suria

Pelanggan tak reda beli ketayap inti hampas kelapa, peniaga perah ambil santan! Jangan aniaya pembeli, ambil tahu soal hukum

Seorang individu meluahkan rasa kecewa kerana kuih yang dibelinya tidak menggunakan inti kelapa sebenar. -Gambar Facebook

SERING kali kita dipaparkan di media sosial dengan rungutan oleh pelanggan yang kecewa tentang kualiti makanan dijual peniaga.

Bayangkan makanan yang dibeli dengan wang hasil titik peluh, akhirnya terpaksa dibuang kerana basi, tercemar ataupun tidak sedap.

Baru-baru ini, tular luahan seorang warga maya yang meluahkan rasa kecewa apabila kuih ketayap yang dibelinya mengandungi inti yang bukan dibuat daripada kelapa parut tetapi hampas kelapa.

Justeru, dia bertanya apakah hukum bagi peniaga yang menjual kuih namun tidak berlaku jujur.

"Haram tak kalau penjual jual kuih yang intinya kelapa, tapi santan mereka perah dulu untuk kegunaan lain. Jadi hampas kelapa, mereka ambil buat inti," tulisnya dalam satu perkongsian di Facebook sambil memuat naik gambar inti kuih ketayap yang dibelinya.

Mungkin nilainya tidak mahal, namun persoalannya, wajarkah pelanggan 'menutup mata' atau pun sekadar menganggap 'tiada rezeki' sekiranya berdepan dengan situasi ini.

Persoalan yang paling besar, di manakah letaknya kejujuran dan keikhlasan dalam berniaga dan sejauh manakah keberkatan rezeki yang diperoleh hasil daripada menipu pelanggan.

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga amanah dijanjikan syurga bersama para nabi... Elakkan kaut keuntungan ketika wabak Covid-19

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga usah nak untung ‘atas angin’, pulangkan 5 sen! Islam larang ‘paksa’ pelanggan reda baki tak cukup

Perkara berkenaan penipuan dalam urusan jual beli dijelaskan dengan tuntas menerusi Firman Allah dalam Surah An-Nisa' ayat 29:

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya)"

Sementara itu, sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA turut menjelaskan hukum melakukan penipuan dalam berniaga.

kuih 2

Kuih ketayap merupakan antara kuih yang menggunakan kelapa parut sebagai inti. -Gambar hiasan

"Rasulullah SAW pernah melalui setompok makanan, lalu baginda memasukkan tangannya ke dalamnya, kemudian tangan baginda menyentuh sesuatu yang basah, lalu baginda bertanya, 'Apa ini wahai pemilik makanan?'

"Pemiliknya menjawab, 'makanan tersebut terkena air hujan wahai Rasulullah.'

"Baginda bersabda, 'mengapa kamu tidak meletakkannya di bahagian atas makanan agar manusia dapat melihatnya? Ketahuilah, barangsiapa menipu maka dia bukan daripada golongan kami," ujar baginda. [Riwayat Muslim]

Rasulullah juga bersabda: "Peniaga yang boleh dipercayai dan beramanah akan bersama para Nabi, orang-orang yang dapat dipercayai (siddiqin) dan orang-orang yang mati syahid". [HR Tarmizi 1130].

Justeru, jelaslah bahawa hukum melakukan penipuan dan tidak jujur dalam berniaga merupakan perbuatan yang berdosa.

Semoga penjelasan yang dikongsikan dapat dijadikan iktibar buat kita semua. Semoga bermanfaat!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain