MENGIMARAHKAN masjid dengan mendirikan solat berjemaah bukan sahaja menjanjikan pahala berlipat kali ganda, malah daripada satu sudut ia mengeratkan tali persaudaraan sesama jemaah. Namun ketika masyarakat mula bersemangat untuk menunaikan solat Subuh secara berjemaah di masjid menerusi kempen 'Subuh macam Jumaat', timbul pula rungutan dalam kalangan makmum. Menerusi laporan mStar baru-baru ini, seorang individu melahirkan rasa kurang senang dengan pilihan surah yang dibacakan imam ketika mengetuai solat Subuh. Antara isu yang dibangkitkan hingga mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat ialah soal jemaah yang terkejar-kejar untuk bergerak ke tempat kerja sebelum aliran trafik meningkat. Tambahan pula sejak kebelakangan ini waktu solat Subuh agak lewat. Enggan membiarkan masyarakat terus berbalah mengenai isu ini, pendakwah bebas, Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi tampil menerangkan tentang tanggungjawab imam serta peranan makmum. Menunaikan solat berjemaah bukan sahaja menjanjikan pahala berlipat kali ganda, malah daripada satu sudut ia mengeratkan tali persaudaraan sesama jemaah. -Gambar hiasan "Kita kena tengok pada dua sisi iaitu sisi imam dan sisi makmum. Pertama, sisi imam. Setelah surah al-Fatihah, membaca surah daripada al-Quran atau sebahagian daripada al-Quran hukumnya sunat. "Dalam solat Subuh dan Zohor, disunatkan baca surah yang sedikit panjang. Dalam solat Asar dan Isyak, disunatkan baca ayat atau surah sedang-sedang. Solat Maghrib dibaca surah pendek. "Namun imam kena bijak menilai makmum dia, macam mana keadaan makmum dia pada waktu dia menjadi imam. Ada tak dalam kalangan makmum yang nak cepat. Contohnya waktu Subuh tu dah terlalu lambat. Atau ada dalam kalangan makmum dia sakit, tak boleh berdiri lama dan sebagainya. "Maka di sinilah peranan imam perlu meletakkan kebijaksaan dia sebagai imam," terangnya panjang lebar menerusi video di TikTok. ARTIKEL BERKAITAN: Makmum merungut imam Subuh baca surah panjang, terkejar-kejar nak hadap trafik sesak pergi kerja Dalam pada itu beliau turut memberikan contoh situasi yang berlaku membabitkan sahabat Rasulullah SAW satu ketika dahulu, yang mana ia mengundang teguran daripada Baginda sendiri. "Apabila Muaz bin Jabal RA baca surah panjang hingga menyebabkan ada kalangan sahabat yang terpaksa mufaraqah disebabkan mereka sibuk ada kerja yang perlu dilakukan. Maka mereka mengadu kepada Rasulullah. "Apa kata Nabi? 'Wahai Muaz, apakah engkau ingin membuat orang lari daripada agama? Jika engkau mengimamkan orang, bacalah surah As-Syam, Ad-Dhhua, Al-'Aqla, Al 'Alaq atau Al-Lail'. Dipetik dari hadis riwayat Muslim. "Dan Abu Hurairah pernah menyebutkan, sesungguhnya Nabi SAW bersabda, 'barangsiapa yang mengimami orang yang ramai, maka ringankan solat, jadi pendekkan bacaannya sebab ada antara mereka ada anak kecil, orang tua, orang lemah dan orang yang ada keperluan'. "Dan jika dia (imam) solat sendirian, maka solatlah semahunya yakni boleh dipanjangkan bacaannya. Dipetik daripada riwayat Imam Muslim. Harus hukumnya bagi seorang makmum berniat mufaraqah daripada imam seandainya ada keuzuran atau imam membaca surah terlalu panjang sedangkan dia mempunyai kekangan. -Gambar hiasan "Maka di sisi imam, dia harus bijak membuat penilaian berdasarkan waktu dan jemaah yang nak dia pimpin," ujarnya lagi. Sementara itu Ustaz Jafri berkata, daripada sudut makmum pula, terdapat lima hukum yang menerangkan mengenai mufaraqah "Hukum mufaraqah solat ada lima iaitu ada ketika wajib, sunat, harus, haram dan ada ketikanya makruh. "Namun ia berbalik kepada mufaraqah yang disebabkan oleh keuzuran atau tanpa sebarang keuzuran. "Dalam Mazhab Imam As-Syafie, melakukan mufaraqah daripada solat berjemaah tanpa sebarang keuzuran itu makruh, kerana hukum asal solat berjemaah itu fardu kifayah. "Tapi harus hukumnya bagi seorang makmum niat mufaraqah daripada imam seandainya ada keuzuran, seperti sakit atau imam baca surah terlalu panjang sedangkan makmum ini ada keperluan nak dilakukan seperti nak kena pergi kerja dan sebagainya. "Jika dalam keadaan seperti ini, dia boleh niat mufaraqah dan selesaikan solatnya secara bersendirian. Semoga semuanya terjawab, usah bergaduh, salahkan sesiapa... kita bertindak sesuai dengan ilmu yang kita belajar," akhirinya Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube