KETIKA ini sedang rancak satu trend baharu di TikTok yang mendapat sambutan hangat daripada pengguna platform berkenaan. Trend How I Would Look Like in The 1930’s yang menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) itu dapat mengubah wajah seseorang kepada gaya era 30an dan 80an. Menerusi tinjauan di platform tersebut, boleh dikatakan ramai yang teruja untuk mencubanya, tidak terkecuali bagi muslimah yang berhijab. Apa yang dikhuatirkan, trend berkenaan bukan hanya mengubah wajah malah ia memaparkan individu berkenaan dalam keadaan tanpa hijab. Mungkin ada segelintir yang menganggap perkara tersebut sekadar 'main-main' dan bukan personaliti sebenar, namun hakikatnya ia tetap bersangkut paut dengan maruah terutamanya bagi muslimah. PU Syed menjelaskan hukum di sebalik trend yang menjadi ikutan ramai ketika ini di TikTok. Mengulas mengenai hal berkenaan, pendakwah bebas iaitu Pencetus Ummah (PU) Syed berkata, perkara tersebut sewajarnya tidak menjadi ikutan kerana dikhuatiri merosakkan iman. ARTIKEL BERKAITAN: Gurauan perempuan mahu poligami adalah melampau, hina agama... PU Syed kesal wanita kurang ilmu buat komen pelik "Rasulullah SAW pernah bersabda: 'kalian benar-benar akan mengikut jalan orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggalah jika mereka masuk ke dalam lubang biawak pun kalian akan memasukinya'. "Kami (iaitu kalangan sahabat) bertanya, 'Ya Rasulullah, adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? "Baginda SAW menjawab, siapa lagi (kalau bukan mereka)? (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim) "Demikian hadis jelas daripada junjungan besar Rasulullah SAW berkenaan umat akhir zaman akan sedikit demi sedikit mengikuti perkara 'pelik' dalam kehidupan sehingga menjerumuskan kita pada suatu hal yang boleh merosakkan iman dan Islam," ujarnya ketika dihubungi mStar. Antara komen segelintir netizen di TikTok. Tegas Syed atau Syed Mohd Bakri Syed Ishak, 42, walaupun ianya menggunakan AI, gambar yang lengkap bertudung namun bertukar menjadi tidak bertudung adalah satu perbuatan yang mendatangkan dosa. "Ia satu perbuatan yang sia-sia kerana Nabi SAW juga pernah menyatakan, antara keindahan Islam seseorang itu, adalah dia meninggalkan apa yang tidak bermanfaat," katanya. Malah beliau menambah, tabiat mengikut trend semasa tanpa berlandaskan agama hanya akan menjerumuskan seseorang ke dalam kancah maksiat walaupun dengan niat hanya untuk suka-suka. "Maka nasihat saya, tinggalkanlah perbuatan ini dan carilah content yang lebih baik dan bermanfaat," akhirinya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube