suria

Suami mengaku ‘ikat’ kilang telur, tak sanggup lihat isteri merana... Bekas mufti perjelas hukum vasektomi

Seorang lelaki tular selepas berkongsi kisahnya melakukan vasektomi. -Gambar hiasan

LAMAN X kecoh apabila seorang lelaki membuat pengakuan tentang prosedur vasektomi yang dilakukannya pada minggu lalu.

Menerusi hantaran pada Rabu, lelaki itu memaklumkan dia dan isterinya membuat keputusan untuk tidak lagi menambah bilangan cahaya mata.

"Aku buat vasektomi minggu lepas. Kami memang rancang tak nak anak lebih dan aku tak sanggup tengok isteri merana.

"Lepas kena cucuk perancang pertama kali, tiga bulan isteri merana. Aku kena potong, prosedur 30 minit, sehari je dah 90 peratus sembuh.

"Kalau nak anak lagi, sperma masih ada, boleh ekstrak dan buat IUI (Intrauterine Insemination) dan IVF (In Vitro Fertilization)," tulis individu itu.

Perkongsian itu turut menimbulkan perdebatan termasuklah dalam kalangan mereka yang tidak mengetahui tentang hukum vasektomi dalam Islam.

Hantaran tular individu berkenaan turut mendapat perhatian bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Dalam jawapan balasnya, Dr Zulkifli turut berkongsi semula ulasan mengenai isu sama yang pernah ditulis olehnya pada Ogos tahun lalu melalui Maktabah al-Bakri.

Apa itu vasektomi?

Vasektomi adalah satu bentuk kawalan kelahiran lelaki yang memotong bekalan sperma ke dalam air mani. Ia dilakukan dengan memotong dan menutup tiub yang membawa sperma.

Sebelum melakukan vasektomi, seseorang itu perlu pasti dia tidak mahu menjadi bapa pada masa hadapan.

Newborn baby feet in bed close up. Happy Family concept. Beautiful conceptual image of Maternity. Useful as greeting card. Selective focus

Bukan semua pasangan bersedia untuk bergelar ibu bapa. -Gambar hiasan

Walaupun ada kemungkinan boleh untuk mengembalikannya semula, namun vasektomi harus dianggap sebagai satu bentuk kawalan kelahiran lelaki yang kekal.

Hukum

Selari dengan keputusan yang dikeluarkan oleh Persidangan Majma’ al-Fiqh al-Islami di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Kuwait pada 15 Disember 1988 yang mana mereka memutuskan, antara lain:

Haramnya menghilangkan kemampuan reproduksi daripada lelaki ataupun wanita, seperti apa yang dikenali dengan pemandulan.

Pengecualian diberikan dalam kes-kes darurat yang perlu ditimbang dengan kayu ukur yang Syar‘i.

Dibolehkan untuk mengawal secara sementara kemampuan reproduksi dengan tujuan menjarakkan antara tempoh-tempoh kehamilan, atau menghentikan bagi tempoh tertentu, jika terdapat keperluan yang diambil kira oleh syara‘, berdasarkan persetujuan dan keredaan daripada perbincangan antara kedua pasangan yang sah, dengan syarat kaedah kawalan itu tidak mendatangkan mudharat, berdasarkan kaedah yang tepat dengan syariat, dan tidak menzalimi kandungan yang sedia ada.

Kesimpulan

Kami berpendapat bahawa prosedur vasektomi adalah haram dan tidak dibenarkan.

Ini kerana prosedur vasektomi itu sudah dianggap sebagai satu bentuk kawalan kelahiran lelaki atau pemandulan yang kekal, disebabkan oleh keberhasilan untuk berjaya membalikkan semula (sebelum prosedur vasektomi) adalah sangat rendah, tidak mudah dan tidak selalunya berjaya/berkesan.

Justeru, pemandulan kekal diharamkan oleh para ulama kerana ia melibatkan pengubahan ciptaan Allah, merosakkan asas kehidupan dan melakukan pembunuhan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain