TULAR di media sosial baru-baru ini mengenai sejadah yang direka bentuk khusus untuk pasangan suami isteri solat berjemaah. Sejadah itu dilihat mempunyai corak berbentuk hati (love) apabila diletakkan bersebelahan, satu inovasi kreatif untuk menyulam rasa romantis ketika beribadah bersama. Namun, dalam keterujaan ramai untuk menggunakan sejadah berkenaan, ternyata ada kekhilafan yang boleh menjejaskan pahala solat berjemaah suami isteri. Sejadah yang menjadi perhatian di media sosial. Seorang pencipta kandungan di media sosial yang dikenali sebagai Syapik Hassan tampil menjelaskan hukum yang terlibat berdasarkan rujukan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Menurutnya, kedudukan solat berjemaah antara iman dan makmum yang berlainan jantina tidak sepatutnya bersebelahan, makmum (wanita) seharusnya membelakangi imam (lelaki). "Ya betul, sekiranya solat dengan kedudukan seperti sejadah yang dijual itu, solat berjemaah suami isteri akan dikira sebagai khilafatul sunnah iaitu menyalahi sunnah. "Mengapa? Sebab mengikut hadis, kalau imam bermakmumkan wanita, wanita tu harus berada di saf belakang, bukan bersebelahan kiri atau kanan imam. Jadi kalau solat berjemaah, isteri memang kena duduk belakang suami. "Dari segi sah atau tidak sah, solat berjemaah itu tetap sah. Dan juga tida berdosa. Tapi kedudukan solat berjemaah seperti itu adalah salah," jelas Syapik. Jakim menerusi laman Facebook turut berkongsi kedudukan makmum ketika solat berjemaah bersama keluarga. Infografik kedudukan solat berjemaah. -Gambar Facebook Jakim Tambah Syapik lagi, perkara tersebut boleh diberikan kelonggaran sekiranya dalam situasi tertentu. "Tapi kalau dikatakan ruang sekeliling ketika solat itu terhad, maka ia tidak akan dikira sebagai khilafatul sunnah. "Contohnya, bilik sempit dan kiblat pula menyerong, dah tak ada tempat lain nak solat, maka dibolehkan untuk isteri solat bersebelahan dengan suami," ujar Syapik. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube