MENUTUP aurat adalah wajib ke atas setiap muslim, tidak kira lelaki mahupun perempuan. Kewajipan menutup aurat ini banyak dijelaskan dan sudah termaktub di dalam al-Quran dan hadis. Pada ketika ini, boleh dikatakan semakin ramai muslimah yang perlahan-lahan menutup aurat, malah lebih menyejukkan mata, rata-ratanya memilih untuk berjubah dan mengenakan pakaian yang longgar. Tambahan pula banyak jenama tempatan yang mengeluarkan rekaan jubah yang cantik dan trendy, justeru secara tidak langsung para muslimah masih dapat berfesyen menurut garis panduan syarak. ARTIKEL BERKAITAN: Tak salah kalau orang perempuan nak melawa, tapi jangan melebih-lebih sampai tarik perhatian ramai ARTIKEL BERKAITAN: Wanita pakai tudung singkat paras bahu, adakah dikira menutup aurat? Ini penjelasan bekas mufti Namun begitu, dalam keterujaan berfesyen, golongan muslimah perlu lebih teliti terutamanya melibatkan pemilihan fabrik kerana dibimbangi ia tergolong dalam pakaian 'syuhrah'. Seorang wanita yang terlibat dalam bidang seni jahitan khusus untuk muslimah, Ummu Nailah, tampil menyuarakan tegurannya kerana bimbang melihat banyak rekaan busana jubah menggunakan material licin seperti satin yang cenderung menampakkan bentuk tubuh. "Sebagai cikgu jahit yang cuba memartabatkan pakaian syarie di kalangan masyarakat, pakaian yang menggunakan material satin ni langsung tak sesuai dijadikan pakaian muslimah walaupun ia menutup aurat namun ia boleh dikategorikan pakaian syuhrah dan menampakkan bentuk tubuh," kongsinya. Pakaian syuhrah dilarang untuk dipakai wanita muslim atas dua faktor iaitu niat untuk berbangga dan menarik pandangan umum. -Gambar hiasan Dia turut berkongsi potongan hadis Nabi SAW serta pandangan ulama mengenai larangan pemakaian pakaian syuhrah. "Baginda bersabda, 'sesiapa yang memakai pakaian syuhrah, Allah akan memakaikannya pada Hari Kiamat pakaian kehinaan'. Riwayat Ahmad, Ibn Majah, Abu Daud. Hadis hasan. "Pakaian syuhrah yang dimaksudkan dalam hadis ialah pakaian yang pelik bagi penduduk atau sesiapa yang berada di negeri atau tempat pakaian tersebut dipakai. Dalam erti kata lain pakaian yang menyalahi uruf setempat. "Ia akan membuatkan mata orang ramai tertumpu kagum atau rasa ganjil terhadap pemakai. Tujuannya agar mata orang ramai tertumpu padanya, merasakan diri istimewa sama ada di sudut kekayaan atau di sudut kewarakan beragama. "Fatwa Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, aku bawakan teks asalnya yang mengambil rujukan Kitab Nil al-Author karya Imam Asy-Syaukani," kongsinya lagi. Wanita tersebut turut menyelitkan pandangan ulama mengenai faktor yang membawa kepada pengharaman pakaian syuhrah iaitu: 1. Niat untuk berbangga - Ini kita tak boleh putuskan sebab ia urusan antara seseorang itu dengan Allah 2. Pelik, ganjil dan buat mata orang ramai tertumpu padanya - Jadi kita nilai sesuatu pakaian itu sama ada syuhrah atau tidak berdasarkan justifikasi illat (faktor) yang kedua ini berdasarkan uruf setempat "Maka pendapat aku yang daif lagi hina ini, elakkanlah French Jilbab, jubah atau khimar yang menggunakan material satin, di samping ia menonjolkan bentuk yang tak sepatutnya disebabkan ia berkilau. Wallahualam," tulisnya lagi. Ramai muslimah kini sudah mula menggayakan busana yang menutup aurat dengan sempurna. -Gambar hiasan Sekadar maklumat tambahan, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi laman Maktabah Al-Bakri menghuraikan dengan tuntas mengenai syarat pakaian bagi wanita, iaitu: 1) Pakaian seharusnya menutupi seluruh tubuh kecuali muka dan telapak tangan. Ulama mengharuskannya sekiranya selamat daripada fitnah. 2) Pakaian hendaklah longgar dan tidak ketat. 3) Pakaian seharusnya tidak menjadi perhiasan pada dirinya sendiri, dengan tidak bersifat mencolok atau memiliki warna-warna yang menarik perhatian orang lain, seperti pakaian yang mempunyai banyak warna-warna yang mencolok mata. 4) Pakaian wanita tidak boleh menyerupai pakaian lelaki. 5) Hendaklah tidak memkai wangi-wangian pada pakaian sehingga boleh membawa kepada fitnah. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube