PROGRAM eBeliaRahmah merupakan salah satu inisiatif kerajaan yang telah diumumkan di bawah Belanjawan 2023 oleh Kementerian Kewangan. Program ini bertujuan untuk terus mempupuk budaya pembayaran tanpa tunai dalam kalangan belia selain meringankan beban kewangan golongan ini dan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) sepenuh masa. Namun, terdapat beberapa pihak tidak bertanggungjawab yang menawarkan perkhidmatan mengeluarkan (cash-out) wang berkenaan dalam bentuk tunai atau pemindahan ke akaun bank. Senario yang berlaku ini sekali gus melanggar tujuan dan syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Perkara itu diulas lanjut oleh mantan Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri setelah ditanya oleh seorang individu dalam Maktabah al-Bakri. “Assalamualaikum ustaz. Tujuan cash-out yang diberikan adalah untuk kegunaan peribadi setiap individu. “Persoalannya, adakah cash-out eBeliaRahmah daripada Touch ‘n Go eWallet kepada akaun bank sendiri hukumnya haram dan dikira tidak amanah?" soalnya. Ramai pelajar mengeluarkan duit eBeliaRahmah secara tunai atau dipindahkan ke dalam akaun bank masing-masing. Jawapan Pertamanya, wang pemberian yang diberikan oleh sesebuah pihak, sekiranya ia diikat dengan syarat-syarat perjanjian yang tertentu, maka ia wajib dipatuhi dan tidak boleh bertidak sesuka hati menggunakan wang pemberian tersebut. Firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah ayat 1. Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian. Mematuhi perjanjian juga merupakan antara sifat seorang mukmin seperti yang disebutkan dalam firman Allah SWT dalam surah al-Mukminin ayat 8. Ada pun jika pihak tersebut memberikan kebebasan kepada penerima untuk menggunakan wang tersebut, maka tidak menjadi masalah untuk penerima membuat apa sahaja dengan wang itu mengikut keinginannya. Kaedah fiqhiyyah ada menyebutkan: Maksudnya: Asal bagi setiap akad (kontrak) adalah reda antara dua orang yang melakukan akad. Menurut maklumat yang diterima seperti yang tertera dalam aplikasi Touch ‘n Go eWallet, wang sebanyak RM200 yang diberikan oleh kerajaan Malaysia melalui eBeliaRahmah diikat dengan syarat-syarat yang berikut: a. Boleh digunakan untuk transaksi runcit di kedai. b. Tidak boleh digunakan untuk RFID dan PayDirect di pondok tol. c. Tidak boleh digunakan untuk membuat transaksi online (dalam talian), termasuklah transaksi kepada peniaga luar negara. d. Tidak boleh digunakan untuk membayar bil, prabayar, pascabayar dan kredit permainan. Apabila telah jelas syarat-syarat seperti yang tertera, maka haram hukumnya untuk individu yang mendapat bantuan tersebut menggunakan wang RM200 tersebut dengan cara yang dilarang. Syeikh al-Qalyubi memberikan peringatan terhadap permasalahan begini yang mana beliau mengatakan bahawa apabila pemberi sumbangan memberi untuk tujuan tertentu, maka penerima tidak dibenarkan untuk menggunakan sumbangan tersebut pada tujuan lain. Syeikh Mustafa al-Zuhaili mengatakan bahawa yang diambil kira dan keharusan sesebuah akad pada berlakunya ia dan lazimnya setiap perkara yang ditetapkan di dalamnya, adalah reda antara dua pihak yang melakukan akad. Hal ini kerana syarak menetapkan halalnya suatu muamalat apabila kedua-dua pihak reda dan berkeinginan untuk melaksanakan akad, serta melazimi setiap ketetapan yang disebutkan di dalam akad tersebut. (Lihat al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatuha fi al-Mazahib al-Arba‘ah, 2/818) Syarak juga melarang orang-orang mukmin daripada perbuatan pecah amanah, hal ini berdasarkan firman Allah SWT. Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui.” (Surah al-Anfal: 27) Jelas berdasarkan hujah yang kami bawakan di atas, menggunakan wang pemberian tersebut tanpa mengikut syarat-syarat yang dinyatakan adalah suatu bentuk pecah amanah yang dilarang oleh Allah SWT. Seharusnya bagi penerima eBeliaRahmah tersebut menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan, maka tidak boleh disewakannya ini kerana seseorang itu terikat dengan perjanjian. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Amru bin ‘Auf al-Muzani R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: Orang Islam itu terikat dengan syarat-syaratnya (perjanjian) melainkan syarat mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram. Riwayat al-Tirmizi (1352) Hadis di atas menerangkan ciri-ciri yang yang terkandung di dalam akad atau perjanjian yang seharusnya dipatuhi. Oleh itu para ulama menggariskan bahawa hukum bagi kedua-dua belah pihak yang berjanji seharusnya meredai satu sama lain dengan isi kandungan perjanjian itu selagi ia tidak menyalahi hukum syarak. Kami menasihatkan semua individu yang menerima eBeliaRahmah tersebut supaya berpegang dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia kerana ia merupakan sebuah amanah. Ingatlah bahawa tanda orang munafik adalah mereka yang mengkhianati janji (amanah) yang telah dibuat. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda. Maksudnya: (Antara) tanda orang munafik itu ada tiga; jika bercakap dia berdusta, jika berjanji dia mungkiri, dan jika dia diberikan kepercayaan dia khianati. Riwayat al-Bukhari (6059) dan Muslim (59).