suria

Sedar terpakai seluar, kain pelikat berlubang selepas solat... Sah atau perlu ulang semula? Ini jawapan Dr Zulkifli

Menutup aurat dengan sempurna merupakan salah satu syarat sah solat. -Gambar hiasan

MENUTUP aurat dengan sempurna merupakan salah satu syarat sah solat.

Namun begitu, pasti ada dalam kalangan muslimin yang pernah mengalami situasi di mana pakaian yang digunakan mempunyai lubang yang sangat kecil dan ia hanya disedari selepas selesai mengerjakan solat.

Justeru, timbul perasaan ragu-ragu sama ada solat yang dikerjakan sebentar tadi sah ataupun sebaliknya.

Menjawab persoalan tersebut, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tampil memberi pencerahan mengenai situasi berkenaan.

Menurut beliau, aurat bagi lelaki di dalam solat adalah bahagian di antara pusat dan lutut, justeru wajib bagi seseorang lelaki itu menutup bahagian ini dengan pakaian yang bersih daripada najis di dalam solat yang didirikan.

"Sekiranya dibiarkan auratnya terdedah dengan sengaja maka solatnya adalah batal.

"Jika seseorang bersolat dalam keadaan tidak menutup aurat, maka solatnya tidak sah dan perlu dikerjakan semula," jelas beliau dalam tulisannya di Maktabah Al Bakri.

ARTIKEL BERKAITAN: Berlaku pergerakan... Sah atau tidak solat tak pakai pakaian dalam? Ini penjelasan pejabat mufti

Tambah beliau, menutup aurat mencukupi dengan apa jenis pakaian, kulit, kertas atau dedaun yang dikait selagi mana ia tidak menampakkan warna kulit. (Lihat al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, 3/171)

2

Menutup aurat mencukupi dengan apa jenis pakaian, kulit, kertas atau dedaun yang dikait selagi mana ia tidak menampakkan warna kulit. -Gambar hiasan

"Syeikh Zainuddin al-Malibari berkata 'penutupan aurat itu dengan suatu yang tidak mensifati warna yakni warna kulit yang boleh dilihat dalam sebuah majlis percakapan.' (Rujuk Fath al-Mu'in (1/86)

"Kadar yang boleh dilihat dalam sebuah majlis percakapan ini disyarahkan lagi oleh Syeikh Abu Bakar al-Dimyati sebagai 'keadaan jika seseorang memerhatikan orang bersolat sambil mendekatkan diri dengan begitu dekat untuk melihat warna kulitnya, maka hal itu tidak memudaratkan (yakni tidak dianggap terbuka aurat)'. (Rujuk I'anah al-Talibin (1/134)

"Maksud bagi keterangan di atas adalah syarat sah menutup aurat, memadai jika salah seorang daripada dua orang yang sedang bercakap melihat kepada teman dan dia tidak nampak warna kulit pada bahagian aurat temannya itu.

"Justeru, kami berpendapat bahawa kadar 0.2cm (saiz lubang) itu masih dianggap sangat kecil sehingga kalau terdapat pada baju orang bersolat, yakni pada bahagian aurat, tidaklah membatalkan solat," terang beliau.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain