suria

Terpaling sihat! Demi nak kerja, sanggup tipu laporan kesihatan... Berdosa dan hukumnya haram

Aspek kesihatan menjadi salah satu kriteria yang dinilai sebelum diterima bekerja. -Gambar hiasan/The Star

BUKANLAH sesuatu yang mudah untuk mendapatkan pekerjaan pada ketika ini.

Justeru, tidak dinafikan ada segelintir individu yang sanggup melakukan penipuan demi mendapatkan pekerjaan untuk menyara kehidupan.

Persoalannya, apakah rezeki yang diperoleh hasil daripada penipuan yang dilakukan itu benar-benar berkat?

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, sebagai seorang muslim, amat penting untuk kita menjauhi segala bentuk ketidakjujuran dalam setiap tindakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Berlaku pergerakan... Sah atau tidak solat tak pakai pakaian dalam? Ini penjelasan pejabat mufti

"Menipu adalah amalan yang sangat dimurkai dalam syarak, bahkan dianggap sebagai dosa besar.

"Dalam hal ini, kami menasihati agar bertaubat kepada Allah dan menghindari perbuatan sedemikian," katanya menerusi penjelasan di laman Maktabah Al-Bakri.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab persoalan daripada seorang pengirim yang bertanyakan mengenai hukum menipu laporan kesihatan demi mendapatkan pekerjaan.

Office executives are interviewing job applicants in the meeting room.

Melakukan penipuan termasuk membabitkan laporan kesihatan demi mendapatkan pekerjaan merupakan perbuatan yang tidak jujur. -Gambar hiasan/The Star

Beserta jawapannya, beliau turut memuat naik beberapa petikan hadis serta Firman Allah SWT yang menjelaskan mengenai perbuatan menipu demi mendapatkan pekerjaan.

"Menipu dalam laporan kesihatan demi mendapatkan pekerjaan juga termasuk dalam perbuatan yang tidak jujur yang diharamkan oleh Allah SWT sepertimana yang diriwayatkan daripada Abu Bakrah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

"Hendakkah aku beritahu kepada kalian dosa paling besar di antara dosa-dosa besar? Kami berkata: 'Sudah tentu wahai Rasulullah'.

"Baginda bersabda, 'syirik kepada Allah dan derhaka kepada kedua orang tua.' Ketika itu Baginda SAW bersandar, lalu baginda duduk dan berkata 'ketahuilah, perkataan dusta dan kesaksian palsu,' sebanyak dua kali. Baginda terus menyebutnya hingga aku berkata 'Baginda tidak diam'. [Riwayat al-Bukhari (5977) dan Muslim (88)]

Kesimpulannya, tindakan menipu dalam laporan kesihatan untuk mendapatkan pekerjaan bukanlah tindakan yang jujur.

Ia juga melanggar undang-undang dan mungkin membawa kesan terhadap keberkatan rezeki yang diperoleh daripada pekerjaan tersebut. Semoga bermanfaat!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain