suria

Terlupa bilangan hari ganti puasa? Ini penjelasan pejabat mufti... Buang keraguan, ambil yang yakin

Puasa yang ditinggalkan wajib untuk diganti. -Gambar hiasan

BULAN Ramadan yang penuh keberkatan dan kemuliaan semakin hampir.

Sepanjang bulan ini, ibadah puasa diwajibkan sebagai salah satu daripada rukun Islam.

Jika seseorang itu meninggalkan puasa Ramadan atas sebab-sebab tertentu, maka dia wajib menggantikannya sebelum Ramadan tahun berikutnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.

Namun, bagi mereka yang meninggalkan puasa termasuklah kaum Hawa yang datang haid, ada kalanya bilangan hari puasa yang perlu diganti menjadi samar-samar kerana sudah terlupa.

Jadi, apakah yang perlu dibuat apabila berada dalam situasi ini? Ini penjelasan Jabatan Mufti Terengganu.

Secara ringkasnya, orang yang lupa dalam hal ibadah, dia diperintahkan untuk mengambil yang lebih meyakinkan.

Dasar hukum ini boleh dipetik daripada sabda Nabi Muhammad SAW yang berkait dengan orang lupa bilangan rakaat solat.

Maksudnya:

Apabila ragu salah seorang dari kamu dalam solat, hendaknya dia buang keraguannya dan dia ambil yang lebih meyakinkan.” (Riwayat Abu Dawud dan disahihkan oleh al-Albani)

Umat Islam bakal menyambut Ramadan tidak lama lagi. -Gambar hiasan

Orang yang solat Zohor dan lupa apakah dia telah mengerjakan dua rakaat atau tiga rakaat, dia wajib pilih dua rakaat kerana itu yang lebih meyakinkan.

Orang yang tawaf dan lupa, adakah dia sudah melakukan lima kali putaran atau enam kali, dia wajib pilih yang lebih sedikit iaitu lima kali putaran kerana itu lebih meyakinkan.

Dalam kes puasa Ramadan, contohnya jumlah puasa perlu diganti yang diragukan adalah antara dua atau tiga hari, maka ambil yang lebih iaitu tiga hari kerana itu bilangan yang meyakinkan.

Sekiarnya seseorang itu berpuasa terlebih hari, ia tidak sia-sia kerana dia tetap mendapat pahala puasa sunat.

Berkata Ibnu Qudamah dalam kitabnya al-Mughni.

Maksudnya:

“Apabila tanggungan puasa sangat banyak, dia wajib terus-menerus melakukan qada.

"Jika dia tidak tahu berapa jumlah hari yang menjadi kewajipan puasanya, maka dia wajib mengulang-ulang qada’ puasa sampai dia yakin telah menggugurkan seluruh tanggungannya.”

Kata Ibnu Qudamah lagi sambil menyebutkan riwayat dari Imam Ahmad:

Maksudnya:

“Dia hendaklah ulang-ulang sampai tidak ragu lagi bahawa dia telah melakukan apa yang telah dia lalaikan. Dia hanya melakukan yang wajib sahaja.”

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain