu, telah turunnya surah al-Maa’idah ayat ke-3 sebagai pernyataan telah sempurna dan lengkapnya ajaran Islam yang disampaikan Allah SWT melalui Rasulullah SAW:

Maksudnya: Pada hari ini telah Ku-sempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku dan telah Ku-redai Islam itu menjadi agama bagimu. (Al-Maa’idah: Ayat 3)

3. Hari Arafah adalah hari raya buat umat Islam

Daripada Uqbah Amir RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: Hari Arafah, hari Korban serta hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah) adalah hari raya kita orang Islam dan ia adalah hari makan dan minum. (Riwayat Abu Daud (20660), Tirmizi (704) dan al-Nasa’ie (2954)

4. Hari Arafah adalah hari penyaksian

Turut digelar sebagai hari penyaksian kerana pada hari tersebut, Allah mengambil perjanjian setia daripada zuriat Nabi Adam.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW maksudnya: Sesungguhnya Allah telah mengambil perjanjian setia di Arafah daripada zuriat yang berada dalam tulang belakang Nabi Adam, dan mengeluarkan zuriat itu di hadapannya seperti biji-bijian, kemudian Allah berkata kepada mereka dengan firmanNya, “Bukankah Aku Tuhan kamu?

Mereka menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami) kami menjadi saksi”, yang demikian itu supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.

5. Kedahsyatan doa pada hari Arafah

Bukit Arafah dikenali sebagai tempat berdoa paling mustajab dan di situlah Nabi Muhammad SAW mengambil masa yang sangat lama untuk berdoa.

Menurut sumber, ada juga pendapat lain mengaitkan wukuf dengan wahyu yang diterima Nabi Ibrahim agar menyembelih anaknya, Nabi Ismail.

Daripada Abdullah bin ‘Amr, bahawa Nabi SAW bersabda.

Maksudnya: Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah. (Riwayat al-Tirmizi (3509))

Hari Arafah adalah hari pelepasan dari api neraka kerana pada hari ini keampunan dari Allah terbuka luas. -Gambar hiasan AFP

6. Ganjaran puasa Arafah

Berpuasa pada Hari Arafah adalah sunat bagi mereka yang tidak mengerjakan haji.

Ia adalah peluang keemasan bagi membersihkan diri daripada dosa yang telah dilakukan kerana ganjaran puasa pada hari tersebut menghapuskan dosa setahun sebelum dan selepas.

Daripada Abi Qatadah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda apabila ditanya tentang puasa pada hari Arafah.

Maksudnya: Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang. (Riwayat Muslim (1977))

7. Merupakan hari keampunan

Hari Arafah adalah hari pelepasan dari api neraka kerana pada hari ini keampunan dari Allah terbuka luas.

Gunakan peluang pada Hari Arafah untuk bertaubat dan memohon keampunan sebanyak-banyaknya.

Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda.

Maksudnya: Tidak ada satu hari yang lebih banyak dibebaskan hamba-Nya daripada api neraka melainkan pada hari Arafah. (Riwayat Muslim (2402))

***Bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji, ambil peluang dan kelebihan hari wukuf di Arafah ini untuk berdoa di tempat masing-masing.

Bagaimanapun, tiada dalil khusus had tempoh masa atau jam tertentu untuk berdoa sepanjang tempoh waktu berwukuf ini.

Selain meminta keampunan daripada Allah, ia merupakan waktu paling dekat untuk berdoa agar dimakbulkan.

Berikut adalah lima amalan lain yang dianjurkan pada hari Arafah:

a. Menggandakan zikir

b. Perbanyakkan sedekah

c. Gandakan amal ibadah

d. Perbanyakkan doa

e. Perbanyakkan istighfar

Dengan pelbagai keistimewaan ini, kita dianjurkan supaya memperbanyakkan amal soleh dan bertaubat kepada Allah.

Maka, rebutlah peluang dengan memperbanyakkan ibadah pada bulan Zulhijjah ini.

Semoga Allah memberi kita kekuatan dan kemudahan agar dapat melaksanakan amalan dengan tekun dan istiqamah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain