SUTRAH merupakan sekatan sebagai tanda pemisah di antara orang yang sedang solat dengan orang yang lalu-lalang di hadapannya. Sekatan ini misalnya seperti dinding, tiang dan meletakkan kerusi atau sebarang objek yang bersesuaian. Malah menghamparkan sejadah juga boleh dikira sebagai satu bentuk sutrah. Tahukah anda, sesiapa yang menyedari kehadiran sutrah tetapi masih lalu dengan sengaja di hadapan orang bersembahyang, hukumnya haram dan besar dosanya. Namun, terdapat beberapa kemusykilan dalam hal ini dan sebenarnya ramai terlepas pandang. Bagi penjelasan lanjut, mari kita ikuti perkongsian pihak pengurusan Masjid Bandar Seri Putra di laman TikTok. Antara situasi yang mengelirukan dalam konsep sutrah. 1) Dosa melintasi orang bersembahyang Jika seseorang itu solat dan dia tidak meletakkan sutrah yang jelas, maka orang yang lalu di hadapannya tidak akan menanggung dosa. Bagaimanapun, sekiranya sutrah sudah diletakkan dengan jelas, tetapi seseorang itu masih lalu di hadapan orang bersembahyang, maka ia dikira berdosa dan hukumnya haram. Selain itu, bagi yang bersembahyang, boleh sahaja mengangkat tangan ketika solat untuk menghalang seseorang yang melintas di hadapannya, kemungkinan mereka tidak perasan dengan sutrah yang diletakkan. 2) Pengecualian situasi terdesak Sekiranya anda solat dalam saf dan terbatal air wuduk secara tidak sengaja, anda dibenarkan untuk keluar mengambil wuduk baharu walaupun terpaksa melintasi jemaah lain. Seterusnya, sebarang situasi kecemasan atau darurat juga boleh diberikan pengecualian. 3) Lokasi solat Sukacita diingatkan kepada mereka yang solat, elakkan bersembahyang di laluan keluar masuk orang ramai. Dalam situasi sebegini, hukumnya tidak lagi haram bagi mereka yang melintasi sutrah, malah boleh jatuh hukum harus. Peringatan tambahan, jika hendak berjalan di hadapan orang sedang solat yang tidak mempunyai sutrah, maka lalu dengan jarak tiga hasta (1.35 meter) daripada tempat orang itu bersembahyang. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube