SOLAT sunat rawatib merupakan solat sunat dua rakaat yang dilakukan sebelum atau selepas solat fardu lima waktu, juga dikenali sebagai solat sunat qabliyyah dan badiyyah. Sebagai makluman, solat sunat qabliyyah dilakukan sebelum solat fardu manakala solat sunat badiyyah dilaksanakan selepas solat fardu. Namun, perlu diingat, solat sunat rawatib ini perlu mengikut kesesuaian waktunya, ada masa dituntut dan ada juga diharamkan. 1) Subuh: Solat sunat qabliyyah dituntut (muakkad) manakala solat sunat badiyyah diharamkan. 2) Zohor: Kedua-dua solat sunat qabliyyah dan badiyyah dituntut. 3) Asar: Solat sunat qabliyyah tidak dituntut tetapi boleh dibuat manakala solat sunat badiyyah diharamkan. 4) Maghrib: Solat sunat qabliyyah tidak dituntut tetapi boleh dibuat manakala solat sunat badiyyah dituntut. 5) Isyak: Solat sunat qabliyyah tidak dituntut tetapi boleh dibuat manakala solat sunat badiyyah dituntut. Hikmah di sebalik solat sunat rawatib ini adalah bagi menyempurnakan segala kekurangan ketika mengerjakan solat fardu seperti tidak khusyuk atau gagal memberikan penghayatan terhadap bacaan ayat al-Quran ketika sembahyang. Sekiranya anda perhatikan di masjid dan surau, sesetengah jemaah gemar untuk bertukar-tukar tempat ketika menunaikan solat sunat qabliyyah, solat fardu dan solat sunat badiyyah. Mengapakah begitu? Pahala dilipat gandakan ketika solat berjemaah di masjid. -Gambar hiasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan ada penjelasannya. Memetik kitab Sahih Muslim, terdapat riwayat yang menyebut pesanan Muawiyah RA kepada al-Sa’ib Ibn Ukh Namir untuk berbuat sedemikian dan hukumnya adalah sunat. "Jika engkau solat Jumaat, maka janganlah engkau sambung dengan suatu solat sehingga engkau berkata-kata atau engkau keluar. "Kerana Rasulullah SAW telah menyuruh kami melakukan hal itu, yakni tidak disambung solat dengan solat sehingga seseorang itu berkata-kata atau keluar." Dalam pada itu, Imam al-Nawawi menerusi kitabnya al-Minhaj Syarah Sahih Muslim berkata, galakan terhadap amalan itu bertujuan untuk memisahkan pelaksanaan solat fardu dengan solat sunat. "Dan yang paling afdal ialah beralih menunaikan solat di rumah, dan melainkan tempat lain yang dimaksudkan itu adalah masjid atau selain masjid agar supaya diperbanyakkan tempat-tempat sujud.” Imam al-Nawawi turut menjelaskan bahawa amalan pemisahan antara solat fardu dan sunat itu juga boleh dilakukan dengan hanya berbicara dengan orang lain. Bagaimanapun, beralih atau berpindah tempat adalah lebih afdal berbanding berbicara. Menyentuh mengenai kepentingan amalan tersebut, Imam al-Ramli dalam Nihayah al-Muhtaj berkata, perkara itu disunatkan kerana ia bertujuan untuk memperbanyakkan tempat sujud. "Ini kerana banyaknya tempat sujud akan menjadi saksi (di akhirat kelak). Dan agar untuk menghidupkan tanah (tempat sujud) dengan ibadah," menurut Iman al-Ramli dalam kitab berkenaan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube