suria

‘Orang penting’ telefon ketika sedang solat, apa nak buat? Jangan sampai permainkan ibadah, ini jawab Dr Zulkifli

Beribadah di masjid dapat mengumpul ganjaran pahala yang melimpah-ruah. -Gambar hiasan

PERNAHKAH anda berdepan situasi sedang solat berjemaah dan tiba-tiba telefon pintar berdering?

Lebih mencemaskan apabila panggilan telefon tersebut adalah daripada orang penting seperti penyelia di tempat kerja, ibu bapa atau isteri.

Kebiasaannya apabila telefon berbunyi, seseorang itu akan segera mencapainya sama ada untuk mematikan atau menjawabnya kerana tidak mahu terus-menerus mengganggu jemaah lain yang sedang khusyuk.

Namun, anda harus berhati-hati kerana perbuatan tersebut sebenarnya dilarang keras oleh Allah.

Ikuti penjelasan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berhubung tindakan memberhentikan solat bagi menjawab panggilan penting.

Kualiti ibadah bergantung kepada kekhusyukan seseorang itu ketika menghadap Ilahi. -Gambar hiasan

Secara ringkasnya, Allah SWT melarang umat Islam untuk sengaja membatalkan amalannya tanpa apa-apa sebab yang mengharuskannya untuk melakukan sedemikian. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah, dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu!" [16]

Dalam hal ini, para ulama membezakan keadaan orang yang ingin memberhentikan solat dengan melihat daripada sudut sama ada solat tersebut merupakan solat fardu atau solat sunat, sama ada ia disebabkan oleh uzur syar’ie atau bukan.

Jika solat tersebut merupakan solat fardu, maka haram hukumnya bagi seseorang itu yang tanpa uzur syar’ie untuk membatalkan solatnya, yang mana ia boleh dilihat berdasarkan ayat yang disebutkan di atas.

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih afdal sebenarnya pisahkan sembahyang fardu dan solat sunat, tukar tempat sujud salah satu cara

ARTIKEL BERKAITAN: Pernah tapau makanan kenduri? Sebenarnya boleh jatuh hukum haram jika silap langkah

Di dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah menyebutkan bahawa:

Maksudnya: Membatalkan ibadah yang wajib setelah memulakannya tanpa sebab yang membolehkannya melakukan demikian adalah tidak harus dengan sepakat para fuqaha’.

Hal ini kerana membatalkan ibadah tanpa sebab yang diizinkan oleh syarak adalah satu perbuatan yang sia-sia dan bersalahan dengan kehormatan solat. [17]

Bagaimanapun, jika disebabkan oleh perkara yang dibolehkan oleh syarak dan keadaan yang mendesak dan kecemasan seperti menyelamatkan diri sendiri atau orang lain daripada bahaya misalnya, maka ia diharuskan berdasarkan kaedah fiqh yang menyebutkan bahawa:

Maksudnya:Keadaan yang darurat itu mengharuskan perbuatan-perbuatan yang haram.”

Solat boleh diberhentikan sekiranya dalam keadaan darurat. -Gambar hiasan

Di dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah menyebutkan lagi bahawa:

Maksudnya: Ada pun jika membatalkannya disebabkan oleh sebab yang dibolehkan oleh syarak, maka hukumnya adalah harus, seperti membatalkan solat bagi membunuh ular atau menyuruh orang lain membunuhnya.

Atau khuatir akan kehilangan harta benda yang berharga sama ada harta benda sendiri atau orang lain, atau menyelamatkan orang yang meminta pertolongan.

Mengejutkan orang yang terlalai atau tertidur yang sedang dihampiri oleh ular berbisa yang tidak boleh untuk diberikan peringatan dengan menyebut tasbih sahaja. [18]

Kesimpulannya, berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, dapat disimpulkan bahawa jika seseorang itu sedang mendirikan solat fardu, maka tidak boleh untuk dia membatalkan solatnya.

Melainkan jika terdapat hal kecemasan dan darurat seperti menyelamatkan nyawa yang berada di dalam bahaya atau harta benda yang berharga.

Oleh itu, dalam hal ini, sekiranya panggilan telefon yang diterima tersebut dirasakan merupakan sesuatu kecemasan dan darurat, maka dibolehkan untuk membatalkan solat bagi menjawabnya.

Bagaimanapun, jika seseorang itu sedang mendirikan solat sunat, maka dibolehkan untuk dia memberhentikan solatnya bagi perkara-perkara yang penting.

Namun, adalah sebaik-baiknya dia menyempurnakan solat tersebut terlebih dahulu sebelum melakukan pekerjaan penting tersebut supaya dapat menjaga kehormatan solat dan tidak mempermain-mainkan ibadah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain