MANUSIA sememangnya tidak dapat lari daripada terlupa. Begitu juga ketika sedang mengerjakan solat, ada kalanya kita terlupa bilangan rakaat yang sudah dikerjakan sehingga menimbulkan rasa ragu-ragu untuk melakukan tindakan seterusnya. Untuk pengetahuan anda, semasa sedang solat pun, kita terdedah kepada gangguan syaitan. Sudah namanya pun syaitan, tugasnya adalah mengganggu kekhusyukan solat kita. Namun, apakah yang perlu dilakukan sekiranya sudah tersedar yang kita terlupa bilangan rakaat dalam solat yang sedang dikerjakan? Apakah perlu bangun dan tambah bilangan rakaat yang tidak cukup, kemudian sujud sahwi dan bagi salam, atau perlu solat semula dari awal? Persoalan tersebut dijelaskan dengan penuh tuntas dalam jawapan yang dimuat naik di portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. ARTIKEL BERKAITAN: Apa nak buat jika imam Subuh baca surah panjang? Pendakwah beri penjelasan untuk makmum kelam-kabut nak pergi kerja Menurutnya, dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim dan lain-lain riwayat, bahawa Rasulullah SAW solat fardu Zohor (dalam satu riwayat lain dikatakan solat fardu Asar) sebanyak dua rakaat, lalu baginda SAW bangkit menuju ke pintu dengan wajahnya yang serius. Ramai yang masih ragu-ragu mengenai tindakan yang perlu dilakukan sekiranya terlupa bilangan rakaat. -Gambar hiasan "Lalu seorang sahabat yang dipanggil Dzul Yadain bertanya kepada Rasulullah SAW, 'adakah solat telah dipendekkan (oleh syarak) atau engkau telah lupa?' "Jawab Rasulullah SAW, 'solat tidak dipendekkan dan aku tidak pula lupa'. "Baginda SAW lalu bertanya kepada para sahabat yang lain, 'apakah benar yang dikatakan Dzul Yadain itu?'. Mereka membenarkannya. "Lalu Baginda SAW bangkit dan menyempurnakan baki solat dua rakaat lagi beserta sujud sahwi (Hadis riwayat Imam Muslim (573) dalam Sahihnya)," jelasnya. Jelas sekali, hadis ini menerangkan tunjuk ajar Rasulullah SAW kepada para sahabatnya dan umat keseluruhannya, tentang tatacara melengkapkan solat fardu yang tidak sempurna bilangan rakaatnya, kerana lupa atau sebagainya. "Justeru, boleh disambung untuk melengkapkan bilangan rakaat yang belum sempurna jika selepas salam yang tersilap itu tidak diselangi dengan percakapan dan pergerakan yang banyak. "Manakala, jika sudah berlalu tempoh yang panjang berserta pergerakan yang banyak seperti mandi, makan minum, maka perlu ditunaikan semula solat dari awal. Wallahualam," demikian penjelasan tersebut. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube